Tuesday, November 24, 2009

KORBAN EGO

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Saban tahun bila tiba Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidil Adha. Ramai kalangan kita berbondong-bondong membawa haiwan korban dengan megah untuk dikorbankan. Persoalannya, sejauh manakah korban itu meninggalkan kesan ke atas kita? Perlu diingatkan, hari raya korban tidak cukup sekadar melakukan sembelihan korban. Lebih dari itu, kita perlu bermuhasabah diri. Apakah korban yang kita lakukan itu benar-benar berjaya membentuk diri kita menjadi mukmin sejati atau sebaliknya menjadikan kita bertambah ego.


Rata-rata kita lihat (walaupun tidak kesemuanya), korban yang dilakukan semakin meningkatkan ego kita. Ego kita mendominasi di setiap sendi-sendi tubuh yang menghalangi sinar Ilahiah masuk atau ‘edging the God out’, seperti kata-kata sesetengah penulis. Kita dengan megahnya menyerahkan unta, lembu atau kambing untuk dikorbankan, dengan harapan besar bahawa binatang-binatang itu akan dapat ditunggangi di akhirat nanti.


Kita seringkali bertransaksi dengan Allah SWT, yakni masih berkira-kira dengan Allah SWT berasaskan hujah logik. Dalam kata lain, korban memerlukan pembalasan atau ganjaran. Jika ditakdirkan korban tidak diberikan ganjaran oleh SWT, saya tidak fikir ramai umat Islam berlumba-lumba yang akan melakukan korban? Kenapa kita tidak terfikir, korban yang kita lakukan adalah sebagai tanda menunjukkan rasa sayang kita teramat sangat pada Allah SWT yang telah melimpahkan nikmat dan rahmat kepada kita? Berkorban kerana sayang, bukan berkorban untuk pahala. Jika korban mengharapkan pahala itu sudah tidak ikhlas maknanya.


Dengan sebab itu, korban yang dilakukan, tidak menimbulkan rasa pengabdian, tidak ada ketundukan secara total. Sujud dalam solat lima waktu tidak sedikitpun mengikis ego kebongkakan kita. Ibadat hanya sekadar ritual semata-mata. Lebih serius lagi kita melakukan korban untuk mendapatkan sanjungan dan pujian agar digelar sebagai dermawan dalam masyarakat kerana ramai rakyat miskin yang akan menikmati daging korban. Kita lupa bahawa Allah SWT dengan tegas mengatakan dalam Al-Quran yang bermaksud:


Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah SWT, tetapi ketakwaan dari kamulah yang sampai kepadaNya. Demikianlah Allah SWT menyerahkan haiwan untukmu, supaya kamu membesarkan Allah SWT, atas apa yang telah ditunjukkanNya kepadamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat kebaikan (Surah Al-Haj: 37).


Memang tidak dinafikan bahawa manusia tidak lari daripada ego. Ego adalah salah satu sifat manusia. Namun, jika ego tidak dibendung atau tidak dikawal, ia akan merosakkan diri sendiri, hubungan rumahtangga dan hubungan kemasyarakatan. Hidup tidak berkat serta dilaknati Allah SWT. Ringkasnya, sifat egoistik akan menjadikan kita keseorangan, kerana ramai yang akan menjauhi, bukan mendekati kerana ego telah menutup nur hati.


Ego mula bertapak apabila kita mempunyai perasaan superior atau kelebihan kualiti yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada diri kita. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada bongkak sombong dengan kecantikan diri, kehebatan ilmu, kebijaksanaan yang dikurniakan, kekayaan, kuasa, populariti dan sebagainya. Semuanya ini dikurniakan oleh Allah SWT untuk kita gunakan di tempat yang betul dan bukan sebaliknya.


Oleh kerana ego ini ada dalam diri setiap manusia, kadangkala kita merasakan apa yang ada pada diri kita adalah hak mutlak kita dan ia lebih baik daripada yang lain. Kita amat sukar menerima kualiti atau kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Kita tidak mahu menghormati kelebihan orang lain. Kelebihan yang ada pada kita menyebabkan kita bongkak, sombong, besar kepala dan sebagainya. Inilah yang dinamakan ego. Kita merasakan kita sahaja yang betul, orang lain semua salah.


Menurut Imam Al-Ghazali, ego atau rasa bongkak muncul apabila ada dua orang manusia, salah seorang daripadanya merasakan dia lebih baik daripada seorang lagi. Ego menyebabkan kita sukar untuk menerima masalah yang berpunca daripada diri kita sendiri. Kita akan sentiasa berada dalam ketakutan dan risau jika ada orang lain yang lebih hebat daripada kita. Kita merasakan kita sahaja yang betul. Kita takut menerima kegagalan. Kita sentiasa mahukan kejayaan atau kemenangan, agar status terjamin. Pada kita, pendapat kita sahaja yang betul orang lain salah. Kita bersikap tidak mahu menerima pendapat orang lain walaupun kita tahu pendapat kita itu salah.


Kita tidak mahu menerima hakikat bahawa di luar sana adalah yang lebih baik daripada kita. Kita tidak memperdulikan hujah orang lain, hujah kita sahaja yang betul. Ini yang dikatakan oleh Kenneth Blanchard sebagai ‘Edging God Out’ atau mengeluarkan/membuang sifat Tuhan jauh dalam diri. Sepatutnya kita sentiasa memastikan sifat Tuhan sentiasa memayungi hidup kita atau Tuhan sentiasa berada bersama kita. Ego akan menjauhkan diri kita dari Tuhan dan menyebabkan kita tidak peduli sama ada apa yang kita perkatakan atau lakukan itu mengguris atau menghina perasaan orang lain atau tidak. Apa yang penting orang lain mesti menerima pendapat kita.


Percayalah, sifat ego ini seterusnya akan melahirkan sifat bongkak dan sifat negatif yang lain sehingga boleh mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan. Ego berlebihan adalah sifat syaitan yang ingin menyesatkan manusia. Sifat ego dan bongkak syaitan yang inilah menyebabkan ia tidak mahu tunduk kepada Adam. Syaitan merasakan dia lebih hebat daripada Adam kerana ia dibuat daripada api, sedangkan Adam daripada tanah. Justeru, syaitan tidak akan tunduk kepada manusia selama-lamanya, kerana syaitan merasakan ia lebih hebat dari manusia.



Justeru, untuk menurun atau membendung ego ini kita mesti mempunyai sifat atau menerima hakikat bahawa orang lain lebih baik daripada kita. Sifat merendah diri (humility) amat penting untuk menurunkan ego. Kita perlu menanamkan sikap bahawa, orang lain mungkin lebih hebat atau lebih daripada diri kita. Walaupun kita mungkin ada kehebatan tersebut, tetapi kita perlu menghargai kehebatan orang lain. Sifat ini akan membimbing kita untuk melihat mana yang benar dan mana yang salah, bukannya siapa yang benar atau siapa yang salah. Contohilah sifat Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah ego sama sekali. Baginda SAW sentiasa merendah diri tidak kira di mana berada walaupun dengan musuh sama sekali. Ini menyebabkan Baginda dihormati dan disanjungi,hatta oleh musuh sekalipun.


Rasulullah SAW tidak sekali menunjukkan keegoannya walaupun Baginda boleh berbuat demikian kerana Baginda adalah manusia pilihan Allah SWT. Apa yang selalu kita dengar, Baginda selalu menghormati dan meraikan pendapat orang lain. Jika Nabi bersikap ego, saya tidak fikir Islam begitu cepat berkembang hingga ke hari ini.


Allah SWT tidak menerima orang yang ada secebis rasa kebanggaan di dalam dirinya. Allah menyayangi orang-orang yang sentiasa merasa dirinya umpama melukut ditepi gantang, bagai padi yang menunduk walaupun berisi. Orang yang merasa dirinya tidak lebih baik berbanding sehina-hina manusia pada pandangan manusia. Disebabkan itu, Allah SWT menegur Rasulullah SAW apabila baginda tidak mempedulikan Ibn Maktum yang buta dan miskin.


Justeru itu, sempena hari raya korban ini, marilah kita bersama mengorbankan ego kita yang boleh merosakkan diri. Kita hanya hamba Allah SWT yang tidak dapat lari daripada salah dan silap. Jiwa hamba ini amat penting agar ego kita dapat dibendung. Mudah-mudahan dengan hari raya korban ini kita dapat menyembelih ego kita bersama, seperti mana darah korban yang mengalirkan keluar, begitulah sepatutnya ego yang akan dikeluarkan daripada diri kita.


Kita perlu ingat bahawa ritual korban yang diperingati oleh umat Islam setiap tahun berasal dari ajaran Nabi Ibrahim yang dinukilkan dalam Al-Quran surah As-Shaffat ayat 100-111, yang menceritakan keinginan Nabi Ibrahim untuk memilki anak yang soleh. Maka Allah SWT mengabulkannya dengan dikurnia anak laki-laki yang diberi nama Ismail. Pada saat itu, Ismail masih kecil, Nabi Ibrahim bermimpi untuk menyembelih anaknya, Ismail.


Apabila perintah ini turun, maka dengan rasa ikhlas dan sabar, Nabi Ismail menerima mimpi dengan rela untuk disembelih. Dengan keikhlasan kedua-dua beranak ini, Allah SWT menebus atau menggantinya dengan haiwan sembelihan lain. Bermula dari kisah inilah, tradisi korban berkembang hingga saat ini sebagai peringatan keikhlasan ayah dan anak untuk mengabdi sepenuhnya kepada Allah SWT tanpa ada sedikit pun perasaan ego atau riak dan beremosi.


Justeru, hari raya korban perlu membawa ikhtibar kepada umat Islam agar menghilangkan ego, rasa kepemilikan, keangkuhan dalam apa bentuk sekalipun, kerana ia akan menghalang seseorang itu untuk menuju keIslaman yang sebenar. Bersempena dengan hari raya korban ini, kita perlu menyembelihkan ego peribadi kita yang seringkali menghalangi diri kita untuk lebih dekat dengan Allah SWT. Ketika ego peribadi kita sembelih, di situ akan tampak kehebatan Allah SWT. Inilah sebenarnya makna spiritual hari raya korban. Jangan biarkan ego peribadi membelenggu kehidupan sehingga menimbulkan sifat kebinatangan yang ada dalam diri setiap individu.


Ingatlah, apa yang kita miliki hari ini seperti harta, takhta, isteri/anak, pangkat, bakat dan lain-lain , semuanya kepunyaan Allah SWT. Kita hanya meminjamnya buat sementara waktu. Bila sampai saat kita pergi buat selama-lamanya, semua yang dimiliki akan ditinggalkan. Apa yang akan dibawa hanya amalan baik yang dibuat semasa hidup. Semuanya berpunca daripada membendung dan membuang jauh-jauh sifat ego.


4 comments:

  1. Salam Dr.

    Terima kasih mengingati kami hamba2 Alah yang tidak sadar diri ini. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa ku kerana sifat ego yang tidak bertempat ini.

    Saya mohon izin untuk menyedut bahan-bahan dalam blog doktor untuk dijadikan sumber dalam blog saya. Boleh doc?

    Saya menunggu keizinan doc

    ReplyDelete
  2. Salam Dr,

    Izinkan saya memanjangkan tulisan ini kepada rakan-rakan juga. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. salam dr. semoga ianya menjadi sebagai renungan untuk semua

    ReplyDelete
  4. salam...

    semoga apa yg kita korbankan diterima Allah s.w.t dan dijauhkan dari sifat riak dan ego.

    ReplyDelete