Monday, November 29, 2010

Antara imej agama dan imej bangsa

(Al Islam bulan Mac 2010)

Saya masih teringat ketika mula-mula memeluk Islam pada tahun 1985, antara nama-nama saudara Muslim atau mualaf yang agak menonjol terdapat di pejabat agama ketika itu ialah Hj Mokhtar Stock dan ustazah Hidayah (India Muslim) kalau tidak silap. Mereka adalah antara pegawai yang saya jumpa untuk mendapatkan kad pengIslaman di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shah Alam. Begitu juga beberapa nama saudara Muslim di PERKIM suatu ketika dahulu. Walaupun jawatan mereka tidaklah setinggi mana, tetapi penampilan imej mereka, dapat menarik perhatian orang bukan Islam yang mahu mendekati Islam.

Selepas itu, saya tidak lagi mendengar nama-nama saudara seMuslim yang diangkat ke jawatan yang agak berimej di pejabat agama. Hari ini, saudara Muslim, kalau adapun hanya di tempat di unit saudara baru (saudara Muslim), itupun bukan sebagai pegawai yang boleh membuat keputusan. Mereka hanya menjalankan tugas-tugas teknikal sahaja dan bukan tugas utama. Saya pun tidak pernah mendengar atau terbaca, saudara Muslim dilantik ke jawatan yang agak senior seperti timbalan pengarah jabatan agama atau majlis agama atau ahli majlis agama. Jawatan pengarah sudah tentu jauh panggang dari api. Di PERKIM pula hari ini saudara Muslim langsung tidak mendapat tempat dalam jawatan-jawatan penting berbanding dahulu. Penulisan ini bukan bertujuan untuk menarik simpati terhadap saudara Muslim.

Saya tertanya-tanya, adakah negara kita ketandusan saudara Muslim yang berkelayakan? Setahu saya bilangan mereka yang memeluk agama Islam semakin lama semakin meningkat, walaupun agak perlahan. Mereka yang memeluk agama Islam terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti doktor perubatan, jurutera, arkitek dan bidang-bidang profesionalisme yang lain. Ini membawa makna bahawa negara kita tidak ketandusan golongan saudara Muslim yang berkelayakan dan berpengalaman. Persoalannya, kenapa mereka tidak ditonjolkan demi kepentingan dakwah? Saya yakin kita dapat melihat imej dan impak dakwah yang berbeza jika saudara Muslim diberi peluang memegang jawatan tinggi dalam institusi agama. Malangnya perkara tersebut tidak pernah berlaku. Adakah saudara Muslim mungkin dianggap sebagai menggugat kedudukan saudara lama? Saya harap perkara tersebut tidak berlaku.

Pada saya jawatan tidaklah penting sangat. Namun, penampilan jawatan itu tidak kurang penting dalam proses dakwah. Bayangkan jika terdapat sekali sekala saudara Muslim dilantik menjadi pengarah jabatan agama misalnya, sudah tentu persepsi orang bukan Islam akan berbeza. Saya yakin banyak masalah saudara Muslim dapat diselesaikan. Hanya saudara Muslim yang dapat memahami keadaan dan masalah sebenar saudara Muslim yang lain.

Isu yang selalu timbul hari ini adalah kita tidak dapat menyelami kedudukan saudara baru yang sebenar. Kita tidak berada dalam kasut saudara Muslim. Bagaimana kita mahu merasai dan menyelami masalah saudara Muslim, jika kita tidak pernah menjadi saudara Muslim? Ini bukanlah bermaksud mereka yang lahir Islam tidak dapat memahami masalah saudara Muslim. Tetapi adalah lebih baik mereka yang benar-benar mengalami atau dalam bidang profesionalisme mereka menangani masalah-masalah ini.

Isu yang sama berbangkit apabila kita melantik pengarah-pengarah jabatan agama Islam, di mana latar belakang pengarah itu sendiri boleh dipertikaikan. Misalnya, melantik jawatan pengarah jabatan agama Islam dari kalangan mereka yang berlatar belakang sejarah, bahasa Melayu atau sains politik sebagaimana yang diisikan oleh pegawai tadbir dan diplomatik bagi negeri-negeri bersekutu. Saya tidak mengatakan ia tidak boleh. Tetapi adalah lebih baik mereka yang berlatar belakangkan pengajian Islam atau dalam bidang profesionalisme.

Kita melantik seseorang ke satu-satu jawatan bukan mengikut kesesuaian jabatan tersebut, tetapi lebih mengikut tradisi. Oleh kerana terdapat kekosongan jawatan, maka kitapun mengisi jawatan tersebut daripada mengikut tradisi tanpa menilai apakah mereka itu layak atau tidak dari segi latar belakang akademiknya. Akhirnya jabatan agama menjadi caca merba. Sama juga melantik Yang Dipertua majlis perbandaran di kalangan mereka yang bukan orang teknikal, tetapi berlatar belakangkan sains sosial. Akibat nya orang ini tidak dapat memahami keadaan yang sebenar atau menjawab soalan-soalan yang lebih mendalam. Pegawai ini akan menunggu pegawai bawahannya dalam bidang berkaitan untuk memberikan laporan.

Saya tidak mempertikaikan mereka dari sudut pentadbiran dan pengurusan, tetapi biarlah kita letakkan seseorang yang memang mengikut bidang dan profesionalisme. Saya fikir pada masa kini begitu banyak anak bangsa kita yang sudah sampai ke tahap itu. Jawatan-jawatan tidak boleh dibolot oleh sekumpulan tertentu, tetapi biarlah mengikut bidang dan pengalaman, apatah lagi dalam bidang dakwah berkaitan saudara Muslim.

Kita tidak mahu melihat seorang pengarah jabatan Islam yang dilantik tidak dapat membaca Quran dengan baik, hatta bacaan doa merekapun dipertikaikan, apatah lagi untuk memahami masalah saudara Muslim. Saya tidak menafikan ada segelintir dari kalangan mereka yang bukan bidang dapat menguruskan jabatan mereka lebih baik daripada orang agama sendiri. Namun, saya tetap percaya bahawa kita tidak ketandusan orang agama atau saudara Muslim yang boleh diketengahkan bagi tujuan menjaga imej dakwah Islamiyyah.

Hari ini kita selalu membincangkan kita mahukan sesuatu yang terbaik. Saya yakin kita tidak kurang untuk mendapatkan yang terbaik. Sikap lebih kurang atau ala kadar hendaklah dikikiskan. Lihat kejayaan orang bukan Islam, mereka selalu memilih kalangan yang terbaik untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Terbukti mereka berjaya. Lihat sahaja kes kalimah Allah, mereka melantik kalangan yang terbaik untuk mengendalikan kes ini. Akhirnya, mereka berjaya mendapatkan apa yang dihajati.

Kita pula berala kadar atau kadang-kadang tidak mengambil berat. Sampaikan kita terlepas pandang bagaimana kalimah Allah boleh diadili di mahkamah sivil. Lebih menyedihkan lagi hakimnya adalah kalangan bukan Islam mengadili kes-kes seperti ini. Akhirnya, kita ‘kalah’. Sudah sampai masanya kita meletakkan mereka yang terbaik untuk mendapatkan hasil yang terbaik, sebab Islam adalah agama yang terbaik.

Justeru, bagi mendapatkan hasil yang terbaik berkaitan dengan saudara Muslim, beberapa cadangan berikut hendaklah diteliti oleh pihak-pihak berkaitan untuk dipertimbangkan:

1. Saudara Muslim seharusnya mempunyai wakil dalam dewan rakyat dan dewan Negara. Suara mereka perlu didengar bagi melebarkan lagi perkembangan syiar Islam di kalangan bukan Islam. Jika kita mempunyai lain-lain kumpulan minoriti dalam dewan negara, kenapa tidak dengan saudara Muslim?

2. Menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Mualaf seperti mana Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, bukan sekadar satu unit kecil. Jabatan ini boleh diletakkan di bawah JAKIM dan semua Institusi agama yang lain seperti Jabatan Agama dan Majlis Agama Islam setiap negeri. Adalah lebih sesuai jika saudara Muslim menerajui jabatan ini. Sekali sekala, saudara Muslim hendaklah juga dilantik untuk menerajui institusi agama tersebut, jika didapati mereka layak. Sikap membolot semua jawatan tinggi seharusnya tidak berlaku dalam institusi agama, apatah institusi agama mempunyai kaitan rapat dengan dakwah. Letakkan kepentingan agama di hadapan berbanding kepentingan bangsa.

3. Jika Jabatan ini tidak dapat ditubuhkan maka satu Majlis Muallaf hendaklah ditubuhkan yang dianggotai oleh Mualaf pelbagai latar belakang seperti ulamak, ahli perniagaan, akademik, aktivis masyarakat dan sebagainya. Peruntukan khas hendaklah disediakan oleh JAKIM atau Majlis Agama, bagi mereka ini menjalankan kerja. Majlis ini akan membantu menangani masalah-masalah berhubung dengan muallaf. Majlis ini hendaklah mempunyai wakil Saudara Muslim di Pusat Pungutan Zakat atau Baitul Mal bagi tujuan memastikan agihan zakat tersebut benar-benar sampai kepada sasaran kalangan mereka. Pendek kata, setiap insitusi agama hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya beberapa saudara Muslim menyuarakan kebajikan dan hak mereka.

4. Setiap perkara yang berkaitan dengan cara hidup saudara Muslim hendaklah dirujuk atau mendapatkan pendapat daripada ahli jawatankuasa tersebut atau NGO-NGO saudara Muslim bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

5. Jika permintaan yang dicadangkan ini tidak dapat dipenuhi, maka pegawai-pegawai atau kakitangan Islam baka yang berada di institusi-institusi agama hendaklah diberikan latihan agar mereka faham hakikat sebenar yang dihadapi oleh saudara Muslim. Sepanjang pengalaman saya, Islam baka agar sukar untuk memahami masalah yang dihadapi oleh saudara Muslim. Jangan asyik suka menjatuhkan hukum kepada saudara Muslim. Situasi mereka berbeza dengan situasi saudara lama. Ini bermakna, ada perkara yang boleh diaplikasikan kepada saudara lama tetapi agak tidak sesuai kepada saudara Muslim.

6. Apakah mungkin suatu hari nanti, jawatan mufti turut dilantik di kalangan saudara Muslim? Sama-sama kita fikirkan.

Saya yakin jika kita dapat pecah tembok ini, imej agama Islam akan berubah. Saya langsung tidak bertujuan untuk menonjolkan imej bangsa. Tetapi apabila berlaku pertembungan, biarlah imej agama Islam diutamakan.

Mungkin ada yang bertanya, tidak cukupkah dengan persatuan-persatuan saudara baru yang ada di Malaysia? Jawapannya, Persatuan atau NGO tidak mempunyai kuasa. Mereka hanyalah bertindak sebagai pemberi input dan kadangkala sebagai kumpulan pendesak atau pressure group. Pembuat dasar adalah pihak berkuasa.

Pada saya, bangsa tidak penting. Apa jua nama bangsa terangkat, tetapi maruah agama tidak dimartabatkan. Apa guna bangsa Melayu dipandang gah, tetapi Islam merempat di bumi sendiri. Saya yakin bila agama dimartabat, secara otomatik kedudukan bangsa akan terangkat kerana itulah janji Allah. Allah tidak menilai rupa paras kita, latar belakang bangsa dan keturunan, kaya atau miskin. Apa yang penting ialah iman dan taqwa, soal penghayatan Islam. Janganlah menjadi manusia yang mulia di dunia, hina di akhirat. Biarlah kita hina di dunia, mulia di akhirat. Paling baik adalah mulia di dunia, mulia di akhirat. Inilah imej agama kita yang paling kita kehendaki, bukan sebaliknya.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

No comments:

Post a Comment