Monday, November 29, 2010

MASJID SENIBINA CINA, MASJID UNTUK SEMUA

(Al Islam bulan Apr 2010)

Pertikaian dan perbahasan mengenai keperluan membina sebuah atau beberapa buah masjid Cina di negara kita seolah-olah tidak berkesudahan. Ada yang faham, tidak kurang pula yang gagal memahami hakikat sebenarnya. Ia mungkin disebabkan oleh salah faham ataupun sengaja buat-buat tidak faham. Inilah akibatnya apabila kita mempunyai ilmu yang cetek dan tidak dapat melihat Islam daripada perspektif yang lebih luas. Kesannya, kita tidak dapat berfikir lebih jauh, apatah lagi mencernakan isu-isu seperti ini.

Lebih menyedihkan lagi ada kalangan golongan agamawan, tidak bersetuju dengan idea ini. Bermacam-macam pandangan dilontarkan. Ada yang berpandangan, kenapa perlu masjid Cina, bukankah Islam itu untuk semua? Mana boleh didirikan masjid khusus untuk satu-satu bangsa sahaja? Bagaimana pula hendak mengumpulkan 40 Cina Muslim untuk mendirikan solat jumaat? Pendek kata, macam-macam lagi persoalan yang sengaja dibangkitkan sehingga menampakkan kejahilan mereka.

Persoalannya, siapakah yang membangkitkan isu masjid Cina hanya untuk kaum Cina Muslim sahaja? Saya belum pernah lagi mendengar kalangan Cina Muslim mahukan masjid untuk mereka sahaja. Apa yang dimohon untuk dipertimbangkan hanya masjid yang mengambil kira senibina Cina, bukannya masjid Cina untuk orang Cina.

Pandangan yang mengatakan bahawa masjid Cina untuk orang Cina sahaja sengaja diselewengkan. Golongan ini gagal melihat Islam sebagai agama yang bersifat sejagat atau universal (the universality of Islam). Islam adalah untuk semua, begitu juga dengan fungsi masjid. Nama masjid tidak penting. Apa yang penting ialah peranan dan fungsi masjid mesti berkembang dan berjalan dengan baik. Apa gunakan masjid didirikan begitu besar dengan nama yang hebat-hebat, jika masjid tersebut tidak berfungsi dengan baik.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempelbagaikan fungsi masjid. Masjid perlu dijadikan sebagai pusat dakwah kepada orang Cina yang menjadi penduduk kedua terbesar di negara kita. Salah satu cara untuk menarik perhatian mereka mendekati masjid adalah dengan membina masjid yang meraikan ciri-ciri senibina mereka.

Agama Islam tidak boleh sama sekali disempitkan skopnya dari sudut etnik tertentu sahaja, tetapi hendaklah diperluaskan. Kita sedia maklum bahawa Islam adalah agama untuk semua manusia yang ada dimuka bumi ini. Justeru, senibina masjid perlu mengambil kira ciri-ciri dan budaya berbilang kaum yang dijadikan oleh Allah SWT

Kadang kala saya tertanya-tanya, kenapa isu masjid bersenibina Cina menjadi pertikaian dan perbahasan? Adakah disebabkan oleh masalah senibina Cina atau masalah bangsa Cina ? Kalau isu senibina yang menjadi masalah, adakah masjid yang berseni bina kubah itu adalah senibina Islam atau senibina Melayu? Jawapannya, sudah tentu tidak. Kubah adalah adalah senibina Moorish-Indian, tidak ada kaitan langsung dengan senibina Melayu atau Islam.

Kenapa kita boleh menerima senibina Moorish Indian, tetapi tidak senibina Cina atau bangsa lain yang lebih dekat dakwah dan konsep berbilang bangsa di negara kita?. Apakah selama ini kewujudan masjid India dan masjid Pakistan telah memecahkan belah masyarakat? Apa yang saya lihat kemunculan masjid-masjid ini telah membuka mata bukan Islam dalam melihat warna-warni yang terdapat dalam Islam.

Perlu diingatkan bahawa konsep seni bina atau reka bentuk yang wujud hari ini adalah ilham yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Manusia yang menterjemahkan senibina dalam bentuk realiti. Maknanya, seni itu adalah hak milik Allah SWT yang diilhamkan kepada manusia. Cuma manusia diingatkan agar jangan menyalahgunakan seni sehingga menimbulkan kemurkaan dan kesyirikan terhadap Allah SWT. Misalnya, senibina yang berunsur berhala, patung dan sebagainya.

Islam sebagai agama yang bersifat universal tidak menetapkan senibina, senireka atau lambang-lambang tertentu tertentu seperti mana agama-agama lain. Islam menerima semua jenis perlambangan, kesenian dan reka bentuk daripada sesiapa juga atau daripada bangsa mana sekalipun, selagi mana ia tidak bercanggah dengan agama Islam yang mengagungkan Allah SWT. Misalnya, lambang lampu tanggung yang digunakan oleh orang Cina dan lampu ketupat atau pelita yang digunakan oleh orang Melayu ketika hari raya. Simbol-simbol atau lambang-lambang ini menggambarkan budaya setempat. Ianya tidak bertentangan dengan Islam.

Saya amat bimbang jika ada yang beranggapan lampu ketupat atau pelita adalah Islamik, manakala lampu tanggung tidak Islamik. Sedangkan kita tahu di negeri-negeri Arab, tidak ada langsung lampu ketupat atau pelita ketika menyambut hari raya, apatah lagi lampu tanggung. Kehebatan dan ketinggian Islam adalah, kita menerima semua jenis rekaan dan reka bentuk daripada kalangan bangsa-bangsa yang ada di dunia ini selagi tidak mensyirikkan Allah SWT.

Justeru, isu masjid bersenibina Cina hanya sekadar untuk memecahkan tembok stereo-taip yang telah lama terpahat dalam pemikiran orang bukan Islam iaitu Islam itu agama orang Melayu atau orang Arab. Secara khususnya, tujuan pembinaan masjid berseni bina Cina adalah seperti berikut:

1. sebagai agen dakwah secara tidak langsung (dakwah bil hal) kepada kaum Cina. Kaum Cina Malaysia dirasakan amat mudah mudah menerima Islam sekiranya strategi dakwah secara berkesan dapat dirangka seperti cadangan pembinaan masjid bersenibina Cina ini.

2. untuk mengetuk pintu hati orang Cina, bahawa Islam bukanlah agama khusus untuk kaum tertentu sahaja, tetapi Islam adalah agama sejagat untuk semua manusia di alam maya ini.

3. untuk mendekatkan orang Cina dengan masjid. Masjid berkubah tidak dapat menarik perhatian mereka disebabkan oleh stereo-taip, kubah itu Melayu atau kubah itu Arab.

4. untuk melembutkan hati orang Cina bahawa Islam menerima senibina bangsa-bangsa lain selagi ia tidak bercanggah dengan dasar.

5. untuk memberi kesedaran kepada orang Cina bahawa di negeri China telah menerima Islam lebih daripada 1300 tahun lalu. Buktinya, terdapat ribuan masjid di sana berkonsepkan senibina Cina.

6. dakwah melalui penampilan imej adalah lebih berjaya menarik perhatian orang Cina untuk mendekati Islam. Dakwah melalui imej masjid Cina diharapkan akan menjadi faktor penarik bagi orang Cina dan pelancong-pelancong berkunjung mendapatkan penerangan mengenai kesejagatan Islam

Kita perlu ingat, fungsi masjid adalah sama seperti masjid yang lain. Tertakluk kepada undang-undang dan peraturan-peraturan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri. Bermakna, tidak timbul isu, ini masjid khusus untuk orang Cina sahaja. Seperti fungsi masjid yang lain, masjid adalah untuk semua seperti mana agama Islam itu sendiri untuk semua manusia.

Apa yang dikehendaki adalah senibina masjid yang mengambil kira ciri-ciri budaya masyarakat Cina seperti di masjid-masjid di negeri China yang berbentuk pagoda. Ia bertujuan untuk mengalihkan pandangan masyarakat Cina adalah kewujudan mereka di muka bumi ini adalah dengan ciptaan Allah SWT.

Kita perlu sedar bahawa kejadian bangsa-bangsa di dunia ini adalah ciptaan Allah SWT tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak. Firman Allah SWT

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kami berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal (Hujurat: 13)

Ini bermakna senibinapun adalah anugerah Allah hasil kreativiti manusia ciptaanNya. Justeru, ia perlu saling diraikan antara satu sama lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Inilah keindahan Islam. Lagipun, ia adalah alat dakwah yang membawa makna yang cukup besar.

Hari ini imej Islam menjadi tercalar disebabkan oleh persepsi orang bukan Islam terhadap Islam amat sempit. Gambaran mereka terhadap Islam hanya berkisar isu-isu orang Melayu, Arab, keganasan dan berbagai label negatif lagi. Justeru, kesempatan masjid Cina Muslim ini membolehkah kita mendekatkan mereka terhadap Islam.

Selain itu, kadangkala berlaku kes murtad di kalangan orang Cina yang telah memeluk Islam. Perkara ini adalah lebih sesuai jika ditangani kalangan sesama mereka sendiri yang lebih memahami perasaan dan selok-belok budaya. Justeru, dengan adanya masjid ini sebagai pusat aktiviti dakwah, sudah tentu kita mewujudkan satu suasana at home.

Kita perlu ingat, rata-rata kaum Cina pada hari ini boleh dikatakan tidak mempunyai agama. Kalau adapun yang berpegang kepada agama, ia agak longgar. Agama hanya menjadi warisan nenek moyang mereka. Justeru, tidak hairan jika ramai yang telah memilih dan memeluk agama Kristian sebagai altenatif. Lagipun agama ini mempunyai daya tarikan kebendaan selain usaha-usaha agresif missionary Kristian.

Persoalannya, kenapa mereka tidak memilih agama Islam? Sedangkan agama kita mempunyai kekuatan yang lebih hebat berbanding agama lain. Semua ini berpunca gambaran yang cetek tentang Islam yang dianggap sebagai agama orang Melayu atau orang Arab. Lebih menyedihkan, agak kurang contoh-contoh positif yang pada golongan ini yang boleh mencerminkan sifat positif Islam yang sebenar. Justeru, dalam usaha untuk menarik mereka untuk memilih/memeluk Islam atau sekurang-kurang menghormati agama Islam, maka usaha-usaha hendak dilakukan bagi mencapai hasrat murni ini.

Justeru, pembinaan masjid Cina ini perlu segera direalisasikan. Tapak yang strategik mesti segera dicari terutamanya kawasan yang dihuni oleh majoriti orang Cina. Contohnya, tapak yang pernah dicadangkan seperti bekas penjara Pudu. Saya fikir tapak ini amat strategik. Jika berjaya direalisasikan, saya yakin perkembangan Islam akan menjadi semakin hebat. Ia akan menjadi tumpuan pelancong luar dan dalam atau seluruh dunia.

Saya yakin tapak ini amat sesuai untuk perkembangan dakwah. Lagipun, kawasan bekas tapak penjara Pudu, tidak sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat komersial. Keadaan di sana hari ini sudah sesak. Saya yakin, jika kawasan tersebut dijadikan sebuah masjid berseni bina Cina, ia hanya akan menjadi destinasi pelancongan dunia.
 
Setakat ini, perkembangan dakwah Islamiyyah di kalangan bukan Islam (orang Cina terutamanya) di negara kita amat perlahan. Kita telah merdeka lebih 50 tahun, namun orang Cina yang memeluk Islam tidak sampai satu peratus. Penduduk Cina di negara kita berjumlah 6.5 juta, mereka yang memeluk Islam hanya disekitarkan 60,000. Saya lihat, perkembangan ini amat perlahan berbanding dengan negara-negara lain di dunia.

Di negeri bukan Islam, agama Islam mendapat sambutan yang begitu hebat. Tetapi kenapa dalam negara Islam sendiri, agama Islam seolah-olah kelihatan tidak mendapat tempat dan perkembangannya amat perlahan. Di manakah silap dan salahnya? Inilah yang perlu kita fikirkan bersama

Pada hemat saya yang telah lama berkecimpung dalam dunia dakwah, terutama kepada bukan Islam Cina, cara kita ’menjual’ Islam hari ini amat bersifat etnik atau keMelayuan atau keAraban. Sudah sampai masanya kita pecahkan tembok ini dengan membukakan minda kita agar kita dalam menjual Islam dalam konteks yang lebih luas dan global.

Caranya tidak lain dan tidak bukan, marilah kita mulakannya dengan membina sebuah masjid berseni binakan Cina di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur. Saya yakin kita semua akan dapat lihat banyak perubahan, terutamanya perkembangan syiar Islam.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

Antara imej agama dan imej bangsa

(Al Islam bulan Mac 2010)

Saya masih teringat ketika mula-mula memeluk Islam pada tahun 1985, antara nama-nama saudara Muslim atau mualaf yang agak menonjol terdapat di pejabat agama ketika itu ialah Hj Mokhtar Stock dan ustazah Hidayah (India Muslim) kalau tidak silap. Mereka adalah antara pegawai yang saya jumpa untuk mendapatkan kad pengIslaman di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shah Alam. Begitu juga beberapa nama saudara Muslim di PERKIM suatu ketika dahulu. Walaupun jawatan mereka tidaklah setinggi mana, tetapi penampilan imej mereka, dapat menarik perhatian orang bukan Islam yang mahu mendekati Islam.

Selepas itu, saya tidak lagi mendengar nama-nama saudara seMuslim yang diangkat ke jawatan yang agak berimej di pejabat agama. Hari ini, saudara Muslim, kalau adapun hanya di tempat di unit saudara baru (saudara Muslim), itupun bukan sebagai pegawai yang boleh membuat keputusan. Mereka hanya menjalankan tugas-tugas teknikal sahaja dan bukan tugas utama. Saya pun tidak pernah mendengar atau terbaca, saudara Muslim dilantik ke jawatan yang agak senior seperti timbalan pengarah jabatan agama atau majlis agama atau ahli majlis agama. Jawatan pengarah sudah tentu jauh panggang dari api. Di PERKIM pula hari ini saudara Muslim langsung tidak mendapat tempat dalam jawatan-jawatan penting berbanding dahulu. Penulisan ini bukan bertujuan untuk menarik simpati terhadap saudara Muslim.

Saya tertanya-tanya, adakah negara kita ketandusan saudara Muslim yang berkelayakan? Setahu saya bilangan mereka yang memeluk agama Islam semakin lama semakin meningkat, walaupun agak perlahan. Mereka yang memeluk agama Islam terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti doktor perubatan, jurutera, arkitek dan bidang-bidang profesionalisme yang lain. Ini membawa makna bahawa negara kita tidak ketandusan golongan saudara Muslim yang berkelayakan dan berpengalaman. Persoalannya, kenapa mereka tidak ditonjolkan demi kepentingan dakwah? Saya yakin kita dapat melihat imej dan impak dakwah yang berbeza jika saudara Muslim diberi peluang memegang jawatan tinggi dalam institusi agama. Malangnya perkara tersebut tidak pernah berlaku. Adakah saudara Muslim mungkin dianggap sebagai menggugat kedudukan saudara lama? Saya harap perkara tersebut tidak berlaku.

Pada saya jawatan tidaklah penting sangat. Namun, penampilan jawatan itu tidak kurang penting dalam proses dakwah. Bayangkan jika terdapat sekali sekala saudara Muslim dilantik menjadi pengarah jabatan agama misalnya, sudah tentu persepsi orang bukan Islam akan berbeza. Saya yakin banyak masalah saudara Muslim dapat diselesaikan. Hanya saudara Muslim yang dapat memahami keadaan dan masalah sebenar saudara Muslim yang lain.

Isu yang selalu timbul hari ini adalah kita tidak dapat menyelami kedudukan saudara baru yang sebenar. Kita tidak berada dalam kasut saudara Muslim. Bagaimana kita mahu merasai dan menyelami masalah saudara Muslim, jika kita tidak pernah menjadi saudara Muslim? Ini bukanlah bermaksud mereka yang lahir Islam tidak dapat memahami masalah saudara Muslim. Tetapi adalah lebih baik mereka yang benar-benar mengalami atau dalam bidang profesionalisme mereka menangani masalah-masalah ini.

Isu yang sama berbangkit apabila kita melantik pengarah-pengarah jabatan agama Islam, di mana latar belakang pengarah itu sendiri boleh dipertikaikan. Misalnya, melantik jawatan pengarah jabatan agama Islam dari kalangan mereka yang berlatar belakang sejarah, bahasa Melayu atau sains politik sebagaimana yang diisikan oleh pegawai tadbir dan diplomatik bagi negeri-negeri bersekutu. Saya tidak mengatakan ia tidak boleh. Tetapi adalah lebih baik mereka yang berlatar belakangkan pengajian Islam atau dalam bidang profesionalisme.

Kita melantik seseorang ke satu-satu jawatan bukan mengikut kesesuaian jabatan tersebut, tetapi lebih mengikut tradisi. Oleh kerana terdapat kekosongan jawatan, maka kitapun mengisi jawatan tersebut daripada mengikut tradisi tanpa menilai apakah mereka itu layak atau tidak dari segi latar belakang akademiknya. Akhirnya jabatan agama menjadi caca merba. Sama juga melantik Yang Dipertua majlis perbandaran di kalangan mereka yang bukan orang teknikal, tetapi berlatar belakangkan sains sosial. Akibat nya orang ini tidak dapat memahami keadaan yang sebenar atau menjawab soalan-soalan yang lebih mendalam. Pegawai ini akan menunggu pegawai bawahannya dalam bidang berkaitan untuk memberikan laporan.

Saya tidak mempertikaikan mereka dari sudut pentadbiran dan pengurusan, tetapi biarlah kita letakkan seseorang yang memang mengikut bidang dan profesionalisme. Saya fikir pada masa kini begitu banyak anak bangsa kita yang sudah sampai ke tahap itu. Jawatan-jawatan tidak boleh dibolot oleh sekumpulan tertentu, tetapi biarlah mengikut bidang dan pengalaman, apatah lagi dalam bidang dakwah berkaitan saudara Muslim.

Kita tidak mahu melihat seorang pengarah jabatan Islam yang dilantik tidak dapat membaca Quran dengan baik, hatta bacaan doa merekapun dipertikaikan, apatah lagi untuk memahami masalah saudara Muslim. Saya tidak menafikan ada segelintir dari kalangan mereka yang bukan bidang dapat menguruskan jabatan mereka lebih baik daripada orang agama sendiri. Namun, saya tetap percaya bahawa kita tidak ketandusan orang agama atau saudara Muslim yang boleh diketengahkan bagi tujuan menjaga imej dakwah Islamiyyah.

Hari ini kita selalu membincangkan kita mahukan sesuatu yang terbaik. Saya yakin kita tidak kurang untuk mendapatkan yang terbaik. Sikap lebih kurang atau ala kadar hendaklah dikikiskan. Lihat kejayaan orang bukan Islam, mereka selalu memilih kalangan yang terbaik untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Terbukti mereka berjaya. Lihat sahaja kes kalimah Allah, mereka melantik kalangan yang terbaik untuk mengendalikan kes ini. Akhirnya, mereka berjaya mendapatkan apa yang dihajati.

Kita pula berala kadar atau kadang-kadang tidak mengambil berat. Sampaikan kita terlepas pandang bagaimana kalimah Allah boleh diadili di mahkamah sivil. Lebih menyedihkan lagi hakimnya adalah kalangan bukan Islam mengadili kes-kes seperti ini. Akhirnya, kita ‘kalah’. Sudah sampai masanya kita meletakkan mereka yang terbaik untuk mendapatkan hasil yang terbaik, sebab Islam adalah agama yang terbaik.

Justeru, bagi mendapatkan hasil yang terbaik berkaitan dengan saudara Muslim, beberapa cadangan berikut hendaklah diteliti oleh pihak-pihak berkaitan untuk dipertimbangkan:

1. Saudara Muslim seharusnya mempunyai wakil dalam dewan rakyat dan dewan Negara. Suara mereka perlu didengar bagi melebarkan lagi perkembangan syiar Islam di kalangan bukan Islam. Jika kita mempunyai lain-lain kumpulan minoriti dalam dewan negara, kenapa tidak dengan saudara Muslim?

2. Menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Mualaf seperti mana Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, bukan sekadar satu unit kecil. Jabatan ini boleh diletakkan di bawah JAKIM dan semua Institusi agama yang lain seperti Jabatan Agama dan Majlis Agama Islam setiap negeri. Adalah lebih sesuai jika saudara Muslim menerajui jabatan ini. Sekali sekala, saudara Muslim hendaklah juga dilantik untuk menerajui institusi agama tersebut, jika didapati mereka layak. Sikap membolot semua jawatan tinggi seharusnya tidak berlaku dalam institusi agama, apatah institusi agama mempunyai kaitan rapat dengan dakwah. Letakkan kepentingan agama di hadapan berbanding kepentingan bangsa.

3. Jika Jabatan ini tidak dapat ditubuhkan maka satu Majlis Muallaf hendaklah ditubuhkan yang dianggotai oleh Mualaf pelbagai latar belakang seperti ulamak, ahli perniagaan, akademik, aktivis masyarakat dan sebagainya. Peruntukan khas hendaklah disediakan oleh JAKIM atau Majlis Agama, bagi mereka ini menjalankan kerja. Majlis ini akan membantu menangani masalah-masalah berhubung dengan muallaf. Majlis ini hendaklah mempunyai wakil Saudara Muslim di Pusat Pungutan Zakat atau Baitul Mal bagi tujuan memastikan agihan zakat tersebut benar-benar sampai kepada sasaran kalangan mereka. Pendek kata, setiap insitusi agama hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya beberapa saudara Muslim menyuarakan kebajikan dan hak mereka.

4. Setiap perkara yang berkaitan dengan cara hidup saudara Muslim hendaklah dirujuk atau mendapatkan pendapat daripada ahli jawatankuasa tersebut atau NGO-NGO saudara Muslim bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

5. Jika permintaan yang dicadangkan ini tidak dapat dipenuhi, maka pegawai-pegawai atau kakitangan Islam baka yang berada di institusi-institusi agama hendaklah diberikan latihan agar mereka faham hakikat sebenar yang dihadapi oleh saudara Muslim. Sepanjang pengalaman saya, Islam baka agar sukar untuk memahami masalah yang dihadapi oleh saudara Muslim. Jangan asyik suka menjatuhkan hukum kepada saudara Muslim. Situasi mereka berbeza dengan situasi saudara lama. Ini bermakna, ada perkara yang boleh diaplikasikan kepada saudara lama tetapi agak tidak sesuai kepada saudara Muslim.

6. Apakah mungkin suatu hari nanti, jawatan mufti turut dilantik di kalangan saudara Muslim? Sama-sama kita fikirkan.

Saya yakin jika kita dapat pecah tembok ini, imej agama Islam akan berubah. Saya langsung tidak bertujuan untuk menonjolkan imej bangsa. Tetapi apabila berlaku pertembungan, biarlah imej agama Islam diutamakan.

Mungkin ada yang bertanya, tidak cukupkah dengan persatuan-persatuan saudara baru yang ada di Malaysia? Jawapannya, Persatuan atau NGO tidak mempunyai kuasa. Mereka hanyalah bertindak sebagai pemberi input dan kadangkala sebagai kumpulan pendesak atau pressure group. Pembuat dasar adalah pihak berkuasa.

Pada saya, bangsa tidak penting. Apa jua nama bangsa terangkat, tetapi maruah agama tidak dimartabatkan. Apa guna bangsa Melayu dipandang gah, tetapi Islam merempat di bumi sendiri. Saya yakin bila agama dimartabat, secara otomatik kedudukan bangsa akan terangkat kerana itulah janji Allah. Allah tidak menilai rupa paras kita, latar belakang bangsa dan keturunan, kaya atau miskin. Apa yang penting ialah iman dan taqwa, soal penghayatan Islam. Janganlah menjadi manusia yang mulia di dunia, hina di akhirat. Biarlah kita hina di dunia, mulia di akhirat. Paling baik adalah mulia di dunia, mulia di akhirat. Inilah imej agama kita yang paling kita kehendaki, bukan sebaliknya.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

Sikap defensif akan merugikan Islam

(Al Islam bulan Feb 2010)

Bulan lalu saya mendedahkan kisah benar mengenai berita bagaimana mualaf telah ditipu dan dirogol yang telah disiarkan oleh semua akhbar tempatan. Bulan ini pula terdapat tiga peristiwa menarik untuk saya kongsi bersama para pembaca. Ia tidak dapat lari daripada isu mualaf dan murtad.

Pertama, saya didatangi oleh seorang lelaki mualaf yang memerlukan pertolongan. Beliau dalam lingkungan usia 24 telah dihalau oleh ibu bapa dan isterinya hanya kerana beliau mengambil keputusan memeluk agama Islam. Dalam keadaan sehelai sepinggang, beliau menumpang berteduh di salah sebuah surau di Ampang kerana takut diketahui oleh kedua ibu bapanya yang kini sedang mengejarnya. Kesihan sungguh dia, tiada tempat tinggal. Kepada siapakah tempat mengadu, jika kita tidak bersedia untuk mendengar? Minatnya begitu berkobar-kobar untuk mempelajari Islam. Dalam hati saya berkata, alangkah baiknya jika ada pusat latihan untuk menempatkan mereka yang kurang bernasib baik ini.

Kedua, saya mendapat panggilan telefon daripada seorang mualaf. Beliau telah dihalau daripada sebuah masjid di Ampang, hanya kerana dia masih mengekalkan tabiat lamanya iaitu meminum arak. Lanjutan itu, seorang bergelar ustaz yang berceramah di masjid tersebut, membuat generalisasi dengan mengatakan kebanyakan muallaf ini penipu. Saya telah pergi ke masjid tersebut dan membuat sedikit siasatan untuk memastikan berita tersebut. Ternyata benar. Apakah kita tindakan itu betul? Jika muallaf masih dengan tabiat lama minum arak, kita sepatutnya memberikan nasihat dan cuba berkawan dengannya agar dia meninggalkan arak. Bukan menjauhkan diri dan menghalau beliau sedemikian rupa. Bayangkan jika dia mengambil keputusan murtad. Mana lebih baik, biarlah dia minum arak atau murtad? Kita jangan terlalu bertindak ekstrim.

Ketiga, seorang doktor perubatan Melayu Islam yang saya kenali telah murtad dan memeluk agama Kristian. Puas sudah isteri, anak-anak dan adik-beradik mereka memujuk tetapi tidak juga berkesan. Beliau telah mengambil tindakan nekad, walaupun ditentang oleh seluruh ahli keluarganya. Inilah kerapuhan akidah umat Islam hari ini. Jika murtad berlaku di kalangan saudara baru, masih boleh diterima, tetapi bila melibatkan saudara lama, amat memilukan, sesuatu perlu dilakukan sebelum terlambat.

Ketiga-tiga kisah benar ini membuat saya terfikir, kenapakah perkara ini boleh berlaku? Di manakah silapnya? Apa tindakan yang patut kita buat untuk membendung perkara ini? Walaupun salah seorang bukan mualaf, tetapi ia tidak mustahil berlaku kepada mualaf. Mualaf juga tidak kurang yang murtad, setelah mereka dapati agama Islam hanya ‘indah khabar dari rupa’. Ini disebabkan oleh perbuatan umat Islam yang menyebabkan mereka kecewa lalu mengambil keputusan untuk keluar daripada agama Islam. Mungkin ada yang akan berkata, mereka murtad disebabkan oleh kerapuhan akidah mereka. Persoalan saya, apa yang telah kita lakukan untuk membantu mereka?

Setelah sekian lama mendampingi golongan ini, saya fikir sikap kita sebagai umat Islam telah menyebabkan mereka yang telah mendekati Islam, berada semakin jauh dari Islam. Saya lihat kita terlalu bersikap defensif dalam menangani isu mualaf dan murtad ini. Kita tidak mahu menerima hakikat kelemahan diri kita. Kita akan mempertahankan apa jua tindakan kita tanpa mahu menerima hakikat yang sebenar. Kenapa kita perlu menegakkan benang yang basah?

Semua sedia maklum bahawa mualaf menghadapi masalah bila memeluk agama Islam. Apatah lagi jika mereka telah dibuang jauh oleh keluarga dan tinggal sehelai sepinggang. Ke manakah tempat hendak mengadu jika bukan kepada orang Islam dan institusi yang berkaitan yang boleh menjaga kebajikan mereka.

Alangkah indah kehidupan mereka jika ada rumah perlindungan atau institusi latihan mualaf atau saudara Muslim. Tidaklah mereka merempat di sana sini, seolah-olah agama Islam tidak menyediakan platform untuk mereka. Sedangkan kita tahu, Islam adalah satu-satunya agama yang cukup mengambil berat tentang hal ehwal orang lain sama ada Islam, mahupun bukan Islam.

Bagi mereka yang bergelar mualaf, institusi zakat sudah jelas menunjukkan betapa pembelaan terhadap mualaf mesti dilakukan. Saya yakin jika kita gerakkan institusi zakat, sudah pasti nasib mereka terbela. Namun demikian, perkembangannya agak perlahan walaupun saya tidak menafikan terdapat perubahan.

Setakat ini masih belum ada lagi institusi formal untuk mualaf yang ditubuhkan, walaupun mereka selayak mendapat layanan sedemikian. Sudahlah institusi tempat mereka berlindung tidak ada, ditambah lagi dengan persepsi yang memburukkan lagi keadaan. Saudara baru dilayan seolah-olah seperti peminta sedekah dan berbagai tohmahan yang tidak sepatutnya dilemparkan. Kenapa ada persepsi yang negatif terhadap mereka? Tidakkah kita boleh bersangka baik? Jika mereka telah memeluk agama Islam, tidakkah kita boleh menerima mereka seadanya? Jangan pertikaikan niat mereka memeluk Islam! Jika benar mereka memeluk Islam tidak ikhlas, boleh tak kita menjadikan mereka ikhlas selepas itu, dengan mengambil berat akan kehidupan mereka? Inilah strategi dkawah yang dilakukan oleh pendakwah Kristian, yang berjaya memikat orang lain menganuti agama mereka. Sedangkan kita tahu agama mereka tidaklah sehebat mana berbanding agama kita.

Apakah kita perlu mengungkit dengan memberikan mualaf RM50 sehari untuk menyara kehidupan mereka seharian? Terlalu besarlah RM50 itu? Kita perlu bezakan antara program yang membazirkan wang zakat dengan program membantu mualaf.

Saya teringat kepada kata-kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pembayar zakat akan rasa berbesar hati dan senang hati jika bantuan zakat disalurkan kepada mereka atau program-program yang benar-benar memerlukan.

Mereka yang benar-benar memerlukan hari ini ialah mualaf. Mungkin ada yang bertanya, kenapa saya terlalu menekankan soal mualaf? Kita tidak pernah jadi mualaf, dengan sebab itu kita bercakap begitu senang sekali. Cuba letakkan kedudukan mualaf di tempat kita. Apakah kita boleh bertahan? Kita perlu rasa apa yang mualaf rasa, barulah kita tahu apakah masalah mualaf yang sebenar. Jika tidak, kita akan menjadi defensif dan sukar untuk menyelesaikan masalah. Dengan sebab itu, sekian lama kutipan zakat dibuat, tidak banyak perubahan yang dilakukan untuk melatih dan melahirkan mualaf yang berkualiti. Kita hanya berbangga dengan kuantiti mualaf yang bertambah dari tahun ke tahun, tetapi kualitinya amat menyedihkan.

Mualaf dan bantuan zakat tidak boleh dipisahkan. Sama ada mereka menipu atau tidak, itu kerja dia dengan Tuhan. Jika mereka menipu sekalipun, berapa banyaklah wang zakat yang diambilnya. Diapun tidak akan jadi kaya dengan mengambil wang zakat. Janganlah anggap sumbangan itu terlampau besar. Bandingkan jumlah RM50 ribu dengan murtad. Adakah harga murtad boleh disamakan dengan RM50 ribu. Begitu juga dengan harga murtad dengan minum arak. Mana lebih baik, biarkan dia murtad atau biarkan dia minum arak? Kita tidak mahu kedua-dua berlaku. Tetapi jika tidak ada pilihan, lebih baik dia minum arak daripada murtad.

Kita tidak mahu nanti bila berlaku kes murtad, kita menyalahkan orang lain, tetapi kita tidak pernah muhasabah diri sendiri. Ingat, bila mereka murtad, peguam-peguam handalan bukan Islam berada di belakang mereka. Di manakah maruah agama kita ketika itu? Justeru, janganlah kita mudah menjatuhkan hukum. Sikap ekstrim kita hanya akan menjauhkan mereka daripada agama Islam.

Saya amat mengharapkan tidak ada pihak yang terasa dengan penulisan ini, terutama institusi agama. Saya bukan hendak menuding jari kepada sesiapa. Saya mengakui bahawa pihak JAKIM dan jabatan-jabatan agama banyak membantu pergerakan dakwah di kalangan NGO seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). Jika tidak bantuan mereka, pertubuhan dakwah seperti kami tidak dapat bergerak dengan seperti seadanya hari ini. Cuma, apa cuba saya ketengah soal penambahbaikan. Kita tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan hari ini.

Saya takut, kita terlalu defensif dengan mengatakan kitalah yang paling baik. Tetapi sebenarnya tidak. Misalnya, hari ini kita begitu berbangga kerana dapat mengumpulkan wang zakat dan wang derma masjid begitu banyak. Tidakkah kita tahu bahawa wang zakat dan wang masjid yang dikumpulkan adalah untuk dibelanjakan kepada kalangan mereka yang memerlukan. Bukan untuk disimpan. Saya amat yakin mereka yang menginfaqkan harta tersebut mahukan ia digunakan di tempat yang betul.

Umat Islam perlu sedar bahawa orang bukan Islam sanggup berhabis untuk mempertahankan dan hak agama mereka. Wang ringgit sanggup dibelanja tanpa berkira. Akhirnya, mereka telah dapat apa yang sepatutnya mereka tidak berhak dapat dalam negara tercinta ini. Tetapi disebabkan oleh perjuangan mereka yang tidak pernah kenal penat, putus ada, malah sentiasa aggresif dan bukan defensif, akhirnya mereka berjaya.

Untuk makluman, MACMA adalah satu-satu pertubuhan NGO yang mula-mula membawa kes penggunaan nama Allah ke mahkamah sebelum ini, sehinggalah keputusan mahkamah tinggi membenarkan Kristian menggunakan nama Allah pada 31 Disember 2009. Selepas mahkamah menjatuhkan hukum, umat Islam seolah-olah hilang punca. Saya ingin bertanya, apakah yang kita lakukan sebelum ini? Ingatlah wahai umat Islam, walaupun Suruhanjaya Antara Agama (IFC) belum berjaya diwujudkan, tetapi kita lihat tuntutan-tuntutan mereka seolah-olah telah dipenuhi dengan jayanya. Kita asyik beralah dan menyalah. Sifat ini ada kalanya baik, tetapi jangan sampai maruah Islam tergadai. Semua berpunca daripada sikap kita yang defensif dan merasakan kita sudah bagus. Marilah kita muhasabah bersama melihat tuntutan-tuntutan orang bukan Islam yang telah merugikan agama kita.

1. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam

2. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang

3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil

4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam

5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengana orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang

6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak

7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya

8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid

9. Orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya

10. Bibel dalam bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka

11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah

12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing

13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang bukan Islam

14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah

Boleh dikatakan semua tuntutan tersebut telah berjaya diperolehi oleh bukan Islam. Maka tidak mustahil selepas ini mualaf dan saudara lama murtad kerana mereka terlalu agresif dalam melakukan kerja manakala kita pula terlalu defensif. Justeru, saya merayu agar kita mulakan langkah agar menjaga mualaf-mualaf ini dengan baik dan pertahankan hak-hak mereka, jangan sampai dicemari oleh tindakan bukan Islam yang tidak munasabah.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

Thursday, January 14, 2010

Sukarnya menjadi mualaf

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Mengejutkan! Pada 29 November 2009, terbaca berita menggemparkan dalam Mingguan Malaysia mengenai seorang mualaf dirogol oleh ketua kepada sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ketika meminta pertolongan daripada mereka. Akhbar Cina tanpa usul periksa mengaitkan dengan persatuan Cina Muslim. Apakah tujuan akhbar ini yang sebenar. Saya tidak pasti persatuan Cina Muslim yang mana, tetapi sudah tentu bukan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). Kenapa perkara ini harus berlaku? Amat memalukan sama sekali apabila seorang saudara Muslim cuba menumpang berteduh tetapi telah diambil kesempatan. Apakah salah mereka? Kenapa kita sanggup mengambil kesempatan terhadap mereka? Tidakkah mereka wajar dilindungi? Tidakkah kita terfikir akan imej Islam yang akan tercalar disebabkan oleh perbuatan jijik ini?


Apapun yang telah terjadi, semuanya di bawah ketentuan Allah SWT. Kita perlu mengambil pengajaran. Kita mesti mengambil pengajaran daripada setiap peristiwa yang berlaku sama ada baik atau buruk, terutamanya yang buruk.


Saya yakin peristiwa hitam ini tidak akan berlaku jika ada pusat perlindungan saudara Muslim yang berkali-kali telah saya bangkitkan. Kita sudah mempunyai terlalu banyak pusat latihan, latihan itu dan latihan ini. Malangnya, kita masih tidak mempunyai pusat latihan saudara baru atau saudara Muslim. Tempat untuk mereka berteduh setelah memeluk agama Islam. Sedangkan pusat tersebut boleh dibina dengan mudah menggunakan wang zakat yang dikutip hampir satu billion setiap tahun bagi negeri-negeri seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan.


Bukannya susah, ambil sahaja satu peratus, bukannya 10 peratus, daripada satu billion wang zakat, maka akan tersergamlah dengan megahnya pusat kebajikan atau latihan saudara Muslim. Mereka ada tempat mengadu dan berteduh. Malangnya, penantian ini tidak pernah kunjung tiba walaupun kita telah merdeka 52 tahun.


Persoalannya, kenapa susah sangat hendak membina pusat latihan atau rumah perlindungan saudara Muslim? Apakah kekangannya sehingga kita mengabaikan kebajikan mereka yang dijamin oleh Allah SWT dalam al-Quran? Jika saudara Muslim tidak penting, maka tidak perlulah diwujudkan jabatan atau unit khas pengIslaman mereka dan kebajikan mereka. Apakah kewujudan unit saudara Muslim sekadar untuk lakonan semata-mata untuk menunjukkan bahawa kita mengambil berat soal hidup mati saudara seMuslim?


Kenapakah hari ini bila sebut sahaja memeluk agama Islam, maka terbayang di wajah kita adalah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) atau Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), bukannya pejabat agama? PERKIM dan MACMA hanyalah badan NGO. Kami tidak ada wang yang banyak. Kami tidak ada otoriti untuk ‘mengIslamkan’ mereka mengikut saluran undang-undang. NGO hanya membantu mengIslamkan mereka, tetapi dari segi dokumentasi dan aplikasi dan implikasi undang-undang, semua tertakluk kepada Jabatan Agama Islam setiap negeri. Siapakah seharusnya lebih berperanan, NGO atau pejabat agama Islam?


Saya ingin mengingatkan kita semua bahawa tidak semua mereka yang memeluk Islam diterima baik oleh keluarga mereka. Ada yang dihalau keluar rumah, tidak kurang yang dikasari, diugut bunuh atau dibunuh dan sebagainya. Masih ingatkah lagi kita satu keluarga India Muslim yang dibunuh dalam sebuah kontena di Sungei Way satu ketika dahulu? Sehingga ke hari ini saya masih menunggu jawapan siapakah pembunuh kejam itu? Pendek kata, memeluk agama Islam bukanlah suatu perkara mudah untuk dihadapi oleh saudara Muslim walaupun memeluk agama Islam itu amat mudah dengan hanya mengucap dua kalimah syahadah. Itupun tidak mudah jika berhadapan dengan pelbagai birokrasi. Ini belum termasuk untuk mendapatkan bantuan yang sememang menjadi hak saudara Muslim.


Persoalan saya, bilakah keadaan ini akan berubah? Apakah kita harus mendengar peristiwa sebegini berlaku dan berulang lagi pada masa akan datang? Apakah tindakan proaktif kita? Ke manakah wang zakat yang dikutip sekian banyak setiap tahun? Apakah ia benar-benar disalurkan untuk kegunaan lapan asnaf tersebut yang perlu disusun mengikut keutamaan dakwah Islamiyyah hari ini?


Masih terbayang 24 tahun lalu ketika mula-mula memeluk Islam pada usia 20 tahun. Saya tidak mendapat satu senpun duit zakat, tidak ada follow up. Hidup bersendirian setelah memeluk Islam. Tiada siapa yang peduli kecuali seorang dua kawan baik saya. Nasib baik saya seorang lelaki, bayangkan jika saya seorang wanita. Saya tidak perlu ceritakan secara terperinci, cukuplah dengan mengatakan bahawa hidup sentiasa berada dalam ketakutan. Nak balik rumah takut dengan tindakan-tindakan di luar jangka. Maka berligar-ligar saya di sekitar ibu kota mencari rezeki dan sesuap nasi, sementara menunggu kemasukan ke universiti.


Perjalanan saya memeluk Islam amat panjang. Penuh ranjau dan duri. Sedikit sahaja yang manis, terlalu banyak yang pahit untuk ditelan. Pemelukan terhadap agama Islam bukan saya ditentang, malahan dihina dan dikeji oleh adik-beradik, sahabat handai dan saudara mara yang tidak Islam. Tidak kurang yang memandang hina dari kalangan yang sudah Islam. Kepada yang bukan Islam, saya tidak menyalahkan mereka, sebab mereka tidak memahami Islam. Mereka hanya mendapat gambaran Islam melalui perlakuan dan tindak-tanduk orang yang dilahirkan Islam terutama orang Melayu dan Arab.


Jika buruk mereka, maka buruklah Islam. Islam dikaitkan dengan bangsa. Itulah kefahaman mereka. Saya tidak tahu sama ada ia sengaja disalahfahamkan atau memang ia adalah satu salahfaham. Sepanjang pengetahuan saya, gambaran Islam tidak dapat diperolehi daripada sumber yang sebenar. Dengan sebab itu, terlalu banyak gambaran dan gelaran yang negatif terhadap orang Islam. Saya ingat ia hanya berlaku 24 tahun yang lalu. Tetapi sehingga kini gambaran itu tidak banyak berubah.


Bila keadaan ini berlaku, kita perlu bertanya kenapa sekian lama masih tidak berubah? Di manakah silapnya? Pada saya semua berpunca daripada imej yang kita paparkan kepada mereka. Masuk Islam masuk Melayu. Masuk Islam, menjadi sengsara, merempat meminta pertolongan. Sepatutnya, keadaan sebegini tidak berlaku, sebab kita ada institusi yang mampu menjaga mereka. Sedangkan ia tidak berlaku apabila mereka memeluk Kristian. Kristian dikaitkan dengan barat yang membawa imej positif. Masuk Kristian, dialu-alukan dengan karpet merah. Tidak merempat, ada tempat perlindungan. Malahan mereka dilatih untuk menjadi tenaga penggerak dakyah Kristian.


Hari ini saya masih boleh bernafas untuk terus memperjuangkan Islam, hanya kerana saya memeluk Islam kerana saya faham dan menghayati Islam. Jika saya seperti mereka yang memeluk Islam kerana sesuatu, apakah mungkin saya telah murtad pada hari ini? Saya tidak tahu, semuanya di bawah ketentuan Allah SWT. Tetapi saya yakin, mereka yang kosong jiwa akan mengambil jalan pintas.


Bayangkan mereka yang tidak ada asas kukuh, memeluk Islam kerana ingin berkahwin dan tujuan lain. Ke manakah tempat untuk mengadu apabila rumah tangga berantakan, bercerai-berai dan beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi. Jika mereka tidak berfikir panjang, maka murtad adalah penyudahnya. Amat malang apabila mereka ini pula yang akan menjadi penentang kepada agama Islam. Banyak kes yang telah berlaku, apabila mereka memeluk Islam tanpa latar belakang yang kukuh, apabila masalah menimpa, mengambil jalan singkat untuk murtad. Musuh-musuh Islam mempergunakan mereka. Islam ditentang oleh mereka yang pernah memeluk Islam atau murtad.


Saya ada ramai rakan yang telah memeluk Islam sekian lama, tiba-tiba mahu kembali murtad. Saya bertanya, kenapa? Mereka menceritakan bahawa sekian lama berkahwin dengan orang Islam, mereka tidak pernah dibimbing atau diajar dengan mendalam erti kalimah syahadah. Apatah untuk bersolat. Hidup mereka happy go lucky. Tidak ada perubahan seperti sebelum dan selepas memeluk Islam. Ilmu tidak meningkat, malahan menjadi lebih buruk, apabila pasangan mereka berperangai lebih buruk daripada mereka yang bukan Islam.


Bayangkan ada satu pasangan yang telah 24 tahun berkahwin, suaminya adalah saudara Muslim tidak pernah diajar bersolat. Sekian lama bersama hidup dalam sebuah keluarga, tidur sekatil, tidak ada bimbingan dan tunjuk ajar. Jiwa kosong dan hampa. Tiba-tiba sisuami tidak semena-mena terjumpa dengan seorang gadis Kristian. Gadis tersebut mengajarnya apa itu Kristian dan Nabi Isa. Secara tiba-tiba suami terbuka hati dan terpikat dengan Kristian. Akhirnya, murtadlah sisuami. Siapakah yang bersalah? Siisteri atau pejabat agama? Jangan kita menuding jari siapa yang salah, siapa yang benar? Tetapi lihatlah apa yang salah, apa yang benar?


Apa yang salah dan apakah yang benar?


1. saudara Muslim dibiarkan tanpa bimbingan. Kita jarang bertanya keperluan mereka, yang ada hanya kata-kata sindiran bila mereka datang meminta bantuan. Tidakkah boleh kita melayan mereka dengan baik seperti guru-guru tadika mengajar anak-anak mengenal Islam, penuh sabar dan tekun?

2. pasangan yang dikahwini yakni lahir Muslim tidak membimbing saudara Muslim malah perangainya lebih buruk daripada bukan Islam. Bukankah sepatutnya mereka yang lahir Islam sepatutnya memberikan bimbingan kepada mereka yang baru Islam. Jika tidak mampu, buatlah sesuatu supaya ada peningkatan. Jangan biarlah diri kita terus jahil. Kejahilan itu amat bahaya kepada akidah Islam.

3. tidak ada follow up daripada pejabat agama. Pernahkah kita bertandang ke rumah mereka? Jumpa ibu bapa mereka. Tanya mereka, apakah mereka menimbulkan masalah setelah memeluk Islam. Apakah mereka memerlukan bantuan dan pertolongan? Amat jarang perkara ini dilakukan.

4. akhbar atau media massa selalu mensensasikan cerita-cerita buruk atau negatif mengenai orang Islam. Sedangkan kes-kes yang berlaku bersifat terpencil. Kebaikan orang Islam jarang ditonjolkan, keburukan orang Islam disensasikan. Adakah ini berbaloi dalam mempamerkan imej Islam.

5. layanan terhadap saudara Muslim ibarat peminta sedekah. Bila datang ke pejabat agama, sudah ada persepsi negatif bahawa mereka mahu bantuan duit zakat. Apakah salah mereka meminta duit zakat? Duit zakat itu bukan bapak kita yang punya, tetapi ia adalah hak mereka yang berada dalam kategori 8 asnaf. Apakah rugi jika kita sedekahkan kepada mereka sedangkan kita kutip saban tahun dalam jumlah yang begitu besar? Janganlah kerana satu ratus ringgit, mereka perlu tunggu sehingga satu minggu. Pada saya, jika sepuluh ribu ringgit boleh membawa saham besar kepada Islam, apakah nilai sepuluh ringgit itu berbanding dengan satu billion. Kita boleh berbelanja begitu besar untuk pertunjukan hiburan dan artis-artis, kenapa terlalu berkira dengan saudara Muslim.

6. sebenarnya, kita memandang rendah terhadap saudara Muslim. Jika kita bersangka baik dahulu terhadap saudara Muslim, saya tidak fikir akan berlaku kejadian-kejadian buruk seperti yang diceritakan.

7. pernahkah kita bertanya khabar atau mengambil nombor telefon mereka? Kita akan telefon mereka setiap minggu atau setiap bulan, bertanya khabar dan keadaan hidup mereka? Adakah semakin baik atau sebaliknya setelah memeluk Islam?

8. sedarlah bahawa kursus selama seminggu yang disediakan kepada mereka adalah tidak cukup untuk mengatakan bahawa kita telah melakukan follow up. Tambahkan kakitangan pejabat agama. Buat lawatan khusus dari rumah ke rumah setiap bulan. Kalau tidak mampu, hubungilah mereka melalui telefon.

9. tidak memahami prioriti atau keutamaan dalam berdakwah. Kita sepatutnya mengetahui siapa sasaran dakwah kita berasaskan formula bilangan penduduk. Orang Cina 25 peratus, India 8 peratus, bumiputera Sabah Sarawak 10 peratus dan orang asli 5 peratus. Hari ini kita ada unit dakwah orang asli, apakah wujud unit dakwah orang Cina, orang India dan bumiputera Sabah dan Sarawak?

10. kita lantik senator-senator mewakili parti, etnik, NGO dan golongan tertentu, termasuk orang asli, tetapi adakah senator di kalangan saudara Muslim turut dilantik?

11. jangankan dilantik sebagai senator, saya amat jarang melihat saudara Muslim dilantik sebagai ahli majlis, Majlis Agama Islam di setiap negeri. Pernahkah kita terfikir atau terbayang untuk melantik saudara Muslim menjadi pengarah, jabatan agama Islam negeri-negeri? Kalau tak banyak, satupun jadilah. Adakah permintaan ini terlalu besar?


Banyak lagi perkara yang boleh dihuraikan. Cukuplah setakat ini dahulu. Fahami lah wahai saudara seIslamku, memeluk agama Islam tidak semudah yang disangka. Memang kami ini ibarat kain putih seperti bayi yang baru lahir. Tetapi, apakah cukup sekadar berhenti setakat itu sahaja? Berbangga dengan tidak ada dosa selepas memeluk Islam, selepas itu dibiarkan begitu sahaja. Di manakah semangat persaudaraan sesama Islam?

Monday, December 14, 2009

Formula Membina Rumah Ibadat

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Tidak berapa lama dahulu negara dikejutkan dengan isu demonstrasi kepala lembu, sebagai protes pembinaan kuil Hindu di seksyen 23 Shah Alam. Demonstrasi tersebut tidak sepatutnya berlaku, atas dasar sebagai umat Islam kita dianjurkan menghormati agama-agama lain. Sensitiviti agama hendaklah dijaga. Bayangkan jika sebaliknya berlaku, mereka menghina agama kita.


Namun, telah menjadi satu budaya politik di negara ini, kita selalu bertindak menuding jari siapakah yang salah siapa yang betul. Jarang kita bercakap apa yang salah, apa yang betul.


Semua sedia maklum dan apa yang betul adalah, bilangan kuil Hindu sudah melebihi surau dan masjid tetapi ramai yang tidak percaya.


Berdasarkan kepada Buletin Perangkaan Malaysia (terbitan Jun 2006), jumlah penduduk di Malaysia ialah seramai 26.64 juta orang. 24.8 juta orang merupakan warganegara Malaysia manakala bakinya 1.84 juta orang merupakan bukan warganegara Malaysia. Kaum Melayu (Islam) mewakili 54 % dari populasi penduduk iaitu seramai 13.48 juta orang. Kaum bumiputera (selain daripada Melayu) seramai 2.93 juta orang mewakili 11.8 %.


Ini bermakna, kaum Bumiputera mewakili 65.8 % dari jumlah keseluruhan warganegara Malaysia. Kira kira 25 % daripada penduduk Malaysia ialah kaum Cina iaitu seramai 6.22 juta orang, 7.5% terdiri daripada kaum India dengan seramai 1.86 juta orang, manakala lain-lain kaum pula seramai 1.7 % iaitu seramai 318.9 ribu orang. Hampir 85% daripada kaum India di Malaysia merupakan masyarakat Tamil. Perincian adalah seperti berikut:


1. Melayu (Bumiputera) : 13.48 juta orang (54 %)

2. Bukan Melayu (Bumiputera) : 2.93 juta orang (11.8%)

3. Cina (Bukan Bumiputera) : 6.22 juta orang (25%)

4. India (Bukan Bumiputera) : 1.86 juta orang (7.5%)

5. Lain-lain (Bukan Bumiputera) : 318.9 ribu orang (1.7%)

Jumlah : 24.8 juta orang (100%)


Berdasarkan kepada perangkaan ini, ternyata bilangan kaum India yang beragama Hindu hanya mewakili 7.5 peratus. Jika ditolak dengan mereka yang memeluk Islam dan Kristian, bilangannya mungkin bertambah kurang. Yang nyata, bilangan rumah ibadatnya berkali-kali ganda daripada bilangan penduduk majoriti, terutama umat Islam.


Menurut Syed Hamid Albar, bilangan keseluruhan kuil Hindu sama ada yang berdaftar atau tidak, adalah sebanyak 70,000. Daripada jumlah ini, menurut Persatuan Hindu Sangam, bilangan kuil besar dan kecil yang berdaftar adalah sebanyak 17,000. Selebihnya tidak berdaftar dan ada yang telah dirobohkan.


Untuk memudahkan pemahaman, baik kita bandingkan dengan keseluruhan masjid dan surau yang terdapat di negara ini yakni berjumlah 19,927. Jumlah bilangan ini akan dijadikan asas dalam perkiraan pecahan dan keperluan rumah ibadat mengikut bilangan atau jumlah penduduk. Daripada situ, kita akan dapat melihat berapakah bilangan sepatutnya keperluan rumah ibadat mengikut pecahan kaum (dengan jumlah penduduk).


Melayu (13.4 juta) = 19,927 (surau+masjid)
Bilangan yang sepatutnya = 19,927
Lebihan = 0


India (1.86 juta) = 17,000 didaftarkan drpd 70,000
Bilangan yang sepatutnya = 2,749
Lebihan = Berpuluh kali ganda


Cina (6.22 juta) = Tiada data
Bilangan yang sepatutnya = 9,195
Lebihan = ?


Bumiputera bukan Melayu (2.93 juta) = Tiada data
Bilangan yang sepatutnya = 4,331
Lebihan = ?


Lain-lain (318.9 ribu) = Tiada data
Bilangan yang sepatutnya = 471
Lebihan = ?


Melalui statistik di atas, keperluan kuil Hindu di seluruh negara mengikut pecahan penduduk adalah sebanyak 2,749 buah , Cina 9195 buah dan lain-lain 4802 buah. Bayangkan sebentar betapa jauhnya beza kedudukan yang sepatutnya dengan kedudukan yang sebenar.


Oleh kerana isu telah menjadi gempar di Selangor, elok kita lihat kedudukan rumah ibadat di sana. Negeri Selangor mempunyai berjumlah 4.8 juta. Dari jumlah ini orang Melayu mewakili 2.5 juta dengan kapasiti 358 masjid dan 1000 surau. Orang Cina Buddha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1015 tokong, orang India berjumlah 647,000 dengan 810 kuil berdaftar. Manakala, Kristian berjumlah 50,000 dengan 27 buah gereja. Jumlah gereja ini tidak termasuk gereja-gereja yang berada di rumah kedai. Statistik ini tidak termasuk kuil-kuil dan rumah ibadat yang berselerak di sana sini yang tidak didaftarkan. Butiran lanjut adalah seperti berikut:


Melayu (2.5 juta) = 1358 rumah ibadat
Keperluan = 1358
Lebihan = 0


Hindu (647,000) = 810 (daftar) rumah ibadat
Keperluan = 351
Lebihan = 459


Cina (1.3 juta) = 1015 rumah ibadat
Keperluan = 706
Lebihan = 309


Kristian (50,000) = 27 rumah ibadat
Keperluan = 27
Lebihan = Tidak termasuk rumah kedai


Berdasarkan kepada statistik ini, jelas kepada kita, setelah dicampur semua rumah ibadat bukan Islam, kedudukan masjid surau sebenarnya jauh ketinggalan. Ini baru perbandingan satu negeri, bayangkan negeri-negeri lain. Begitu besar bezanya.


Logiknya, bilangan masjid masjid surau mesti mengatasi semua rumah ibadat yang lain, jika mengambil kira majoriti penduduk Islam melebihi 54 peratus dan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan. Tetapi keadaan sebenarnya tidak berlaku. Adakah ini bukan tolak ansur? Inilah nasib umat Islam di buminya sendiri.


Justeru, tindakan kerajaan selangor membina kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam, majoriti Melayu perlu dibuat dengan berhati-hati dengan mengambil kira formula di atas dan keperluan mendesak, serta tidak ketinggalan sensitiviti umat Islam. Tidak semestinya kuil yang dirobohkan perlu diganti. Pembinaan kuil perlu dibuat mengikut keperluan, bukan mengikut perasaan.


Kajian serius perlu dibuat akan keperluan rumah ibadat bagi tujuan penyembahan dan bukan dibuat sesuka hati mengikut perasaan. Apa yang saya tahu, untuk umat Islam, kita mungkin hanya perlukan satu masjid dan surau di setiap taman. Tidak lebih dari itu. Kewajaran memang ada sebab tuntuan Islam terhadap konsep sembahyang berjamaah.


Berbanding agama lain, apa yang saya tahu hampir tiada konsep sembahyang berjamaah. Justeru, mereka sebenarnya tidak perlu kepada jumlah rumah ibadat yang banyak, apatah lagi terlalu besar dan terlampau tinggi. Sebagai sebuah negara Islam, sudah tentu kita mahu Islam sebagai agama persekutuan yang lebih dikenali berbanding agama lain.


Kita sepatutnya tidak membuat perbandingan mengenai keperluan masjid surau di kawasan majoriti Hindu seperti di Kelang, berbanding dengan keperluan kuil di kawasan majoriti umat Islam.


Kemudahan masjid surau bukan hanya untuk mereka yang tinggal berdekatan, tetapi juga untuk memenuhi keperluan mereka yang bekerja di kawasan berhampiran dan mereka yang bermusafir. Mereka memerlukan tempat ibadat untuk menunaikan tuntutan sembahyang lima waktu sehari, sembahyang jumaat serta solat berjamaah, yang tidak ada pada agama lain.


Setakat ini, kita lihat, masjid surau biasa akan digunakan semaksima mungkin dalam satu hari walaupun di mana ia berada, berbanding dengan agama lain, yang kadangkala rumah ibadat mereka langsung tidak dikunjungi dalam satu hari atau berminggu-minggu. Lebih malang lagi kewujudannya dibuat secara haram di kawasan tanah kerajaan. Bila keputusan perobohan diambil, maka pihak berkuasa didesak untuk menggantinya, sedangkan keperluan tiada. Natijahnya, ia menjadi isu perkauman yang tidak pernah selesai.


Justeru, kewujudan kuil hendaklah dipantau dan dirasionalkan pembinaannya berasaskan formula tertentu seperti yang telah dibincangkan. Jika tidak, masalah rumah ibadat ini tidak akan selesai dan sentiasa akan menghantui masyarakat kita.


Bersyukurlah dengan apa yang sedia ada. Jika dibandingkan dengan negara lain, hatta di negara bukan Islam sekalipun, kebebasan dan tolak ansur yang ada di sini tidak ada tolok banding. Justeru, janganlah diambil kesempatan atas toleransi ini. Bandingkan keadaan di Batu Caves dam bandaraya Kuala Lumpur, ia sudah cukup untuk menggambarkan betapa besarnya tolak ansur yang berlaku. Saya tidak nampak perkara ini berlaku di negara lain.


Janganlah kerana isu satu kuil Hindu dirobohkan atau dipindahkan, heboh satu Malaysia, tetapi bila masjid dirobohkan, tidak ada siapapun yang peduli.


Ingatlah keadilan bukan bermakna setiap seorang mesti dapat satu, tetapi keadilan itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Kita juga mesti ingat bahawa, agama Islam adalah agama rasmi persekutuan seperti yang termaktub perlembagaan perkara 3(1) Islam; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan.


Justeru dalam melihat keadilan ini, kita tidak wajar membuat perbandingan, oleh kerana setiap taman ada 1 masjid atau surau, maka di sana mesti ada satu kuil, satu tokong atau satu gereja.


Maksud adil bukan bererti sama rata dan sama rasa. Keadilan itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bagaimanakah meletakkan sesuatu pada tempatnya? Salah satu cara dengan melihat pecahan taburan penduduk seperti yang telah dijelaskan.


Justeru, sudah sampai masa kerajaan meneliti isu pembinaan kuil dan rumah ibadat yang lain berasaskan keadilan dan formula pecahan penduduk seperti yang telah dijelaskan. Jika tidak, sampai bila-bilapun masalah ini tidak akan selesai.

Tuesday, November 24, 2009

KORBAN EGO

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Saban tahun bila tiba Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidil Adha. Ramai kalangan kita berbondong-bondong membawa haiwan korban dengan megah untuk dikorbankan. Persoalannya, sejauh manakah korban itu meninggalkan kesan ke atas kita? Perlu diingatkan, hari raya korban tidak cukup sekadar melakukan sembelihan korban. Lebih dari itu, kita perlu bermuhasabah diri. Apakah korban yang kita lakukan itu benar-benar berjaya membentuk diri kita menjadi mukmin sejati atau sebaliknya menjadikan kita bertambah ego.


Rata-rata kita lihat (walaupun tidak kesemuanya), korban yang dilakukan semakin meningkatkan ego kita. Ego kita mendominasi di setiap sendi-sendi tubuh yang menghalangi sinar Ilahiah masuk atau ‘edging the God out’, seperti kata-kata sesetengah penulis. Kita dengan megahnya menyerahkan unta, lembu atau kambing untuk dikorbankan, dengan harapan besar bahawa binatang-binatang itu akan dapat ditunggangi di akhirat nanti.


Kita seringkali bertransaksi dengan Allah SWT, yakni masih berkira-kira dengan Allah SWT berasaskan hujah logik. Dalam kata lain, korban memerlukan pembalasan atau ganjaran. Jika ditakdirkan korban tidak diberikan ganjaran oleh SWT, saya tidak fikir ramai umat Islam berlumba-lumba yang akan melakukan korban? Kenapa kita tidak terfikir, korban yang kita lakukan adalah sebagai tanda menunjukkan rasa sayang kita teramat sangat pada Allah SWT yang telah melimpahkan nikmat dan rahmat kepada kita? Berkorban kerana sayang, bukan berkorban untuk pahala. Jika korban mengharapkan pahala itu sudah tidak ikhlas maknanya.


Dengan sebab itu, korban yang dilakukan, tidak menimbulkan rasa pengabdian, tidak ada ketundukan secara total. Sujud dalam solat lima waktu tidak sedikitpun mengikis ego kebongkakan kita. Ibadat hanya sekadar ritual semata-mata. Lebih serius lagi kita melakukan korban untuk mendapatkan sanjungan dan pujian agar digelar sebagai dermawan dalam masyarakat kerana ramai rakyat miskin yang akan menikmati daging korban. Kita lupa bahawa Allah SWT dengan tegas mengatakan dalam Al-Quran yang bermaksud:


Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah SWT, tetapi ketakwaan dari kamulah yang sampai kepadaNya. Demikianlah Allah SWT menyerahkan haiwan untukmu, supaya kamu membesarkan Allah SWT, atas apa yang telah ditunjukkanNya kepadamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat kebaikan (Surah Al-Haj: 37).


Memang tidak dinafikan bahawa manusia tidak lari daripada ego. Ego adalah salah satu sifat manusia. Namun, jika ego tidak dibendung atau tidak dikawal, ia akan merosakkan diri sendiri, hubungan rumahtangga dan hubungan kemasyarakatan. Hidup tidak berkat serta dilaknati Allah SWT. Ringkasnya, sifat egoistik akan menjadikan kita keseorangan, kerana ramai yang akan menjauhi, bukan mendekati kerana ego telah menutup nur hati.


Ego mula bertapak apabila kita mempunyai perasaan superior atau kelebihan kualiti yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada diri kita. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada bongkak sombong dengan kecantikan diri, kehebatan ilmu, kebijaksanaan yang dikurniakan, kekayaan, kuasa, populariti dan sebagainya. Semuanya ini dikurniakan oleh Allah SWT untuk kita gunakan di tempat yang betul dan bukan sebaliknya.


Oleh kerana ego ini ada dalam diri setiap manusia, kadangkala kita merasakan apa yang ada pada diri kita adalah hak mutlak kita dan ia lebih baik daripada yang lain. Kita amat sukar menerima kualiti atau kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Kita tidak mahu menghormati kelebihan orang lain. Kelebihan yang ada pada kita menyebabkan kita bongkak, sombong, besar kepala dan sebagainya. Inilah yang dinamakan ego. Kita merasakan kita sahaja yang betul, orang lain semua salah.


Menurut Imam Al-Ghazali, ego atau rasa bongkak muncul apabila ada dua orang manusia, salah seorang daripadanya merasakan dia lebih baik daripada seorang lagi. Ego menyebabkan kita sukar untuk menerima masalah yang berpunca daripada diri kita sendiri. Kita akan sentiasa berada dalam ketakutan dan risau jika ada orang lain yang lebih hebat daripada kita. Kita merasakan kita sahaja yang betul. Kita takut menerima kegagalan. Kita sentiasa mahukan kejayaan atau kemenangan, agar status terjamin. Pada kita, pendapat kita sahaja yang betul orang lain salah. Kita bersikap tidak mahu menerima pendapat orang lain walaupun kita tahu pendapat kita itu salah.


Kita tidak mahu menerima hakikat bahawa di luar sana adalah yang lebih baik daripada kita. Kita tidak memperdulikan hujah orang lain, hujah kita sahaja yang betul. Ini yang dikatakan oleh Kenneth Blanchard sebagai ‘Edging God Out’ atau mengeluarkan/membuang sifat Tuhan jauh dalam diri. Sepatutnya kita sentiasa memastikan sifat Tuhan sentiasa memayungi hidup kita atau Tuhan sentiasa berada bersama kita. Ego akan menjauhkan diri kita dari Tuhan dan menyebabkan kita tidak peduli sama ada apa yang kita perkatakan atau lakukan itu mengguris atau menghina perasaan orang lain atau tidak. Apa yang penting orang lain mesti menerima pendapat kita.


Percayalah, sifat ego ini seterusnya akan melahirkan sifat bongkak dan sifat negatif yang lain sehingga boleh mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan. Ego berlebihan adalah sifat syaitan yang ingin menyesatkan manusia. Sifat ego dan bongkak syaitan yang inilah menyebabkan ia tidak mahu tunduk kepada Adam. Syaitan merasakan dia lebih hebat daripada Adam kerana ia dibuat daripada api, sedangkan Adam daripada tanah. Justeru, syaitan tidak akan tunduk kepada manusia selama-lamanya, kerana syaitan merasakan ia lebih hebat dari manusia.



Justeru, untuk menurun atau membendung ego ini kita mesti mempunyai sifat atau menerima hakikat bahawa orang lain lebih baik daripada kita. Sifat merendah diri (humility) amat penting untuk menurunkan ego. Kita perlu menanamkan sikap bahawa, orang lain mungkin lebih hebat atau lebih daripada diri kita. Walaupun kita mungkin ada kehebatan tersebut, tetapi kita perlu menghargai kehebatan orang lain. Sifat ini akan membimbing kita untuk melihat mana yang benar dan mana yang salah, bukannya siapa yang benar atau siapa yang salah. Contohilah sifat Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah ego sama sekali. Baginda SAW sentiasa merendah diri tidak kira di mana berada walaupun dengan musuh sama sekali. Ini menyebabkan Baginda dihormati dan disanjungi,hatta oleh musuh sekalipun.


Rasulullah SAW tidak sekali menunjukkan keegoannya walaupun Baginda boleh berbuat demikian kerana Baginda adalah manusia pilihan Allah SWT. Apa yang selalu kita dengar, Baginda selalu menghormati dan meraikan pendapat orang lain. Jika Nabi bersikap ego, saya tidak fikir Islam begitu cepat berkembang hingga ke hari ini.


Allah SWT tidak menerima orang yang ada secebis rasa kebanggaan di dalam dirinya. Allah menyayangi orang-orang yang sentiasa merasa dirinya umpama melukut ditepi gantang, bagai padi yang menunduk walaupun berisi. Orang yang merasa dirinya tidak lebih baik berbanding sehina-hina manusia pada pandangan manusia. Disebabkan itu, Allah SWT menegur Rasulullah SAW apabila baginda tidak mempedulikan Ibn Maktum yang buta dan miskin.


Justeru itu, sempena hari raya korban ini, marilah kita bersama mengorbankan ego kita yang boleh merosakkan diri. Kita hanya hamba Allah SWT yang tidak dapat lari daripada salah dan silap. Jiwa hamba ini amat penting agar ego kita dapat dibendung. Mudah-mudahan dengan hari raya korban ini kita dapat menyembelih ego kita bersama, seperti mana darah korban yang mengalirkan keluar, begitulah sepatutnya ego yang akan dikeluarkan daripada diri kita.


Kita perlu ingat bahawa ritual korban yang diperingati oleh umat Islam setiap tahun berasal dari ajaran Nabi Ibrahim yang dinukilkan dalam Al-Quran surah As-Shaffat ayat 100-111, yang menceritakan keinginan Nabi Ibrahim untuk memilki anak yang soleh. Maka Allah SWT mengabulkannya dengan dikurnia anak laki-laki yang diberi nama Ismail. Pada saat itu, Ismail masih kecil, Nabi Ibrahim bermimpi untuk menyembelih anaknya, Ismail.


Apabila perintah ini turun, maka dengan rasa ikhlas dan sabar, Nabi Ismail menerima mimpi dengan rela untuk disembelih. Dengan keikhlasan kedua-dua beranak ini, Allah SWT menebus atau menggantinya dengan haiwan sembelihan lain. Bermula dari kisah inilah, tradisi korban berkembang hingga saat ini sebagai peringatan keikhlasan ayah dan anak untuk mengabdi sepenuhnya kepada Allah SWT tanpa ada sedikit pun perasaan ego atau riak dan beremosi.


Justeru, hari raya korban perlu membawa ikhtibar kepada umat Islam agar menghilangkan ego, rasa kepemilikan, keangkuhan dalam apa bentuk sekalipun, kerana ia akan menghalang seseorang itu untuk menuju keIslaman yang sebenar. Bersempena dengan hari raya korban ini, kita perlu menyembelihkan ego peribadi kita yang seringkali menghalangi diri kita untuk lebih dekat dengan Allah SWT. Ketika ego peribadi kita sembelih, di situ akan tampak kehebatan Allah SWT. Inilah sebenarnya makna spiritual hari raya korban. Jangan biarkan ego peribadi membelenggu kehidupan sehingga menimbulkan sifat kebinatangan yang ada dalam diri setiap individu.


Ingatlah, apa yang kita miliki hari ini seperti harta, takhta, isteri/anak, pangkat, bakat dan lain-lain , semuanya kepunyaan Allah SWT. Kita hanya meminjamnya buat sementara waktu. Bila sampai saat kita pergi buat selama-lamanya, semua yang dimiliki akan ditinggalkan. Apa yang akan dibawa hanya amalan baik yang dibuat semasa hidup. Semuanya berpunca daripada membendung dan membuang jauh-jauh sifat ego.


Saturday, October 31, 2009

HINAKAH MENJADI MUALAF?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Istilah mualaf atau orang yang memeluk Islam disebut dalam al-Quran. Ini bermakna, menjadi mualaf atau gelaran mualaf itu adalah satu kemuliaan kerana mereka ibarat kanak-kanak yang baru lahir, bersih daripada dosa dan noda. Saya tidak kisah sama ada mualaf ini hendak dipanggil saudara baru, saudara muslim, saudara kita dan lain-lain gelaran. Apa yang penting kebajikan dan nasib mualaf terbela.


Mualaf bukanlah golongan kelas kedua atau ketiga, tetapi mereka adalah golongan istimewa yang perlu diberikan perhatian. Malangnya, golongan ini selalu dilupakan walaupun diingatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. (Surah At-Taubah: 60)


Perlu diingatkan bahawa, Islam bermula dengan mualaf. Setelah Nabi Muhammad SAW diangkat oleh Allah SWT menjadi Rasul, maka seluruh umat Islam yang mengikuti perjuangan Rasulullah SAW adalah bergelar mualaf, kecuali Saidina Ali Abi Talib, kerana beliau memeluk Islam ketika masih di bawah umur. Contoh Saidina Ali ini jelas menunjukkan betapa remaja boleh berperanan lebih jauh dan menjadi aset kepada agama, bangsa dan negara, sekiranya mereka benar-benar insaf akan tanggungjawab dan memahami penciptaannya oleh Allah SWT, bukan sekadar main-main.


Peranan dan penglibatan mualaf di zaman awalan Islam memang tidak boleh dinafikan sama sekali. “Mualaf-mualaf” ini melibatkan diri secara aktif bersama-sama Rasulullah SAW. Perjuangan ini disambung oleh generasi seterusnya, sehinggalah Islam berkembang ke seluruh dunia, tidak ketinggalan turut sampai ke Alam Melayu.


Orang Melayu yang dahulunya beragama Hindu-Buddha, turut menjadi mualaf apabila mereka menerima Islam sebagai cara hidup, tidak kira dalam kategori usia apa sekalipun. Justeru, istilah mualaf janganlah dipandang hina kerana kita semua adalah generasi mualaf. Jika kita menghina mualaf, bermakna kita menghina diri kita sendiri kerana kita semua adalah generasi mualaf.


Perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Tidak mustahil, anak kita suatu hari nanti akan turut berkahwin dengan mualaf. Ketika itu baru kita tahu susah senang menjadi mualaf. Cuba kita letak diri kita pada tempat mereka. Baru tahu langit itu tinggi atau rendah.


Mualaf berhak mendapat apa-apa yang sepatutnya menjadi hak mereka, tanpa mengira usia, warna kulit, latar belakang, kaya atau miskin. Surah At-Taubah, ayat 60 seperti yang dipetik di atas, tidak menjelaskan mualaf itu kaya atau miskin, muda atau tua, yang penting mereka layak dan berhak untuk dibantu melalui wang zakat, di samping bimbingan dan tunjuk ajar. Perbuatan menghina atau memandang rendah terhadap mereka dilarang sama sekali kerana mereka mulia di sisi Allah SWT.


Jika mualaf itu kaya, tidak bermakna mereka tidak layak atau tidak perlu diberikan perhatian dan bantuan. Mereka tetap layak mendapat bantuan berasaskan asnaf zakat. Sama ada mereka mahu menerima atau tidak, itu persoalan lain. Bantuan tersebut perlu disalurkan sebagai tanda mengambil berat. Saya yakin mualaf yang berada (kaya) tidak akan menerima wang tersebut, sebaliknya akan mengembalikannya kepada yang berhak. Yang penting ialah “sikap ambil berat dan follow up”.


Inilah sikap yang sering kali terlepas pandang atau kita sengaja buat-buat tidak faham. Kita jangan hanya seronok melihat jumlah wang zakat yang terkumpul untuk dipuji oleh pihak-pihak tertentu bahawa kita pandai mengutip dan mengumpulkan wang zakat. Sedangkan cara wang zakat itu diuruskan dan dibahagikan adalah amat menyedihkan.


Sering kali kebajikan mualaf diabaikan. Mereka terpaksa berhadapan dengan kerenah birokrasi, hanya untuk mendapatkan sedikit bantuan RM50 atau RM100, apatah untuk mendapat lebih daripada itu. Sedangkan kita telah dimaklumkan bahawa kutipan zakat yang di Selangor dan Wilayah Persekutuan sahaja, hampir mencecah satu billion di setiap negeri tersebut, saban tahun. Bayangkan berapa banyakkah zakat yang terkumpul? Ini tidak termasuk negeri-negeri lain. Pendek kata, tidak akan ada seorangpun fakir miskin atau mualaf yang merempat di negara ini, jika wang zakat dibahagikan dan diuruskan dengan baik dan betul kepada asnaf yang memerlukan?


Kita tidak lagi boleh menyusun kelayakan penerima bantuan zakat mengikut turutan seperti

(1) fakir

(2) miskin

(3) amil

(4) mualaf

(5) hamba

(6) orang yang berhutang

(7) orang yang berjuang di jalan Allah, dan

(8) orang yang bermusafir kerana Allah SWT.


Pada hemat saya, ada kalangan asnaf ini sudah tidak memerlukan bantuan lagi. Tidakkah boleh kita meletakkan bantuan kepada mualaf sama tarafnya dengan fakir miskin lain yang jarang sekali kita terlepas pandang? atau salahkah kita meletakkan mualaf dalam senarai prioriti yang utama?


Kita sedia maklum bahawa golongan fakir miskin telah ditangani oleh banyak pihak atau agensi. Antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, wakil rakyat dan sebagainya. Sedangkan mualaf begitu sukar untuk mendapatkan bantuan. Kadang kala kita lihat amil-amil yang dilantik membantu mengutip zakat terdiri daripada mereka yang berada. Tidakkah lebih baik kiranya amil-amil itu dilantik daripada kalangan mualaf yang tidak bernasib baik? Sekurang-kurangnya, kita telah memberikan peluang pekerjaan kepada mereka di samping memenuhi tuntutan ajaran Islam membantu asnaf ini. Tidakkah ia lebih menepati konsep zakat yang sebenarnya?


Saya berasa teramat sedih, bila muallaf datang mengadu nasib malang mereka. Hidup merempat dan berada dalam keadaan serba kedaifan. Apatah lagi jika mualaf itu seorang wanita menjadi sebatang kara setelah memeluk Islam kerana dihalau oleh ahli keluarganya. Ke manakah haluan nak dituju? Terdapatkah rumah perlindungan untuk muallaf seperti ini? Jawapannya, setakat ini masih tidak ada lagi wang zakat yang digunakan untuk membina rumah perlindungan mualaf. Rumah perlindungan untuk orang lain, tidak terkira banyak.


Akibatnya, mualaf-mualaf terbiar ini berkeliaran meminta sedekah. Ada kalangan mereka yang dihina, dipandang rendah dan ditohmah disebabkan oleh sifat meminta-minta ini. Benar, sikap meminta-minta ini memang tidak digalakkan dalam Islam. Jika ditanya kepada sesiapapun, tidak ada yang mahu menjadi peminta sedekah kerana ia amat memalukan. Tetapi kenapa ia masih berlaku? Kerana mualaf tidak ada pilihan. Hidup terbuang setelah memeluk Islam.


Persoalannya, kenapa boleh berlaku perkara sedemikian? Ke manakah wang zakat yang dikutip saban tahun? Tidakkah wang ini perlu dibelanja untuk kepentingan muallaf dan asnaf yang lain? Adakah mualaf ini dianggap tidak penting? Bagaimana Islam boleh berkembang jika tidak ada mualaf? Adakah kita mahu menunggu mualaf-mualaf ini menuntut hak mereka di di akhirat nanti? Ingat, wang zakat bukan disimpan untuk hiasan atau diperagakan. Wang zakat adalah untuk dibelanja kepada asnaf yang memerlukan.


Berdasarkan pengalaman, sudahlah bantuan kewangan kepada mualaf diabaikan, malahan kadang kala mereka juga yang sering kali dipandang hina oleh mereka yang menguruskan bantuan kepada mualaf seperti pejabat-pejabat agama negeri. Muallaf seringkali dipersepsikan memeluk Islam, kerana mengharapkan bantuan atau tidak ikhlas. Persoalan saya lagi, apakah kita yang menentukan mereka ikhlas atau tidak? Bukankah kerja kita meraikan dan membimbing mereka? Kenapa perlu kita pertikaikan niat mereka? Kenapa kita terlampau berkira bila berhadapan dengan mualaf? Tetapi tidak berkira dalam soal pembaziran yang amat jelas kelihatan?


Besar sangatkah bantuan yang kita berikan sebanyak RM 50 atau RM 100 itu? Tidak bolehkah kita membantu muallaf ini dengan memberikan mereka tempat tinggal atau menghadiahkan mereka sebuah rumah kos rendah pada harga lebih kurang RM20,000.00? Berapalah sangat jumlah RM20,000.00 ini berbanding dengan hampir satu billion wang yang dikutip.


Pada hemat saya, jika kita bantu semua mualaf yang berjumlah lebih daripada 100,000 di negara kita ini, dengan kadar seorang sebuah rumah kos rendah, institusi zakat tidak akan menjadi miskin. Malah masa depan Islam semakin cerah di negara ini. Islam akan dipandang tinggi. Kita akan lihat peningkatan bilangan yang memeluk Islam.


Inilah juga salah satu strategi missionari Kristian. Menggunakan wang sebagai umpan untuk membeli akidah orang Islam dan bukan Islam. Ini bukanlah bermakna kita mahu mengikut jejak mereka atau membeli akidah orang lain, tetapi faktor kewangan memainkan peranan penting juga dalam dunia dakwah. Kenapa hari ini semakin ramai orang bukan Melayu memeluk agama Kristian?


Jawapannya, mudah. Orang Kristian tidak pernah pertikaikan niat mereka yang ingin memeluk Kristian. Malahan, mereka diraikan, di samping bantuan kewangan tidak pernah putus. Inilah perkara yang berlaku di kampung-kampung orang Asli. Missionari Kristian bergerak dengan kedudukan kewangan yang mantap. Hartawan-hartawan mereka berkorban untuk missionari Kristian. Bukan macam kita hari ini, ada wang sibuk mencari isteri yang glamour dari kalangan artis, membeli gelaran Tan Sri dan Datuk dan berlagak dengan kenderaan dan rumah mewah. Hidup dalam serba kemewahan dan pembaziran atau nafsi-nafsi. Sedangkan ada orang lain yang menagih simpati seperti muallaf tidak dihiraukan. Ingat, dalam harta kita, ada hak orang lain, sebab harta adalah milik Allah SWT, bukan milik kekal kita walaupun yang mengusahakannya. Dengan sebab itu, institusi zakat perlu berperanan. Adakah adil wang zakat dikutip setiap tahun, sedangkan bantuan mualaf hanya diberi sekali seumur hidup? Terbelakah nasib mualaf?


Perlu diingatkan, mualaf merupakan aset berharga kepada perkembangan syiar Islam, apatah lagi mereka yang masih muda remaja. Bayangkan, jika jejak langkah mualaf ini turut disertai oleh ahli keluarga mereka selepas itu. Bermakna, bilangan mualaf akan bertambah berganda-ganda. Adakah kita terfikir tentang perkara tersebut? Kenapa sedikit bantuan itu terlampau dikira?


Mualaf tidak boleh dibiarkan hidup merempat setelah mereka menerima Islam. Malangnya, setakat ini pusat latihan khas untuk mualaf pun masih belum ada. Bayangkan bagaimanakah muallaf belia remaja ini hendak pergi lebih jauh jika latihan dan ilmu mereka tidak bertambah setelah memeluk Islam.


Justeru, sudah sampai masanya mualaf diberikan perhatian yang amat serius. Kepemimpinan negara khasnya dan masyarakat umumnya, perlu disedarkan agar meletakkan martabat mualaf di tempat yang sewajarnya. Mualaf tidak boleh dipandang hina. Jika mereka memerlukan latihan, berikanlah latihan, jika mereka kurang ilmu, maka berikanlah ilmu. Jika mereka memerlukan apa-apa jua bantuan, berikanlah kerana di situ ada hak mereka. Wang zakat yang dikumpulkan mesti dibelanjakan untuk mereka. Jika tidak, kita akan disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti.


Saya sudah beberapa kali mencadangkan agar mualaf mesti mempunyai perwakilan dalam Dewan Negara. Mereka perlu dilantik menjadi senator. Sebenarnya, bukanlah jawatan yang dikejar mereka, tetapi suara mereka perlu didengar. Ingatlah, mualaf merupakan aset besar kepada perkembangan syiar Islam. Malangnya, tidak ramai yang dapat melihat akan hakikat ini.

Kesimpulannya, hinakah menjadi mualaf? Jawapannya tidak. Apa yang saya tahu, martabat mualaf sentiasa terangkat pada zaman Rasulullah SAW. Mereka adalah ahli syurga, perjuangan mereka ibarat singa di siang hari dan malamnya tidak pernah putus berkasih dengan Allah SWT. Begitulah mulianya mualaf zaman Nabi di sisi Allah SWT dan RasulullahNya. Hari ini kita adalah generasi mualaf, sama ada baru atau lama. Apakah ciri-ciri ’mualaf zaman Nabi’ ada pada mualaf hari ini? Tepuk dada tanya iman. Kepada para mualaf, buktikan kepada dunia bahawa kita bukan jenis manusia meminta-minta. Kalau dahulu kita meminta-minta, menjadi penerima zakat, buktikan pada hari ini kita pula menjadi pemberi zakat. Kalau dahulu belajar, kini mengajar. Kalau dahulu sebelum Islam kita miskin, kini menjadi kaya setelah memeluk Islam kerana Islam mengajar kita berdikari. Menjadi teladan kepada yang lain. Berubah menjadi lebih baik setelah memeluk Islam. Saya yakin kita akan menjadi aset kepada Islam dan Allah SWT akan memberi ganjaran yang sewajarnya.

Tuesday, October 6, 2009

Islam dan Kemerdekaan

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Pada tahun ini, sekali lagi hari kemerdekaan negara 31 Ogos 2009, jatuh pada bulan Ramadhan al-Mubarak (10 Ramadhan 1430). Menteri yang bertanggungjawab terhadap sambutan kemerdekaan telah membuat kenyataan awal-awal lagi bahawa sambutan tahun ini tidak akan dibuat secara besar-besaran kerana menghormati bulan Ramadhan. Sebagai umat Islam, kita amat menghargai tindakan ini. Ia menunjukkan bahawa kita semakin matang dalam menilai sesuatu yang ada kaitan dengan tatasusila hidup beragama, berbudaya dan cara hidup mengikut acuan kita.


Pada hemat saya, tindakan sebegini perlu dipanjangkan ke bulan-bulan lain jika tidak bertembung pun dengan bulan Ramadhan. Tidak salah menyambut hari kemerdekaan negara dalam bulan Ramadhan. Pokok persoalannya adalah bagaimana sambutan itu dibuat, itu sahaja? Jika dibuat seperti amalan biasa, penuh dengan hiburan melalaikan, sudah tentu ia bercanggah roh Ramadhan itu sendiri dan juga bulan-bulan yang lain. Tetapi jika disambut dengan penuh semangat patriotik, seperti pertunjukan bunga api, perbarisan dan persembahan semangat kemerdekaan (hiburan) yang tidak melampaui batas, saya fikir itu tidak salah, malah amat digalakkan. Pokoknya, sambutan tersebut hendaklah menepati kehendak Islam.


Tidak salah, jika dimasukkan sedikit unsur-unsur hiburan dalam menyambut kemerdekaan, tetapi biarkan hiburan tersebut benar-benar membawa mesej kemerdekaan, membakar semangat cintakan Tuhan Yang Esa, cintakan tanah air, cinta Rasul, kesyukuran dan sebagainya. Islam tidak pernah menolak untuk umatnya berhibur, tetapi biarkan kena pada tempatnya berlandaskan kepada ajaran Islam itu sendiri. Dalam hal ini, sudah tentu pendekatan berhibur seperti konsert Jom Heboh atau hiburan yang melalaikan ketika sambutan merdeka sebelum ini, sehingga lewat malam, bercanggah dengan roh Ramadhan. Apatah lagi, hiburan yang dipersembahkan tidak ada kena-mengenai dengan tema kemerdekaan. Ditambah dengan gelagat artis-artis yang memualkan dengan lagu-lagu picisan berunsur barat seperti rock, hip hop dan RNB. Lebih menyakitkan lagi pakaian mereka jauh dari adab sopan ketimuran dan menyimpang daripada roh kemerdekaan.


Namun, perlu diingatkan jua bahawa, tindakan tidak membuat sambutan kemerdekaan atau melarang sama sekali unsur-unsur hiburan kerana bertembung dengan Ramadhan juga boleh membawa kepada implikasi negatif. Ia seolah-olah memperlihatkan bahawa dalam Islam, bila tiba sahaja bulan puasa semuanya perlu menjadi baik dan menghormati bulan Ramadhan. Aktiviti-aktiviti berbentuk hiburan dan melalaikan serta membazir ditangguhkan atau mungkin juga diharamkan buat sementara waktu, sebagai tanda menghormati bulan yang mulia. Persoalannya, adakah Ramadhan sahaja bulan mulia, bagaimana dengan bulan-bulan yang lain? Adakah bulan (hari) lain tidak mulia? Kita tidak menafikan bahawa Ramadhan adalah penghulu segala bulan dan Jumaat adalah penghulu segala hari. Tetapi kita perlu ingat, adakah Islam sekadar menghormati hari Jumaat dan bulan Ramadhan? Adakah hari dan bulan lain tidak perlu dihormati?


Bila pemikiran sebegini ada, kita lihat apabila selesai sahaja bulan Ramadhan, maka bermulalah aktiviti yang bertentangan dengan Islam seperti hiburan melampau, melalaikan dan membazir, dibolehkan. Ia seolah-olah memperlihatkan dalam agama Islam kita boleh menjadi dua jenis manusia atau dua alam. Satu manusia/alam yang baik di bulan ramadhan, satu lagi manusia yang lain pula apabila tamat ramadhan. Sesuatu yang haram di bulan Ramadhan, menjadi halal di bulan Syawal dan bulan-bulan lain. Tindakan seperti ini amat mengelirukan dan menjadi punca agama Islam disalah fahamkan oleh umat Islam sendiri, apatah lagi orang bukan Islam.


Sama juga seperti budaya kita apabila menghadiri kenduri tahlil atau kematian atau memasuki masjid, maka di kala itu semua yang tidak menutup aurat akan pakat-pakat mencari selendang dan baju kurung, sebagai tanda penghormatan. Sedangkan pada hari lain, mereka langsung tidak memakai selendang atau baju kurung. Malah ada yang berpakaian menjolok mata. Adakah Islam sekadar memberi pernghormatan ketika menghadiri majlis kematian dan memasuki masjid? Adakah tempat lain tidak perlu dihormati? Inilah pemikiran songsang yang bahaya dalam masyarakat yang telah sekian lama merdeka. Sekejap menjadi manusia yang begitu beradab (baik), sekejap lagi menjadi manusia sebaliknya (liar). Apapun, sikap menghormati bulan Ramadhan masih lagi boleh dipuji berbanding tidak menghormati langsung.


Namun demikian, jika inilah kefahaman kita, maknanya kita masih lagi belum merdeka. Pemikiran kita masih lagi dikongkong oleh penjajah. Penjajah telah berjaya menyekularkan kita walaupun tidak menjajah kita secara langsung. Memisahkan antara kehidupan duniawi dan ukhrawi. Sedangkan kita semua tahu, dunia adalah jambatan ke akhirat. Kehidupan di dunia ini semuanya ibadah (habuan syurga) jika dilakukan dengan betul. Cara kita melihat agama daripada perspektif ibadah semata-mata seperti puasa, zakat, sembahyang, haji dan sebagainya adalah salah dan menyeleweng. Sedangkan kita semua tahu bahawa Islam itu adalah 'one way of life' atau satu cara hidup. Ia membawa makna, kehidupan kita hendaklah sentiasa baik walau di mana kita berada. Tidak kira di bulan puasa atau pun tidak. Cuma di bulan puasa kita amat dituntut mengandakan amalan kita. Meningkatkan amalan kita pada tahap terbaik atau kemuncak segala-galanya. Istiqamah perlu ada. Bukannya hanya baik di bulan puasa, dan menjadi manusia lain apabila keluar meninggalkan Ramadhan.


Tahun ini kita amat bersyukur kerana bulan kemerdekaan jatuh pada bulan puasa. Mengingatkan kita erti kemerdekaan yang sebenar. Puasa itu sebenar adalah bulan kemerdekaan. Memerdekakan diri kita daripada segala perbuatan yang merosakkan (mungkar). Memerdekakan diri kita daripada segala kejahatan atau kemungkaran (jika ada) yang kita lakukan selama 11 bulan yang lalu. Bulan puasa adalah madrasah atau latihan yang terbaik untuk menyedarkan kita agar kembali ke jalan yang benar dan kekalkanlah kebenaran itu untuk menghadapi 11 bulan seterusnya sebelum bertemu kembali Ramadhan yang akan datang. Jangan ada sama sekali yang tertangkap kerana meninggalkan puasa atau makan atau melakukan maksiat secara terang-terangan.


Merdeka bukan hanya bererti merdeka daripada penjajahan, tetapi juga merdeka akal fikiran yang sempit dan terjajah. Merdeka daripada segala kejahatan dan hasutan syaitan. Apabila kita berjaya memerdekakan diri kita bermakna, kita sudah berjaya mengekalkan identiti dan jati diri sebagai seorang Melayu Muslim yang bebas daripada penjajahan barat. Kita perlu ingat, penjajah telah meninggalkan kita 52 tahun lalu, adakah kita masih mahu berbangga dengan budaya yang ditinggalkan? Sudah tentu tidak, kerana kita ada budaya sendiri. Adakah kita sanggup menyatakan bahawa budaya atau cara hidup barat lebih baik dari cara hidup kita? Sudah tentu tidak? Budaya kita sudah tentu jauh lebih baik daripada budaya barat, terutama yang merosakkan.


Justeru, sudah sampai masa kita kembali kepada agama dan cara hidup kita bersempena dengan pertembungan bulan kemerdekaan dan bulan Ramadhan. Persoalannya, bagaimanakah menyambut hari merdeka menurut cara hidup kita? Mari kita bermuhasabah bersama. Kita perlu ingat bahawa detik 12 tengah malam adalah penentuan hari mengikut kalender Masehi (Kristian). Berbeza dengan Islam, penentu satu hari mengikut perkiraan waktu maghrib. Dengan sebab itu, elok rasanya kita mulakan sambutan tahun baru hijrah dengan mengambil kira waktu maghrib. Jika kita masih menunggu detik 12 malam pemikiran kita masih terjajah. Persoalannya, adakah salah menunggu detik 12 tengah malam? Pada saya tidak salah, tetapi kita telah meraikan bulan kalendar orang lain atau penjajah. Kenapakah kita tidak raikan kalendar kepunyaan rakyat Malaysia terlebih dahulu? Misalnya, kalendar orang Cina dan India, tidak jatuh pada detik 12 tengah malam, apatah lagi kalendar Islam.


Penentuan hari mengikut kalendar Cina sama seperti seperti kalendar Islam yakni berasaskan kepada peredaran bulan atau lebih dikenali sebagai kalendar lunar. Begitu juga dengan kalendar India, berasaskan peredaran bulan dan bintang. Pendek kata, setiap kaum mempunyai kalendar masing-masing yang tidak sama dengan kalendar barat. Ini membawa maksud, rakyat Malaysia, hampir berkongsi satu kalendar. Persoalannya, kenapa kita masih mengambil kira kalendar barat sebagai tanda aras dalam menentukan sambutan sesuatu hari perayaan (Tahun Baru Masehi) dan sambutan (sambutan kemerdekaan)?


Saya cadangkan pengisian sambutan kemerdekaan berasaskan kepada kalendar Islam (kalendar rakyat Malaysia). Bagaimanakah sambutannya? Katakan kita ambil waktu maghrib yakni hari baru dalam Islam, bermulanya sambutan kemerdekaan. Kita sambut merdeka dengan mengisytiharkan dalam semua media massa dan elektronik, sambutan kemerdekaan bermula dengan program sembahyang maghrib berjamaah di seluruh negara. Kemudian diikuti dengan aktiviti membaca ayat-ayat suci al-Quran sementara menunggu waktu Isyak atau diisi dengan ceramah kemerdekaan negara menurut Islam. Sementara bagi non-Muslim, mereka boleh menyambut kemerdekaan mengikut upacara agama masing-masing sama ada di dewan, kuil atau rumah ibadat.


Apabila masuk waktu Isyak, kita berjamaah sekali lagi. Selesai sahaja menunaikan fardu isyak, kita sambung pula dengan program solat sunat tarawih beramai-ramai (katakan 8 rakaat), diikuti dengan tazkirah Ramadhan dan Kemerdekaan. Selepas itu, lebih kurang jam 10 malam, kita mulakan upacara sambutan kemerdekaan dengan persembahan hiburan seperti persembahan lagu-lagu patriotik dan nasyid (tema kemerdekaan), bacaan puisi/syair kemerdekaan, dan akhirnya diikuti dengan pertunjukan bunga api menghampiri jam 12 tengah malam. Tepat jam 12 tengah malam, kita laungkan suara keramat, merdeka, merdeka, merdeka sebanyak 9 kali. Selepas itu, diikuti pertunjukkan bunga api lebih kurang 10 minit, program sambutan merdeka dikira selesai lebih kurang jam 12.10 pagi. Program sebegini tidak semestinya dilakukan di masjid atau surau, pada hemat saya ia amat sesuai diadakan di Dataran Merdeka atau tempat-tempat bersejarah setiap negeri. Mudah-mudahan sambutan mengikut acuan kita ini dapat meningkatkan amalan takwa kita di bulan puasa yang mulia ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa ”. Surah Al-Baqarah, ayat 183

Perlu diingatkan bahawa sebahagian besar mereka yang hadir menyambut malam merdeka adalah terdiri daripada kalangan anak-anak muda (Melayu Islam) yakni generasi yang bakal mewarisi perjuangan kita. Kita selalu dengar ada kalangan mereka yang mabuk, terlibat dalam kemalangan, merempit dan berbagai gejala sosial lagi berlaku ketika lewat malam sehingga menjelang pagi pada hari kemerdekaan. Apakah sambutan sebegini mengikut budaya dan cara hidup kita? Sudah sampai masanya kita perlu tukar amalan biasa sebelum ini yakni sambutan merdeka bermula jam 12 tengah malam sehingga pagi jam 2 atau 3 pagi, dipenuhi dengan hiburan yang melalaikan. Tidakkah pada waktu-waktu sebegini, sepatutnya semua telah berada di rumah untuk berehat dan tidur sebagai persediaan esok paginya. Inilah sebenarnya rakyat berjiwa merdeka.


Kesimpulannya, mengikut beberapa pendapat cendekiawan dan sejarahwan negara, Malaysia sebenarnya (negeri-negeri Tanah Melayu bersultan, termasuk Sabah Sarawak) tidak pernah dijajah, kecuali negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Negeri-negeri bersultan (Sabah dan Sarawak) hanya dinaungi oleh British ketika itu dan tidak pernah dijajah. Jika fakta ini diterima, orang Melayu sebenarnya memang tidak pernah dijajah. Persoalannya, jika kita tidak pernah dijajah kenapa pemikiran kita masih lagi terjajah oleh budaya dan cara hidup penjajah? Tidakkah kita sedar bahawa, penjajahan minda adalah jauh lebih bahaya daripada penjajahan yang sebenar.

IMPLIKASI ANAK PASANGAN MEMELUK ISLAM

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Saya mempunyai beberapa kawan pasangan suami isteri yang salah seorang daripadanya, sama ada suami atau isteri telah memeluk Islam. Memang tidak dinafikan, mereka menghadapi masalah dan konflik rumahtangga, terutama dalam soal penjagaan dan menentukan status agama anak-anak. Alhamdulillah, setakat ini, keadaan masih terkawal, menyebelahi kepada Islam, di mana suami atau isteri yang memeluk Islam telah berjaya memujuk pasangannya supaya anak-anak mereka mengikut agama Islam.


Malangnya, pada 23 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah membuat keputusan yang amat menyedihkan kita sebagai umat Islam. “Agama tidak sepatutnya menjadi alat untuk melarikan diri daripada tanggung jawab perkahwinan. Pemelukan agama bukan satu alasan pembubaran perkahwinan secara automatik. Perkahwinan sivil hendaklah diselesaikan melalui undang-undang sivil. Pertukaran agama hanya berkuatkuasa pada tarikh pertukaran agama yakni tidak berkuatkuasa ke belakang (not restropective). Ini bermakna mereka yang memeluk Islam masih perlu menunaikan tanggung jawab perkahwinannya mengikut undang-undang sivil sebelum berlakunya pertukaran agama”.


Keputusan itu katanya sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama. Kes yang dirujuk adalah antara Mohd. Ridzuan Abdullah atau K. Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam. Kabinet memutuskan anak-anak yang salah seorang pasangan memeluk agama Islam, mesti kekal dengan dengan agama asal (Hindu) sebelum pasangan memeluk Islam.


Keputusan ini bukan sahaja tidak menyebelahi Islam, malahan akan menimbulkan banyak implikasi lain. Implikasi yang paling besar adalah ia akan membantutkan perkembangan syiar Islam. Mereka yang telah berjinak dan berminat dengan Islam akan terus meninggalkan Islam. Manakala yang telah Islam, tidak mustahil mereka akan kembali kepada agama asal kerana takut kehilangan anak mereka. Pendek kata, keputusan ini telah menjadikan agama Islam semakin jauh daripada orang bukan Islam yang dulunya mendekati Islam.


Kita perlu ingat bahawa Islam adalah agama yang suci lagi benar. Hanya Islam yang akan menyelamatkan umat manusia, mungkin orang bukan Islam tidak akan setuju dengan kenyataan ini. Apapun, tanggungjawab memelihara agama adalah antara lima tonggak yang perlu dipertahankan dalam maqasid (matlamat) syariah yang digariskan oleh Islam. Sebagai umat Islam sama ada berkuasa atau tidak, kita wajib mempertahankan agama yang suci ini waima terpaksa mengorbankan nyawa sekali pun. Lebih-lebih lagi pihak berkuasa.


Sedarkah kita bahawa Islam tidak pernah memaksa orang bukan Islam memeluk agama suci ini. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan (kufur)(al-Baqarah: 256). Namun, setelah seseorang itu memeluk agama Islam, tidak boleh tidak, dia mesti bertanggungjawab menjaga dan memelihara agama yang suci ini tanpa berbelah bahagi. Ini termasuklah dalam hal ehwal mempertahankan agama anak-anak mereka terutama bagi golongan mualaf turut bergelar Muslim dan kekal di dalam Islam sehingga akhir hayat.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Ibu bapanya yang menentukan sama ada ia majusi, nasrani atau yahudi (riwayat Bukhari). Para fuqaha bersepakat bahawa anak-anak akan mengikut agama ibu atau bapa mereka jika mereka memeluk Islam. Islam adalah agama yang lebih baik malah ia bertepatan dengan beberapa hadis Rasulullah SAW antaranya yang bermaksud, "kanak-kanak orang Islam itu beserta ibu bapa mereka dalam syurga". Begitu juga Allah berfirman dalam surah at-Thuur ayat 21 antara lain bermaksud: orang-orang yang beriman yang telah meninggal dunia, kemudian diikuti oleh anak cucunya (keturunannya) yang juga beriman, maka Allah SWT akan mempertemukan mereka bersama-sama di dalam di dalam syurga. Semua fakta ini menunjukkan betapa penting memelihara keturunan agar beriman dan kekal dalam Islam.


Satu hal mesti dipertahankan adalah Islam adalah agama Persekutuan Malaysia. Apapun pertikaian, Islam mestilah dijadikan asas rujukan. Tindakan ini janganlah pula dilihat mendiskriminasi orang bukan Islam. Perlu diingatkan, setiap Negara di dunia ini, pasti ada agama yang mendominasi (dilindungi) terutama agama yang menjadi anutan majoriti. Dalam konteks Malaysia, agama Islam adalah agama majoriti penduduk asal dan menjadi tunggak perlembagaan.


Fenomena ini juga sama berlaku di negara lain seperti di Thailand (Buddha), Barat (Kristian), India (Hindu), China (Buddha, Taoism, Konfucius) dan sebagainya. Mempertahankan dan melindungi agama yang menjadi anutan majoriti adalah suatu perkara biasa bukannya suatu diskriminasi. Di India, misalnya, kedudukan agama Hindu tetap terpelihara dan tidak diganggu-gugat. Persoalannya, adakah kedudukan Islam dijamin di India? Apa yang kita tahu, masjid dirobohkan digantikan kuil. Umat Islam terus didiskriminasikan. Di Malaysia, walaupun berlaku ‘diskriminasi’ tetapi ia berlaku dalam bentuk positif. Inilah jarang dilihat oleh orang bukan Islam.

Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan. Orang Islam tetap menerimanya. Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.


Dalam kes ini, ternyata keputusan Kabinet itu juga membelakangkan Bahagian Syariah di Pejabat Peguam Negara, para mufti dan Mahkamah Syariah. Kerajaan Persekutuan juga turut campur tangan dalam hal ehwal agama di mana bidang kuasanya terletak pada undang-undang negeri. Tidakkah kita sedar bahawa dalam Islam, memelihara agama adalah salah satu daripada maqasid syariah yang perlu dipertahankan, termasuk juga isu murtad.


Fakta yang perlu kita ketahui ialah orang bukan Islam tidak pernah berpuas hati dengan apa yang mereka perolehi selama ini, walaupun nasib mereka selaku minoriti lebih baik daripada negara lain di dunia ini. Mereka akan terus membangkitkan sesuatu isu yang dirasakan tidak menyebelahi mereka, walaupun pada kita, penyelesaiannya sudah adil dan mencapai tahap 'win-win'. Tetapi bagi mereka tidak. Mereka akan terus membahaskan hak kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Malaysia. Namun, hak orang Islam mempertahankan kebebasan beragama sering disalah tanggap dan diketepikan terutama dalam kes melibatkan anak mualaf.


Jika inilah keputusannya, apa yang berlaku, akan berulang lagi, kerana kita selalu ambil pendekatan mahu melihat keharmonian atau menjaga hati orang lain dengan mengorbankan prinsip sendiri. Strategi kaduk naik junjung perlu difahami secara jelas. Orang bukan Islam tidak akan berhenti mendesak, menuntut dan mengugut, apatah dalam keadaan politik sekarang di mana semua pihak mahu menjaga hati mereka bagi mendapat undi mereka.


Orang bukan Islam sedar, undi mereka adalah undi penentu antara kemenangan pemerintah dan pembangkang dalam pilihan raya. Justeru, peluang ini digunakan dengan semaksimum mungkin untuk menuntut dan mendesak agar permintaan mereka dipenuhi. Lantaran itu, mereka akan mengemukakan tuntutan yang paling ekstrim. Mereka tahu, kerajaan tidak akan melayan tuntutan yang terlalu ekstrim itu, tetapi mereka yakin, kerajaan akan mempertimbangkan tuntutan ekstrim itu dengan bersetuju memberikan sedikit yakni melayan beberapa perkara dalam tuntutan tersebut. Sedikit yang diberikan itu sebenarnya adalah kemenangan besar bagi mereka.


Justeru, kita jangan pandang ringan isu ini. Memang pada mulanya ia kena pada mualaf tetapi lama kelamaan ia akan melibatkan orang Melayu juga. Kini kita lihat hak-hak orang Melayu dan Islam pun semakin lama semakin terhakis, disebabkan oleh kita terlampau memberi ‘muka’ kepada mereka yang menuntut secara melampau.


Kita perlu ingat, orang bukan Islam melalui Persatuan agama Buddha, Hindu, Kristian dan Sik sentiasa merancangkan untuk memastikan agama mereka setara dan setaraf dengan agama Islam (fair and square). Dengan sebab itu, mereka tidak pernah berputus asa untuk memastikan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) ditubuhkan. Jika kita menyerah kalah dalam isu ini, seolah-olah kita telah mengikhtiraf kewujudan IFC ini secara tidak rasmi melalui NGO mereka.


Justeru, pandangan pertubuhan-pertubuhan Islam (PEMBELA) dan individu Islam hendaklah diambil kira oleh kabinet. Semua sedia maklum, bahawa perbicaraan ini masih dijalankan, baik di Mahkamah Syariah mahupun Sivil. Kabinet mesti menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan, tanpa tekanan dari mana-mana pihak. Sementara itu, pihak yang berkenaan dan pihak yang mempunyai kepentingan jangan mengambil kesempatan dan memperalatkan perbezaan yang timbul di antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.


Sebagai contoh bagi anak yang dilahirkan oleh ibu bapa beragama Hindu, sudah tentu kedua-dua ibu bapa wajar menentukan status agama anak mereka selagi usia anak-anak itu belum mencecah 18 tahun. Namun, jika salah seorang ibu bapa anak tersebut memeluk Islam, sudah pasti kedua-dua ibu bapa tersebut ingin membesarkan anak mereka mengikut agama salah seorang daripada mereka. Memandangkan kedua-dua pihak selalunya ingin supaya anak mereka mengikut agama mereka masing-masing, penyelesaian yang terbaik adalah kedua-dua ibu bapa tersebut hendaklah diberi peluang bersama-sama membesarkan anak mereka mengikut kedua-dua agama ibu bapa masing-masing seperti dicadangkan Kabinet.


Namun demikian, orang Islam melihat dari perspektif yang berbeza. Pertama, memandangkan Islam adalah agama Persekutuan dan satu-satunya agama yang disebut secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan, maka sebarang keputusan Kabinet yang memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada hak dan kepentingan orang Islam hendaklah tidak merugikan orang Islam. Perkara ini perlu difahami dengan jelas oleh pemimpin umat Islam.


Kedua, orang Islam merasakan apabila isu pertukaran agama melibatkan orang Islam, Kabinet tidak dapat lari dari undang-undang Islam yang kini mengawal orang Islam yang baru bertukar agama tersebut. Justeru, orang Islam tersebut berhak untuk memohon mendapatkan satu ketetapan mengikut hukum Islam berkaitan status agama anak-anaknya. Adakah agama anak-anak tersebut mengikut agama Islam atau agama bukan Islam?


Bagi mendapatkan ketetapan mengikut hukum Islam, adakah Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah yang layak menentukan? Wajarkah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan diketepikan begitu sahaja? Bagaimanakah orang Islam boleh mendapatkan keadilan di Mahkamah Sivil jika pintu Mahkamah Sivil sendiri ditutup kepada orang Islam di bawah seksyen 51 Akta Memperbaharui (Perkahwinan dan Penceraian) (Law Reform Act) untuk memfailkan penceraian mereka di Mahkamah Sivil?


Ketiga, orang Islam juga melihat perkataan 'parent' di dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah ditafsirkan oleh Mahkamah sebelum ini (lihat kes Shamala Sathiyaseelan vs Dr Jeyaganesh C Mogarajah (2004) 2 MLJ 648) sebagai salah seorang ibu bapa. Perkara 12(4) menyatakan bahawa bagi anak-anak yang berumur 18 tahun ke bawah, agama mereka hendaklah ditentukan oleh ibu bapa (parent) atau penjaga kanak-kanak tersebut. Justeru, hak dan kehendak salah seorang daripada ibu bapa hendaklah juga diambil kira, tanpa melayan kehendak satu pihak sahaja. Lebih-lebih melibatkan mereka yang memeluk Islam.


Akhirnya, ternyata orang Islam dari segenap peringkat amat tidak senang dan terkilan dengan keputusan Kabinet. Seperti yang pernah diluahkan oleh Mufti Perak, para mufti, cendekiawan Islam dan NGO Islam tidak dibawa berbincang terlebih dahulu sebelum Kabinet membuat keputusan. Isu sebegini tidak boleh diselesaikan melalui mekanisme undang-undang dan Mahkamah. Perbincangan antara kedua-dua pihak secara berhikmah adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan persoalan ini. Selain itu, saya fikir orang bukan Islam perlu diyakinkan bahawa jika sekiranya anak-anak tersebut memeluk agama Islam, ia tidak sama sekali memutuskan hubungan anak-anak tersebut dengan ibu atau bapanya yang masih belum Islam. Hubungan itu berkekalan sehingga ke akhir hayat. Berdosa besar memutuskan hubungan antara anak dan kedua ibubapa mereka, tidak kira apa agama mereka. Ini adalah asas prinsip Islam. Berdasarkan pengalaman saya, anak yang beragama Islam lebih bertanggungjawab dalam menjaga ibubapa bukan Islam mereka yang telah tua berbanding yang lain.