Saturday, October 31, 2009

HINAKAH MENJADI MUALAF?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Istilah mualaf atau orang yang memeluk Islam disebut dalam al-Quran. Ini bermakna, menjadi mualaf atau gelaran mualaf itu adalah satu kemuliaan kerana mereka ibarat kanak-kanak yang baru lahir, bersih daripada dosa dan noda. Saya tidak kisah sama ada mualaf ini hendak dipanggil saudara baru, saudara muslim, saudara kita dan lain-lain gelaran. Apa yang penting kebajikan dan nasib mualaf terbela.


Mualaf bukanlah golongan kelas kedua atau ketiga, tetapi mereka adalah golongan istimewa yang perlu diberikan perhatian. Malangnya, golongan ini selalu dilupakan walaupun diingatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. (Surah At-Taubah: 60)


Perlu diingatkan bahawa, Islam bermula dengan mualaf. Setelah Nabi Muhammad SAW diangkat oleh Allah SWT menjadi Rasul, maka seluruh umat Islam yang mengikuti perjuangan Rasulullah SAW adalah bergelar mualaf, kecuali Saidina Ali Abi Talib, kerana beliau memeluk Islam ketika masih di bawah umur. Contoh Saidina Ali ini jelas menunjukkan betapa remaja boleh berperanan lebih jauh dan menjadi aset kepada agama, bangsa dan negara, sekiranya mereka benar-benar insaf akan tanggungjawab dan memahami penciptaannya oleh Allah SWT, bukan sekadar main-main.


Peranan dan penglibatan mualaf di zaman awalan Islam memang tidak boleh dinafikan sama sekali. “Mualaf-mualaf” ini melibatkan diri secara aktif bersama-sama Rasulullah SAW. Perjuangan ini disambung oleh generasi seterusnya, sehinggalah Islam berkembang ke seluruh dunia, tidak ketinggalan turut sampai ke Alam Melayu.


Orang Melayu yang dahulunya beragama Hindu-Buddha, turut menjadi mualaf apabila mereka menerima Islam sebagai cara hidup, tidak kira dalam kategori usia apa sekalipun. Justeru, istilah mualaf janganlah dipandang hina kerana kita semua adalah generasi mualaf. Jika kita menghina mualaf, bermakna kita menghina diri kita sendiri kerana kita semua adalah generasi mualaf.


Perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Tidak mustahil, anak kita suatu hari nanti akan turut berkahwin dengan mualaf. Ketika itu baru kita tahu susah senang menjadi mualaf. Cuba kita letak diri kita pada tempat mereka. Baru tahu langit itu tinggi atau rendah.


Mualaf berhak mendapat apa-apa yang sepatutnya menjadi hak mereka, tanpa mengira usia, warna kulit, latar belakang, kaya atau miskin. Surah At-Taubah, ayat 60 seperti yang dipetik di atas, tidak menjelaskan mualaf itu kaya atau miskin, muda atau tua, yang penting mereka layak dan berhak untuk dibantu melalui wang zakat, di samping bimbingan dan tunjuk ajar. Perbuatan menghina atau memandang rendah terhadap mereka dilarang sama sekali kerana mereka mulia di sisi Allah SWT.


Jika mualaf itu kaya, tidak bermakna mereka tidak layak atau tidak perlu diberikan perhatian dan bantuan. Mereka tetap layak mendapat bantuan berasaskan asnaf zakat. Sama ada mereka mahu menerima atau tidak, itu persoalan lain. Bantuan tersebut perlu disalurkan sebagai tanda mengambil berat. Saya yakin mualaf yang berada (kaya) tidak akan menerima wang tersebut, sebaliknya akan mengembalikannya kepada yang berhak. Yang penting ialah “sikap ambil berat dan follow up”.


Inilah sikap yang sering kali terlepas pandang atau kita sengaja buat-buat tidak faham. Kita jangan hanya seronok melihat jumlah wang zakat yang terkumpul untuk dipuji oleh pihak-pihak tertentu bahawa kita pandai mengutip dan mengumpulkan wang zakat. Sedangkan cara wang zakat itu diuruskan dan dibahagikan adalah amat menyedihkan.


Sering kali kebajikan mualaf diabaikan. Mereka terpaksa berhadapan dengan kerenah birokrasi, hanya untuk mendapatkan sedikit bantuan RM50 atau RM100, apatah untuk mendapat lebih daripada itu. Sedangkan kita telah dimaklumkan bahawa kutipan zakat yang di Selangor dan Wilayah Persekutuan sahaja, hampir mencecah satu billion di setiap negeri tersebut, saban tahun. Bayangkan berapa banyakkah zakat yang terkumpul? Ini tidak termasuk negeri-negeri lain. Pendek kata, tidak akan ada seorangpun fakir miskin atau mualaf yang merempat di negara ini, jika wang zakat dibahagikan dan diuruskan dengan baik dan betul kepada asnaf yang memerlukan?


Kita tidak lagi boleh menyusun kelayakan penerima bantuan zakat mengikut turutan seperti

(1) fakir

(2) miskin

(3) amil

(4) mualaf

(5) hamba

(6) orang yang berhutang

(7) orang yang berjuang di jalan Allah, dan

(8) orang yang bermusafir kerana Allah SWT.


Pada hemat saya, ada kalangan asnaf ini sudah tidak memerlukan bantuan lagi. Tidakkah boleh kita meletakkan bantuan kepada mualaf sama tarafnya dengan fakir miskin lain yang jarang sekali kita terlepas pandang? atau salahkah kita meletakkan mualaf dalam senarai prioriti yang utama?


Kita sedia maklum bahawa golongan fakir miskin telah ditangani oleh banyak pihak atau agensi. Antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, wakil rakyat dan sebagainya. Sedangkan mualaf begitu sukar untuk mendapatkan bantuan. Kadang kala kita lihat amil-amil yang dilantik membantu mengutip zakat terdiri daripada mereka yang berada. Tidakkah lebih baik kiranya amil-amil itu dilantik daripada kalangan mualaf yang tidak bernasib baik? Sekurang-kurangnya, kita telah memberikan peluang pekerjaan kepada mereka di samping memenuhi tuntutan ajaran Islam membantu asnaf ini. Tidakkah ia lebih menepati konsep zakat yang sebenarnya?


Saya berasa teramat sedih, bila muallaf datang mengadu nasib malang mereka. Hidup merempat dan berada dalam keadaan serba kedaifan. Apatah lagi jika mualaf itu seorang wanita menjadi sebatang kara setelah memeluk Islam kerana dihalau oleh ahli keluarganya. Ke manakah haluan nak dituju? Terdapatkah rumah perlindungan untuk muallaf seperti ini? Jawapannya, setakat ini masih tidak ada lagi wang zakat yang digunakan untuk membina rumah perlindungan mualaf. Rumah perlindungan untuk orang lain, tidak terkira banyak.


Akibatnya, mualaf-mualaf terbiar ini berkeliaran meminta sedekah. Ada kalangan mereka yang dihina, dipandang rendah dan ditohmah disebabkan oleh sifat meminta-minta ini. Benar, sikap meminta-minta ini memang tidak digalakkan dalam Islam. Jika ditanya kepada sesiapapun, tidak ada yang mahu menjadi peminta sedekah kerana ia amat memalukan. Tetapi kenapa ia masih berlaku? Kerana mualaf tidak ada pilihan. Hidup terbuang setelah memeluk Islam.


Persoalannya, kenapa boleh berlaku perkara sedemikian? Ke manakah wang zakat yang dikutip saban tahun? Tidakkah wang ini perlu dibelanja untuk kepentingan muallaf dan asnaf yang lain? Adakah mualaf ini dianggap tidak penting? Bagaimana Islam boleh berkembang jika tidak ada mualaf? Adakah kita mahu menunggu mualaf-mualaf ini menuntut hak mereka di di akhirat nanti? Ingat, wang zakat bukan disimpan untuk hiasan atau diperagakan. Wang zakat adalah untuk dibelanja kepada asnaf yang memerlukan.


Berdasarkan pengalaman, sudahlah bantuan kewangan kepada mualaf diabaikan, malahan kadang kala mereka juga yang sering kali dipandang hina oleh mereka yang menguruskan bantuan kepada mualaf seperti pejabat-pejabat agama negeri. Muallaf seringkali dipersepsikan memeluk Islam, kerana mengharapkan bantuan atau tidak ikhlas. Persoalan saya lagi, apakah kita yang menentukan mereka ikhlas atau tidak? Bukankah kerja kita meraikan dan membimbing mereka? Kenapa perlu kita pertikaikan niat mereka? Kenapa kita terlampau berkira bila berhadapan dengan mualaf? Tetapi tidak berkira dalam soal pembaziran yang amat jelas kelihatan?


Besar sangatkah bantuan yang kita berikan sebanyak RM 50 atau RM 100 itu? Tidak bolehkah kita membantu muallaf ini dengan memberikan mereka tempat tinggal atau menghadiahkan mereka sebuah rumah kos rendah pada harga lebih kurang RM20,000.00? Berapalah sangat jumlah RM20,000.00 ini berbanding dengan hampir satu billion wang yang dikutip.


Pada hemat saya, jika kita bantu semua mualaf yang berjumlah lebih daripada 100,000 di negara kita ini, dengan kadar seorang sebuah rumah kos rendah, institusi zakat tidak akan menjadi miskin. Malah masa depan Islam semakin cerah di negara ini. Islam akan dipandang tinggi. Kita akan lihat peningkatan bilangan yang memeluk Islam.


Inilah juga salah satu strategi missionari Kristian. Menggunakan wang sebagai umpan untuk membeli akidah orang Islam dan bukan Islam. Ini bukanlah bermakna kita mahu mengikut jejak mereka atau membeli akidah orang lain, tetapi faktor kewangan memainkan peranan penting juga dalam dunia dakwah. Kenapa hari ini semakin ramai orang bukan Melayu memeluk agama Kristian?


Jawapannya, mudah. Orang Kristian tidak pernah pertikaikan niat mereka yang ingin memeluk Kristian. Malahan, mereka diraikan, di samping bantuan kewangan tidak pernah putus. Inilah perkara yang berlaku di kampung-kampung orang Asli. Missionari Kristian bergerak dengan kedudukan kewangan yang mantap. Hartawan-hartawan mereka berkorban untuk missionari Kristian. Bukan macam kita hari ini, ada wang sibuk mencari isteri yang glamour dari kalangan artis, membeli gelaran Tan Sri dan Datuk dan berlagak dengan kenderaan dan rumah mewah. Hidup dalam serba kemewahan dan pembaziran atau nafsi-nafsi. Sedangkan ada orang lain yang menagih simpati seperti muallaf tidak dihiraukan. Ingat, dalam harta kita, ada hak orang lain, sebab harta adalah milik Allah SWT, bukan milik kekal kita walaupun yang mengusahakannya. Dengan sebab itu, institusi zakat perlu berperanan. Adakah adil wang zakat dikutip setiap tahun, sedangkan bantuan mualaf hanya diberi sekali seumur hidup? Terbelakah nasib mualaf?


Perlu diingatkan, mualaf merupakan aset berharga kepada perkembangan syiar Islam, apatah lagi mereka yang masih muda remaja. Bayangkan, jika jejak langkah mualaf ini turut disertai oleh ahli keluarga mereka selepas itu. Bermakna, bilangan mualaf akan bertambah berganda-ganda. Adakah kita terfikir tentang perkara tersebut? Kenapa sedikit bantuan itu terlampau dikira?


Mualaf tidak boleh dibiarkan hidup merempat setelah mereka menerima Islam. Malangnya, setakat ini pusat latihan khas untuk mualaf pun masih belum ada. Bayangkan bagaimanakah muallaf belia remaja ini hendak pergi lebih jauh jika latihan dan ilmu mereka tidak bertambah setelah memeluk Islam.


Justeru, sudah sampai masanya mualaf diberikan perhatian yang amat serius. Kepemimpinan negara khasnya dan masyarakat umumnya, perlu disedarkan agar meletakkan martabat mualaf di tempat yang sewajarnya. Mualaf tidak boleh dipandang hina. Jika mereka memerlukan latihan, berikanlah latihan, jika mereka kurang ilmu, maka berikanlah ilmu. Jika mereka memerlukan apa-apa jua bantuan, berikanlah kerana di situ ada hak mereka. Wang zakat yang dikumpulkan mesti dibelanjakan untuk mereka. Jika tidak, kita akan disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti.


Saya sudah beberapa kali mencadangkan agar mualaf mesti mempunyai perwakilan dalam Dewan Negara. Mereka perlu dilantik menjadi senator. Sebenarnya, bukanlah jawatan yang dikejar mereka, tetapi suara mereka perlu didengar. Ingatlah, mualaf merupakan aset besar kepada perkembangan syiar Islam. Malangnya, tidak ramai yang dapat melihat akan hakikat ini.

Kesimpulannya, hinakah menjadi mualaf? Jawapannya tidak. Apa yang saya tahu, martabat mualaf sentiasa terangkat pada zaman Rasulullah SAW. Mereka adalah ahli syurga, perjuangan mereka ibarat singa di siang hari dan malamnya tidak pernah putus berkasih dengan Allah SWT. Begitulah mulianya mualaf zaman Nabi di sisi Allah SWT dan RasulullahNya. Hari ini kita adalah generasi mualaf, sama ada baru atau lama. Apakah ciri-ciri ’mualaf zaman Nabi’ ada pada mualaf hari ini? Tepuk dada tanya iman. Kepada para mualaf, buktikan kepada dunia bahawa kita bukan jenis manusia meminta-minta. Kalau dahulu kita meminta-minta, menjadi penerima zakat, buktikan pada hari ini kita pula menjadi pemberi zakat. Kalau dahulu belajar, kini mengajar. Kalau dahulu sebelum Islam kita miskin, kini menjadi kaya setelah memeluk Islam kerana Islam mengajar kita berdikari. Menjadi teladan kepada yang lain. Berubah menjadi lebih baik setelah memeluk Islam. Saya yakin kita akan menjadi aset kepada Islam dan Allah SWT akan memberi ganjaran yang sewajarnya.

Tuesday, October 6, 2009

Islam dan Kemerdekaan

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Pada tahun ini, sekali lagi hari kemerdekaan negara 31 Ogos 2009, jatuh pada bulan Ramadhan al-Mubarak (10 Ramadhan 1430). Menteri yang bertanggungjawab terhadap sambutan kemerdekaan telah membuat kenyataan awal-awal lagi bahawa sambutan tahun ini tidak akan dibuat secara besar-besaran kerana menghormati bulan Ramadhan. Sebagai umat Islam, kita amat menghargai tindakan ini. Ia menunjukkan bahawa kita semakin matang dalam menilai sesuatu yang ada kaitan dengan tatasusila hidup beragama, berbudaya dan cara hidup mengikut acuan kita.


Pada hemat saya, tindakan sebegini perlu dipanjangkan ke bulan-bulan lain jika tidak bertembung pun dengan bulan Ramadhan. Tidak salah menyambut hari kemerdekaan negara dalam bulan Ramadhan. Pokok persoalannya adalah bagaimana sambutan itu dibuat, itu sahaja? Jika dibuat seperti amalan biasa, penuh dengan hiburan melalaikan, sudah tentu ia bercanggah roh Ramadhan itu sendiri dan juga bulan-bulan yang lain. Tetapi jika disambut dengan penuh semangat patriotik, seperti pertunjukan bunga api, perbarisan dan persembahan semangat kemerdekaan (hiburan) yang tidak melampaui batas, saya fikir itu tidak salah, malah amat digalakkan. Pokoknya, sambutan tersebut hendaklah menepati kehendak Islam.


Tidak salah, jika dimasukkan sedikit unsur-unsur hiburan dalam menyambut kemerdekaan, tetapi biarkan hiburan tersebut benar-benar membawa mesej kemerdekaan, membakar semangat cintakan Tuhan Yang Esa, cintakan tanah air, cinta Rasul, kesyukuran dan sebagainya. Islam tidak pernah menolak untuk umatnya berhibur, tetapi biarkan kena pada tempatnya berlandaskan kepada ajaran Islam itu sendiri. Dalam hal ini, sudah tentu pendekatan berhibur seperti konsert Jom Heboh atau hiburan yang melalaikan ketika sambutan merdeka sebelum ini, sehingga lewat malam, bercanggah dengan roh Ramadhan. Apatah lagi, hiburan yang dipersembahkan tidak ada kena-mengenai dengan tema kemerdekaan. Ditambah dengan gelagat artis-artis yang memualkan dengan lagu-lagu picisan berunsur barat seperti rock, hip hop dan RNB. Lebih menyakitkan lagi pakaian mereka jauh dari adab sopan ketimuran dan menyimpang daripada roh kemerdekaan.


Namun, perlu diingatkan jua bahawa, tindakan tidak membuat sambutan kemerdekaan atau melarang sama sekali unsur-unsur hiburan kerana bertembung dengan Ramadhan juga boleh membawa kepada implikasi negatif. Ia seolah-olah memperlihatkan bahawa dalam Islam, bila tiba sahaja bulan puasa semuanya perlu menjadi baik dan menghormati bulan Ramadhan. Aktiviti-aktiviti berbentuk hiburan dan melalaikan serta membazir ditangguhkan atau mungkin juga diharamkan buat sementara waktu, sebagai tanda menghormati bulan yang mulia. Persoalannya, adakah Ramadhan sahaja bulan mulia, bagaimana dengan bulan-bulan yang lain? Adakah bulan (hari) lain tidak mulia? Kita tidak menafikan bahawa Ramadhan adalah penghulu segala bulan dan Jumaat adalah penghulu segala hari. Tetapi kita perlu ingat, adakah Islam sekadar menghormati hari Jumaat dan bulan Ramadhan? Adakah hari dan bulan lain tidak perlu dihormati?


Bila pemikiran sebegini ada, kita lihat apabila selesai sahaja bulan Ramadhan, maka bermulalah aktiviti yang bertentangan dengan Islam seperti hiburan melampau, melalaikan dan membazir, dibolehkan. Ia seolah-olah memperlihatkan dalam agama Islam kita boleh menjadi dua jenis manusia atau dua alam. Satu manusia/alam yang baik di bulan ramadhan, satu lagi manusia yang lain pula apabila tamat ramadhan. Sesuatu yang haram di bulan Ramadhan, menjadi halal di bulan Syawal dan bulan-bulan lain. Tindakan seperti ini amat mengelirukan dan menjadi punca agama Islam disalah fahamkan oleh umat Islam sendiri, apatah lagi orang bukan Islam.


Sama juga seperti budaya kita apabila menghadiri kenduri tahlil atau kematian atau memasuki masjid, maka di kala itu semua yang tidak menutup aurat akan pakat-pakat mencari selendang dan baju kurung, sebagai tanda penghormatan. Sedangkan pada hari lain, mereka langsung tidak memakai selendang atau baju kurung. Malah ada yang berpakaian menjolok mata. Adakah Islam sekadar memberi pernghormatan ketika menghadiri majlis kematian dan memasuki masjid? Adakah tempat lain tidak perlu dihormati? Inilah pemikiran songsang yang bahaya dalam masyarakat yang telah sekian lama merdeka. Sekejap menjadi manusia yang begitu beradab (baik), sekejap lagi menjadi manusia sebaliknya (liar). Apapun, sikap menghormati bulan Ramadhan masih lagi boleh dipuji berbanding tidak menghormati langsung.


Namun demikian, jika inilah kefahaman kita, maknanya kita masih lagi belum merdeka. Pemikiran kita masih lagi dikongkong oleh penjajah. Penjajah telah berjaya menyekularkan kita walaupun tidak menjajah kita secara langsung. Memisahkan antara kehidupan duniawi dan ukhrawi. Sedangkan kita semua tahu, dunia adalah jambatan ke akhirat. Kehidupan di dunia ini semuanya ibadah (habuan syurga) jika dilakukan dengan betul. Cara kita melihat agama daripada perspektif ibadah semata-mata seperti puasa, zakat, sembahyang, haji dan sebagainya adalah salah dan menyeleweng. Sedangkan kita semua tahu bahawa Islam itu adalah 'one way of life' atau satu cara hidup. Ia membawa makna, kehidupan kita hendaklah sentiasa baik walau di mana kita berada. Tidak kira di bulan puasa atau pun tidak. Cuma di bulan puasa kita amat dituntut mengandakan amalan kita. Meningkatkan amalan kita pada tahap terbaik atau kemuncak segala-galanya. Istiqamah perlu ada. Bukannya hanya baik di bulan puasa, dan menjadi manusia lain apabila keluar meninggalkan Ramadhan.


Tahun ini kita amat bersyukur kerana bulan kemerdekaan jatuh pada bulan puasa. Mengingatkan kita erti kemerdekaan yang sebenar. Puasa itu sebenar adalah bulan kemerdekaan. Memerdekakan diri kita daripada segala perbuatan yang merosakkan (mungkar). Memerdekakan diri kita daripada segala kejahatan atau kemungkaran (jika ada) yang kita lakukan selama 11 bulan yang lalu. Bulan puasa adalah madrasah atau latihan yang terbaik untuk menyedarkan kita agar kembali ke jalan yang benar dan kekalkanlah kebenaran itu untuk menghadapi 11 bulan seterusnya sebelum bertemu kembali Ramadhan yang akan datang. Jangan ada sama sekali yang tertangkap kerana meninggalkan puasa atau makan atau melakukan maksiat secara terang-terangan.


Merdeka bukan hanya bererti merdeka daripada penjajahan, tetapi juga merdeka akal fikiran yang sempit dan terjajah. Merdeka daripada segala kejahatan dan hasutan syaitan. Apabila kita berjaya memerdekakan diri kita bermakna, kita sudah berjaya mengekalkan identiti dan jati diri sebagai seorang Melayu Muslim yang bebas daripada penjajahan barat. Kita perlu ingat, penjajah telah meninggalkan kita 52 tahun lalu, adakah kita masih mahu berbangga dengan budaya yang ditinggalkan? Sudah tentu tidak, kerana kita ada budaya sendiri. Adakah kita sanggup menyatakan bahawa budaya atau cara hidup barat lebih baik dari cara hidup kita? Sudah tentu tidak? Budaya kita sudah tentu jauh lebih baik daripada budaya barat, terutama yang merosakkan.


Justeru, sudah sampai masa kita kembali kepada agama dan cara hidup kita bersempena dengan pertembungan bulan kemerdekaan dan bulan Ramadhan. Persoalannya, bagaimanakah menyambut hari merdeka menurut cara hidup kita? Mari kita bermuhasabah bersama. Kita perlu ingat bahawa detik 12 tengah malam adalah penentuan hari mengikut kalender Masehi (Kristian). Berbeza dengan Islam, penentu satu hari mengikut perkiraan waktu maghrib. Dengan sebab itu, elok rasanya kita mulakan sambutan tahun baru hijrah dengan mengambil kira waktu maghrib. Jika kita masih menunggu detik 12 malam pemikiran kita masih terjajah. Persoalannya, adakah salah menunggu detik 12 tengah malam? Pada saya tidak salah, tetapi kita telah meraikan bulan kalendar orang lain atau penjajah. Kenapakah kita tidak raikan kalendar kepunyaan rakyat Malaysia terlebih dahulu? Misalnya, kalendar orang Cina dan India, tidak jatuh pada detik 12 tengah malam, apatah lagi kalendar Islam.


Penentuan hari mengikut kalendar Cina sama seperti seperti kalendar Islam yakni berasaskan kepada peredaran bulan atau lebih dikenali sebagai kalendar lunar. Begitu juga dengan kalendar India, berasaskan peredaran bulan dan bintang. Pendek kata, setiap kaum mempunyai kalendar masing-masing yang tidak sama dengan kalendar barat. Ini membawa maksud, rakyat Malaysia, hampir berkongsi satu kalendar. Persoalannya, kenapa kita masih mengambil kira kalendar barat sebagai tanda aras dalam menentukan sambutan sesuatu hari perayaan (Tahun Baru Masehi) dan sambutan (sambutan kemerdekaan)?


Saya cadangkan pengisian sambutan kemerdekaan berasaskan kepada kalendar Islam (kalendar rakyat Malaysia). Bagaimanakah sambutannya? Katakan kita ambil waktu maghrib yakni hari baru dalam Islam, bermulanya sambutan kemerdekaan. Kita sambut merdeka dengan mengisytiharkan dalam semua media massa dan elektronik, sambutan kemerdekaan bermula dengan program sembahyang maghrib berjamaah di seluruh negara. Kemudian diikuti dengan aktiviti membaca ayat-ayat suci al-Quran sementara menunggu waktu Isyak atau diisi dengan ceramah kemerdekaan negara menurut Islam. Sementara bagi non-Muslim, mereka boleh menyambut kemerdekaan mengikut upacara agama masing-masing sama ada di dewan, kuil atau rumah ibadat.


Apabila masuk waktu Isyak, kita berjamaah sekali lagi. Selesai sahaja menunaikan fardu isyak, kita sambung pula dengan program solat sunat tarawih beramai-ramai (katakan 8 rakaat), diikuti dengan tazkirah Ramadhan dan Kemerdekaan. Selepas itu, lebih kurang jam 10 malam, kita mulakan upacara sambutan kemerdekaan dengan persembahan hiburan seperti persembahan lagu-lagu patriotik dan nasyid (tema kemerdekaan), bacaan puisi/syair kemerdekaan, dan akhirnya diikuti dengan pertunjukan bunga api menghampiri jam 12 tengah malam. Tepat jam 12 tengah malam, kita laungkan suara keramat, merdeka, merdeka, merdeka sebanyak 9 kali. Selepas itu, diikuti pertunjukkan bunga api lebih kurang 10 minit, program sambutan merdeka dikira selesai lebih kurang jam 12.10 pagi. Program sebegini tidak semestinya dilakukan di masjid atau surau, pada hemat saya ia amat sesuai diadakan di Dataran Merdeka atau tempat-tempat bersejarah setiap negeri. Mudah-mudahan sambutan mengikut acuan kita ini dapat meningkatkan amalan takwa kita di bulan puasa yang mulia ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa ”. Surah Al-Baqarah, ayat 183

Perlu diingatkan bahawa sebahagian besar mereka yang hadir menyambut malam merdeka adalah terdiri daripada kalangan anak-anak muda (Melayu Islam) yakni generasi yang bakal mewarisi perjuangan kita. Kita selalu dengar ada kalangan mereka yang mabuk, terlibat dalam kemalangan, merempit dan berbagai gejala sosial lagi berlaku ketika lewat malam sehingga menjelang pagi pada hari kemerdekaan. Apakah sambutan sebegini mengikut budaya dan cara hidup kita? Sudah sampai masanya kita perlu tukar amalan biasa sebelum ini yakni sambutan merdeka bermula jam 12 tengah malam sehingga pagi jam 2 atau 3 pagi, dipenuhi dengan hiburan yang melalaikan. Tidakkah pada waktu-waktu sebegini, sepatutnya semua telah berada di rumah untuk berehat dan tidur sebagai persediaan esok paginya. Inilah sebenarnya rakyat berjiwa merdeka.


Kesimpulannya, mengikut beberapa pendapat cendekiawan dan sejarahwan negara, Malaysia sebenarnya (negeri-negeri Tanah Melayu bersultan, termasuk Sabah Sarawak) tidak pernah dijajah, kecuali negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Negeri-negeri bersultan (Sabah dan Sarawak) hanya dinaungi oleh British ketika itu dan tidak pernah dijajah. Jika fakta ini diterima, orang Melayu sebenarnya memang tidak pernah dijajah. Persoalannya, jika kita tidak pernah dijajah kenapa pemikiran kita masih lagi terjajah oleh budaya dan cara hidup penjajah? Tidakkah kita sedar bahawa, penjajahan minda adalah jauh lebih bahaya daripada penjajahan yang sebenar.

IMPLIKASI ANAK PASANGAN MEMELUK ISLAM

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Saya mempunyai beberapa kawan pasangan suami isteri yang salah seorang daripadanya, sama ada suami atau isteri telah memeluk Islam. Memang tidak dinafikan, mereka menghadapi masalah dan konflik rumahtangga, terutama dalam soal penjagaan dan menentukan status agama anak-anak. Alhamdulillah, setakat ini, keadaan masih terkawal, menyebelahi kepada Islam, di mana suami atau isteri yang memeluk Islam telah berjaya memujuk pasangannya supaya anak-anak mereka mengikut agama Islam.


Malangnya, pada 23 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah membuat keputusan yang amat menyedihkan kita sebagai umat Islam. “Agama tidak sepatutnya menjadi alat untuk melarikan diri daripada tanggung jawab perkahwinan. Pemelukan agama bukan satu alasan pembubaran perkahwinan secara automatik. Perkahwinan sivil hendaklah diselesaikan melalui undang-undang sivil. Pertukaran agama hanya berkuatkuasa pada tarikh pertukaran agama yakni tidak berkuatkuasa ke belakang (not restropective). Ini bermakna mereka yang memeluk Islam masih perlu menunaikan tanggung jawab perkahwinannya mengikut undang-undang sivil sebelum berlakunya pertukaran agama”.


Keputusan itu katanya sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama. Kes yang dirujuk adalah antara Mohd. Ridzuan Abdullah atau K. Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam. Kabinet memutuskan anak-anak yang salah seorang pasangan memeluk agama Islam, mesti kekal dengan dengan agama asal (Hindu) sebelum pasangan memeluk Islam.


Keputusan ini bukan sahaja tidak menyebelahi Islam, malahan akan menimbulkan banyak implikasi lain. Implikasi yang paling besar adalah ia akan membantutkan perkembangan syiar Islam. Mereka yang telah berjinak dan berminat dengan Islam akan terus meninggalkan Islam. Manakala yang telah Islam, tidak mustahil mereka akan kembali kepada agama asal kerana takut kehilangan anak mereka. Pendek kata, keputusan ini telah menjadikan agama Islam semakin jauh daripada orang bukan Islam yang dulunya mendekati Islam.


Kita perlu ingat bahawa Islam adalah agama yang suci lagi benar. Hanya Islam yang akan menyelamatkan umat manusia, mungkin orang bukan Islam tidak akan setuju dengan kenyataan ini. Apapun, tanggungjawab memelihara agama adalah antara lima tonggak yang perlu dipertahankan dalam maqasid (matlamat) syariah yang digariskan oleh Islam. Sebagai umat Islam sama ada berkuasa atau tidak, kita wajib mempertahankan agama yang suci ini waima terpaksa mengorbankan nyawa sekali pun. Lebih-lebih lagi pihak berkuasa.


Sedarkah kita bahawa Islam tidak pernah memaksa orang bukan Islam memeluk agama suci ini. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan (kufur)(al-Baqarah: 256). Namun, setelah seseorang itu memeluk agama Islam, tidak boleh tidak, dia mesti bertanggungjawab menjaga dan memelihara agama yang suci ini tanpa berbelah bahagi. Ini termasuklah dalam hal ehwal mempertahankan agama anak-anak mereka terutama bagi golongan mualaf turut bergelar Muslim dan kekal di dalam Islam sehingga akhir hayat.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Ibu bapanya yang menentukan sama ada ia majusi, nasrani atau yahudi (riwayat Bukhari). Para fuqaha bersepakat bahawa anak-anak akan mengikut agama ibu atau bapa mereka jika mereka memeluk Islam. Islam adalah agama yang lebih baik malah ia bertepatan dengan beberapa hadis Rasulullah SAW antaranya yang bermaksud, "kanak-kanak orang Islam itu beserta ibu bapa mereka dalam syurga". Begitu juga Allah berfirman dalam surah at-Thuur ayat 21 antara lain bermaksud: orang-orang yang beriman yang telah meninggal dunia, kemudian diikuti oleh anak cucunya (keturunannya) yang juga beriman, maka Allah SWT akan mempertemukan mereka bersama-sama di dalam di dalam syurga. Semua fakta ini menunjukkan betapa penting memelihara keturunan agar beriman dan kekal dalam Islam.


Satu hal mesti dipertahankan adalah Islam adalah agama Persekutuan Malaysia. Apapun pertikaian, Islam mestilah dijadikan asas rujukan. Tindakan ini janganlah pula dilihat mendiskriminasi orang bukan Islam. Perlu diingatkan, setiap Negara di dunia ini, pasti ada agama yang mendominasi (dilindungi) terutama agama yang menjadi anutan majoriti. Dalam konteks Malaysia, agama Islam adalah agama majoriti penduduk asal dan menjadi tunggak perlembagaan.


Fenomena ini juga sama berlaku di negara lain seperti di Thailand (Buddha), Barat (Kristian), India (Hindu), China (Buddha, Taoism, Konfucius) dan sebagainya. Mempertahankan dan melindungi agama yang menjadi anutan majoriti adalah suatu perkara biasa bukannya suatu diskriminasi. Di India, misalnya, kedudukan agama Hindu tetap terpelihara dan tidak diganggu-gugat. Persoalannya, adakah kedudukan Islam dijamin di India? Apa yang kita tahu, masjid dirobohkan digantikan kuil. Umat Islam terus didiskriminasikan. Di Malaysia, walaupun berlaku ‘diskriminasi’ tetapi ia berlaku dalam bentuk positif. Inilah jarang dilihat oleh orang bukan Islam.

Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan. Orang Islam tetap menerimanya. Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.


Dalam kes ini, ternyata keputusan Kabinet itu juga membelakangkan Bahagian Syariah di Pejabat Peguam Negara, para mufti dan Mahkamah Syariah. Kerajaan Persekutuan juga turut campur tangan dalam hal ehwal agama di mana bidang kuasanya terletak pada undang-undang negeri. Tidakkah kita sedar bahawa dalam Islam, memelihara agama adalah salah satu daripada maqasid syariah yang perlu dipertahankan, termasuk juga isu murtad.


Fakta yang perlu kita ketahui ialah orang bukan Islam tidak pernah berpuas hati dengan apa yang mereka perolehi selama ini, walaupun nasib mereka selaku minoriti lebih baik daripada negara lain di dunia ini. Mereka akan terus membangkitkan sesuatu isu yang dirasakan tidak menyebelahi mereka, walaupun pada kita, penyelesaiannya sudah adil dan mencapai tahap 'win-win'. Tetapi bagi mereka tidak. Mereka akan terus membahaskan hak kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Malaysia. Namun, hak orang Islam mempertahankan kebebasan beragama sering disalah tanggap dan diketepikan terutama dalam kes melibatkan anak mualaf.


Jika inilah keputusannya, apa yang berlaku, akan berulang lagi, kerana kita selalu ambil pendekatan mahu melihat keharmonian atau menjaga hati orang lain dengan mengorbankan prinsip sendiri. Strategi kaduk naik junjung perlu difahami secara jelas. Orang bukan Islam tidak akan berhenti mendesak, menuntut dan mengugut, apatah dalam keadaan politik sekarang di mana semua pihak mahu menjaga hati mereka bagi mendapat undi mereka.


Orang bukan Islam sedar, undi mereka adalah undi penentu antara kemenangan pemerintah dan pembangkang dalam pilihan raya. Justeru, peluang ini digunakan dengan semaksimum mungkin untuk menuntut dan mendesak agar permintaan mereka dipenuhi. Lantaran itu, mereka akan mengemukakan tuntutan yang paling ekstrim. Mereka tahu, kerajaan tidak akan melayan tuntutan yang terlalu ekstrim itu, tetapi mereka yakin, kerajaan akan mempertimbangkan tuntutan ekstrim itu dengan bersetuju memberikan sedikit yakni melayan beberapa perkara dalam tuntutan tersebut. Sedikit yang diberikan itu sebenarnya adalah kemenangan besar bagi mereka.


Justeru, kita jangan pandang ringan isu ini. Memang pada mulanya ia kena pada mualaf tetapi lama kelamaan ia akan melibatkan orang Melayu juga. Kini kita lihat hak-hak orang Melayu dan Islam pun semakin lama semakin terhakis, disebabkan oleh kita terlampau memberi ‘muka’ kepada mereka yang menuntut secara melampau.


Kita perlu ingat, orang bukan Islam melalui Persatuan agama Buddha, Hindu, Kristian dan Sik sentiasa merancangkan untuk memastikan agama mereka setara dan setaraf dengan agama Islam (fair and square). Dengan sebab itu, mereka tidak pernah berputus asa untuk memastikan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) ditubuhkan. Jika kita menyerah kalah dalam isu ini, seolah-olah kita telah mengikhtiraf kewujudan IFC ini secara tidak rasmi melalui NGO mereka.


Justeru, pandangan pertubuhan-pertubuhan Islam (PEMBELA) dan individu Islam hendaklah diambil kira oleh kabinet. Semua sedia maklum, bahawa perbicaraan ini masih dijalankan, baik di Mahkamah Syariah mahupun Sivil. Kabinet mesti menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan, tanpa tekanan dari mana-mana pihak. Sementara itu, pihak yang berkenaan dan pihak yang mempunyai kepentingan jangan mengambil kesempatan dan memperalatkan perbezaan yang timbul di antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.


Sebagai contoh bagi anak yang dilahirkan oleh ibu bapa beragama Hindu, sudah tentu kedua-dua ibu bapa wajar menentukan status agama anak mereka selagi usia anak-anak itu belum mencecah 18 tahun. Namun, jika salah seorang ibu bapa anak tersebut memeluk Islam, sudah pasti kedua-dua ibu bapa tersebut ingin membesarkan anak mereka mengikut agama salah seorang daripada mereka. Memandangkan kedua-dua pihak selalunya ingin supaya anak mereka mengikut agama mereka masing-masing, penyelesaian yang terbaik adalah kedua-dua ibu bapa tersebut hendaklah diberi peluang bersama-sama membesarkan anak mereka mengikut kedua-dua agama ibu bapa masing-masing seperti dicadangkan Kabinet.


Namun demikian, orang Islam melihat dari perspektif yang berbeza. Pertama, memandangkan Islam adalah agama Persekutuan dan satu-satunya agama yang disebut secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan, maka sebarang keputusan Kabinet yang memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada hak dan kepentingan orang Islam hendaklah tidak merugikan orang Islam. Perkara ini perlu difahami dengan jelas oleh pemimpin umat Islam.


Kedua, orang Islam merasakan apabila isu pertukaran agama melibatkan orang Islam, Kabinet tidak dapat lari dari undang-undang Islam yang kini mengawal orang Islam yang baru bertukar agama tersebut. Justeru, orang Islam tersebut berhak untuk memohon mendapatkan satu ketetapan mengikut hukum Islam berkaitan status agama anak-anaknya. Adakah agama anak-anak tersebut mengikut agama Islam atau agama bukan Islam?


Bagi mendapatkan ketetapan mengikut hukum Islam, adakah Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah yang layak menentukan? Wajarkah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan diketepikan begitu sahaja? Bagaimanakah orang Islam boleh mendapatkan keadilan di Mahkamah Sivil jika pintu Mahkamah Sivil sendiri ditutup kepada orang Islam di bawah seksyen 51 Akta Memperbaharui (Perkahwinan dan Penceraian) (Law Reform Act) untuk memfailkan penceraian mereka di Mahkamah Sivil?


Ketiga, orang Islam juga melihat perkataan 'parent' di dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah ditafsirkan oleh Mahkamah sebelum ini (lihat kes Shamala Sathiyaseelan vs Dr Jeyaganesh C Mogarajah (2004) 2 MLJ 648) sebagai salah seorang ibu bapa. Perkara 12(4) menyatakan bahawa bagi anak-anak yang berumur 18 tahun ke bawah, agama mereka hendaklah ditentukan oleh ibu bapa (parent) atau penjaga kanak-kanak tersebut. Justeru, hak dan kehendak salah seorang daripada ibu bapa hendaklah juga diambil kira, tanpa melayan kehendak satu pihak sahaja. Lebih-lebih melibatkan mereka yang memeluk Islam.


Akhirnya, ternyata orang Islam dari segenap peringkat amat tidak senang dan terkilan dengan keputusan Kabinet. Seperti yang pernah diluahkan oleh Mufti Perak, para mufti, cendekiawan Islam dan NGO Islam tidak dibawa berbincang terlebih dahulu sebelum Kabinet membuat keputusan. Isu sebegini tidak boleh diselesaikan melalui mekanisme undang-undang dan Mahkamah. Perbincangan antara kedua-dua pihak secara berhikmah adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan persoalan ini. Selain itu, saya fikir orang bukan Islam perlu diyakinkan bahawa jika sekiranya anak-anak tersebut memeluk agama Islam, ia tidak sama sekali memutuskan hubungan anak-anak tersebut dengan ibu atau bapanya yang masih belum Islam. Hubungan itu berkekalan sehingga ke akhir hayat. Berdosa besar memutuskan hubungan antara anak dan kedua ibubapa mereka, tidak kira apa agama mereka. Ini adalah asas prinsip Islam. Berdasarkan pengalaman saya, anak yang beragama Islam lebih bertanggungjawab dalam menjaga ibubapa bukan Islam mereka yang telah tua berbanding yang lain.

Makan Rasuah dengan Makan Babi: Mana Lebih Berdosa?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Rasuah adalah isu yang tidak pernah selesai sejak dahulu hinggalah masa kini. Keadaan tidak menjadi semakin baik, malah bertambah tenat. Semakin banyak kita bercakap tentang rasuah, seolah-olah semakin menjadi-jadi pulak ia.


Lebih menarik lagi kenyataan Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, Ahli Lembaga Disiplin UMNO, pada 31 Mac 2009 mencadangkan 5 perkara untuk memerangi rasuah iaitu, penguatkuasaan, pakej gaji yang menarik kepada kakitangan awam, mengurangkan birokrasi, ketelusan dalam mendapatkan dana politik dan pendidikan berterusan mengenai bahayanya rasuah.


Saya masih ragu-ragu soal penguatkuasaan, kerana agak sukar untuk melaksanakannya. Kadangkala pegawai penguatkuasa turut terlibat dengan rasuah atau mungkin terdapat favouritisme dalam menangani isu rasuah. Saya masih tetap dengan pandangan bahawa pendidikan mengenai betapa jijiknya rasuah mesti ditekankan. Rasuah jauh lebih jijik daripada makan babi. Jika umat Islam berjaya menanamkan jijiknya najis babi sehingga melihat binatang atau menyebut nama binatang inipun sudah menyampah, saya fikir kita perlu lakukan perkara yang sama terhadap rasuah.


Kita perlu ingat bahawa rasuah ini berlaku disebabkan oleh ada penerima. Tidak akan ada pemberi rasuah jika tidak ada yang menerima. Disebabkan ada penerima, maka pemberi terpaksa memberi rasuah. Jika tidak, pemberi rasuah tidak akan dapat ’keistimewaan’ atau ’projek’ yang dijanjikan.


Pendek kata, disebabkan ada penerimalah, maka ada pemberi. Jika kita bekerja dengan penuh integriti, saya cukup yakin tidak ada yang sanggup memberi rasuah. Secara rasional, mengeluarkan wang halal bagi tujuan haram agak berat untuk dilakukan manusia biasa, apatah lagi umat Islam, kecuali dalam keadaan terpaksa.


Malangnya, hari ini rata-rata penerima rasuah dari kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Ini kerana, majoriti mereka yang terlibat sektor perkhidmatan awam adalah orang Melayu Islam. Maka, kita dapat katakan bahawa, pemberi rasuah rata-rata orang bukan Islam, sebab mereka banyak terlibat dalam bidang perniagaan. Tidak ketinggalan segelintir orang Islam yang bergiat aktif dalam politik. Dalam kata lain, penerimanya adalah orang Islam dan pemberinya adalah bukan Islam.


Persoalannya, manakah yang lebih haram, walaupun kedua-duanya haram dan balasannya masuk neraka? Yang memberi atau yang menerima? Sudah tentu dalam hal ini yang lebih haram adalah yang menerima. Sebab, tidak ada yang akan memberi, jika tidak ada penerima. Yang menerima tidak perlu bekerja keras untuk mendapatkan wang, sedangkan yang memberi, terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan wang bagi tujuan haram tersebut.


Walaupun kedua-dua perbuatan memberi dan menerima itu haram, umat Islam mesti boleh membezakan bilamana haram bertemu dengan haram, yang mana lebih haram. Atau antara dosa dengan dosa, amalan mana lebih banyak dosa. Atau contoh lebih ekstrim lagi, antara neraka dengan neraka, neraka manakah yang paling azab sekali siksaannya.


Dalam Islam, setiap perbuatan atau amalan, akan dibalas mengikut keseriusan tahap sesuatu amalan itu. Dengan sebab itu, nikmat syurga dan siksaan neraka ada tahap-tahap atau tingkatan-tingkatannya. Jika semua orang masuk syurga, maka rugilah jadi orang Islam. Tidak perlu juga kita berdakwah kepada orang bukan Islam. Begitu juga jika semua amalan baik masuk syurga yang sama, maka rugilah mereka yang beramal mencapai tahap paling baik atau terbaik dan penuh keikhlasan.


Sama halnya jika semua orang jahat masuk neraka yang sama, maka rugi mereka yang buat jahat sekadar ala kadar sahaja, kerana balasannya adalah sama dengan mereka yang buat amalan paling jahat. Maka, logiknya kita akan berfikir, lebih baik buat perkara yang paling jahat sebab balasannya sama dengan mereka yang jahat sikit-sikit.


Islam tidaklah sedemikian sifat. Amalan kita dinilai berasaskan sejauh manakah tahap keseriusan atau tingkatan yang dicapai sama ada baik atau buruk. Dengan sebab itu, syurga, neraka dan azab ada tahap-tahap tingkatannya. Sama juga hukuman di dunia ini, kesalahan ringan, hukuman lebih ringan. Kesalahan berat, sudah tentu hukumannya lebih berat sehinggalah sampai tahap paling serius iaitu hukuman mati.


Begitu dengan juga dengan pemberi dan penerima rasuah. Kedua-dua perbuatan ini haram dan masuk neraka. Yang manakah antara kedua-dua ini yang lebih haram, lebih berdosa dan masuk ke dalam neraka yang paling azab. Pada hemat saya, sudah tentu yang yang lebih azab adalah mereka yang menerima rasuah berbanding pemberi rasuah.


Contoh lain, adalah antara makan rasuah dengan makan daging babi. Yang manakah lebih haram, lebih berdosa dan lebih teruk siksaannya dalam neraka? Sudah tentu makan rasuah lebih haram, lebih berdosa dan lebih teruk siksaan neraka daripada perbuatan makan babi, walaupun kedua-duanya haram dan berdosa.


Perlu diingatkan bahawa dosa makan babi hanya melibatkan individu yang makan babi, tidak melibatkan ahli keluarga, masyarakat, negara dan agama. Dosa individu lebih mudah diampunkan oleh Allah SWT sebab pelakunya antara individu tersebut dengan Allah SWT, Yang Maha Pengampun.


Berbeza dengan dosa mengambil dan memakan rasuah. Terdapat beberapa tahap serius di sini iaitu mengambil (melibatkan yang memberi), kemudian menggunakannya untuk diri, keluarga dan masyarakat, sehingga boleh meruntuhkan agama dan negara.


Menggunakan hasil haram rasuah akan masuk ke perut. Jika dibelanja kepada orang lain, masuk ke perut orang lain seperti anak-anak, ahli keluarga dan rakan taulan yang tidak berdosa. Perut menerima hasil haram, walaupun bukan daging babi yang masuk ke perut.


Hasil haram yang masuk ke perut akan menjadi darah daging penerima rasuah dan keturunannya serta orang lain. Bermakna, dosa rasuah melibat orang ramai. Sedangkan yang memberi rasuah, mungkin hanya memberikan sekali sahaja kepada yang menerima dan tidak menggunakan wang rasuah tersebut.


Pendek kata, dosa menerima rasuah melibat orang ramai yang tidak berdosa. Bermakna dosa rasuah bertali-temali. Dosa kepada orang ramai perlu kepada permohonan maaf. Selagi permohonan maaf itu tidak diterima, selagi itulah dosa itu akan berada di situ. Allah SWT tidak mudah mengampunkan dosa melibatkan orang ramai, selagi tidak dimaafkan. Sedangkan dosa makan babi hanya melibat seorang individu sahaja.


Perkara ini perlu disedari oleh pemimpin dan penjawat awam hari ini. Menjadi pemimpin dalam organisasi (awam) dan politik bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main-main, tetapi ia adalah satu tanggungjawab dan amanah. Ia perlu dijaga, sebab pemimpin dahulu yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat nanti dan bukannya rakyat yang dipimpin.


Sama juga seperti dosa ibubapa yang menyuapkan rezeki yang haram ke mulut anak-anak. Ibubapa yang akan dipertanggungjawab. Mereka akan adalah yang disoal oleh Allah SWT berbanding anak-anak. Dalam kata lain, pemimpin dalam semua kategori awam, swasta, politik dan bukan politik bertanggungjawab terhadap mereka yang dipimpin.


Justeru, usaha kepemimpinan negara untuk membenteras rasuah dalam segala sektor hendaklah disambut baik oleh semua pihak. Pada masa sama, pemimpin hendaklah menunjukkan contoh terbaik dalam menangani isu ini. Kita tidak jadi seperti kokok berderai-derai, ekor bergemulang tahi. Jika ini berlaku, apa jua visi dan misi murni akan menemui kegagalan.


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail pernah berkata, alangkah bagusnya kalau rakyat Malaysia satu hari nanti dapat lebih dahulu memantapkan kedudukan dalam profesion dan dunia perniagaan, kemudian baru masuk politik seperti di Britian. Pesan saya kepada kaum pemuda kita jangan masuk politik selagi belum terjamin kedudukan kewangan atau pekerjaan.

Kenyataan ini dari satu segi memang ada kebenarannya. Namun, tidak semestinya mereka yang tidak kukuh kedudukannya dalam profesion dan perniagaan, tidak boleh menjadi pemimpin. Cuma yang perlu dititikberatkan adalah apakah tujuan untuk menjadi pemimpin. Sekadar untuk memenuhkan kocek? Atau memikulkan amanah Allah SWT terhadap agama, bangsa dan negara. Jika amanah Allah SWT itu dijaga, maka kita akan dapat lihat betapa indahnya hidup ini tanpa rasuah, tetapi jika sebaliknya, maka tunggulah kehancurannya.


Kita amat mengharapkan kabinet baru Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak, benar-benar dapat merealisasikan usaha untuk membenteras rasuah hingga ke akar umbi, seterusnya menanamkan rasa jijik rasuah itu lebih hina daripada makan babi.

TANGGUNJAWAB MENANTU TERHADAP IBUBAPA MENTUA

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Pendahuluan

Tanggungjawab menantu terhadap mentua jarang dibincangkan secara terbuka. Bahan-bahan berkaitan isu ini juga agak terhad. Bagi sesetengah pihak, mungkin dianggap tidak penting. Apatah lagi perkara ini tidak disentuh secara spesifik dalam Al-Quran, Hadis dan perbincangan secara terbuka, atau mungkin perkara ini ada dibincangkan, tetapi penulis masih belum menjumpai atau menerokai ilmu tersebut.


Setelah meneliti perkara ini secara mendalam, penulis dapat katakan bahawa tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mentua adalah sama seperti tanggungjawab anak terhadap ibu bapa kita sendiri. Antara ayat-ayat Quran dan Hadis berkaitan tanggungjawab kita terhadap ibu bapa yang turut boleh diaplikasikan dalam konteks ibu bapa mentua yang sempat dipetik dalam kertas kerja ini adalah seperti berikut:

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkahlah dirimu terhadap mereka berdia dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil” (QS Al-Israa’: 23-24)

Dan sembahlah Allah dan jangan kamu menyekutukan denganNya sesuatupun, dan kepada kedua ibu bapa hendaklah kami berbuat baik, dan yang mempunyai tali kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan tetangga yang menjadi kerabat....(QS An-Nisa’:36)

Nabi Muhammad SAW telah menekankan bahawa derhaka kepada orang tua adalah salah satu dosa besar setelah menyekutukan Allah SWT. Rasulullah bersabda: “Adakah kalian mahu kuberitahu tentang dosa-dosa yang besar?”. Para sahabat menjawab: “Kami mahu, ya Rasulullah SAW”. Rasulullah SAW bersabda: “menyekutukan Allah SWT dan derhaka kepada orang tua”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit sekali golongan kamu yang dapat melakukan demikian." (Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Ayat lain berkaitan Q.S Luqman: 14, Q.S Al-Ankabut: 8 dan sebagainya.


Prinsip Islam Terhadap Perkahwinan

Lelaki bertangungjawab sepenuhnya terhadap isteri yang dikahwininya. Ini kerana lelaki tersebut telah ‘mengambil’ anak perempuan tersebut daripada ibu bapanya. Bermakna, perempuan tersebut telah menjadi ‘hak mutlak’ si suami. Justeru, menjadi tanggungjawab suami sepenuhnya untuk menyempurnakan segala keperluan isterinya zahir dan batin.


Tanggungjawab suami tidak terhenti setakat isterinya, malahan terhadap kepada kedua ibu bapa kepada isteri atau mentua. Suami (menantu) tidak boleh membiarkan ibu bapa mentua setelah anaknya telah diambil. Sikap tidak bertanggungjawab atau lepas tangan seolah-olah kita melakukan perkara yang sama terhadap ibu bapa sendiri.


Pendek kata, kedudukan ibu bapa sendiri dan mentua adalah sama tidak kira sama ada mentuanya beragama Islam atau tidak. Sama seperti tanggungjawab anak yang telah memeluk Islam terhadap ibu bapanya yang belum memeluk Islam.


Seperti mana Islam menetapkan bahawa setiap anak yang memeluk agama Islam wajib menghormati ibu bapanya yang tidak memeluk Islam. Begitulah juga apabila anaknya ini telah berkahwin. Hubungan dan penghormatan tetap sama, kecuali jika dipaksa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam


Contoh, isteri saya selaku menantu kepada ibu bapa saya amat menghormati kedua ibu bapa saya walaupun agama berlainan. Begitu juga dengan saya selaku menantu kepada kedua ibu bapa isteri saya (mentua).


Pendek kata, Islam tidak membezakan martabat ibu bapa tidak kira apa juga agamanya selagi mana kedua-dua pihak tidak mempunyai niat tidak baik.


Dalam Islam tanggungjawab menantu terhadap ibubapanya sendiri dan ibubapa mentuanya adalah sama.


Hubungan Istimewa Menantu dan Mentua

Hubungan istimewa menantu dan mertua adalah sama seperti hubungan istimewa ibu bapa sendiri yakni tidak batal wuduk bila bersentuhan dan tidak boleh dikahwini. Ini bermakna, martabat mentua adalah sama seperti ibu bapa.


Penulis dapat rangkumkan tanggungjawab menantu terhadap mertua berdasarkan kepada jadual di bawah


Tanggungjawab Menantu Lelaki dan Perempuan Mengikut Keutamaan


Menantu Lelaki

Allah SWT
Rasulullah SAW
Ibu/Ibu Mertua
Bapa/Bapa Mertua
Isteri
Anak-anak
Lain-lain


Menantu Perempuan

Allah SWT
Rasulullah SAW
Suami
Anak-anak
Ibu/Ibu mertua
Bapa/bapa mertua
Lain-lain


Ibu bapa mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati ibu bapa kita sendiri. Kalau mereka kecil hati, sama seperti kita menyinggung perasaan ibu bapa sendiri. Jika kita sayang anaknya, kenapa kita tidak sayang orang yang melahirkannya juga? Penulis yakin ada ramai menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya sehingga mengabaikan anak menantunya. Perbuatan sebegini sudah pasti bercanggah dengan tuntutan agama Islam.


Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar. Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.


Peristiwa Nabi Ibrahim dan anak menantunya perlu dijadikan teladan. Nabi Ibrahim pergi menziarahi menantunya ketika puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah. Isteri Nabi Ismail belum pernah bertemu bapa mertuanya, Nabi Ibrahim. Apabila sampai di rumah anaknya itu, terjadilah dialog antara Nabi Ibrahim dan menantunya.

Nabi Ibrahim: Siapakah kamu?

Menantu: Aku isteri Ismail.

Nabi Ibrahim: Di manakah suamimu, Ismail?

Menantu: Dia pergi berburu.

Nabi Ibrahim: Bagaimanakah keadaan hidupmu sekeluarga?

Menantu: Oh, kami semua dalam kesempitan dan (mengeluh) tidak pernah senang dan lapang.

Nabi Ibrahim: Baiklah! Jika suamimu balik, sampaikan salamku padanya. Katakan padanya, tukar tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan supaya menceraikan isterinya).

Menantu: Ya, baiklah.

Setelah Nabi Ismail pulang daripada berburu, isterinya terus menceritakan tentang orang tua yang telah singgah di rumah mereka.

Nabi Ismail: Adakah apa-apa yang ditanya oleh orang tua itu?

Isteri: Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.

Nabi Ismail: Apa jawapanmu?

Isteri: Aku ceritakan kita ini orang yang susah. Hidup kita ini selalu dalam kesempitan, tidak pernah senang.

Nabi Ismail: Adakah dia berpesan apa-apa?

Isteri: Ya ada. Dia berpesan supaya aku menyampaikan salam kepadamu serta meminta kamu menukarkan tiang pintu rumahmu.

Nabi Ismail: Sebenarnya dia itu ayahku. Dia menyuruh kita berpisah. Sekarang kembalilah kau kepada keluargamu.

Ismail pun menceraikan isterinya yang suka merungut, tidak bertimbang rasa serta tidak bersyukur kepada takdir Allah SWT. Sanggup pula mendedahkan rahsia rumah tangga kepada orang luar. Tidak lama selepas itu, Nabi Ismail berkahwin lagi. Setelah sekian lama, Nabi Ibrahim datang lagi ke Makkah dengan tujuan menziarahi anak dan menantunya. Berlakulah lagi pertemuan antara mertua dan menantu yang saling tidak mengenali.

Nabi Ibrahim: Di mana suamimu?

Menantu: Dia tiada dirumah. Dia sedang memburu.

Nabi Ibrahim: Bagaimana keadaan hidupmu sekeluarga? Mudah-mudahan dalam kesenangan?

Menantu: Syukurlah kepada tuhan, kami semua dalam keadaan sejahtera, tiada apa yang kurang.

Nabi Ibrahim: Baguslah kalau begitu.

Menantu: Silalah duduk sebentar. Boleh saya hidangkan sedikit makanan.

Nabi Ibrahim: Apa pula yang ingin kamu hidangkan?

Menantu: Ada sedikit daging, tunggulah saya sediakan minuman dahulu.

Nabi Ibrahim: (Berdoa) Ya Allah! Ya Tuhanku! Berkatilah mereka dalam makan minum
mereka. (Berdasarkan peristiwa ini, Rasulullah beranggapan keadaan mewah negeri Makkah adalah berkat doa Nabi Ibrahim).

Nabi Ibrahim: Baiklah, nanti apabila suamimu pulang, sampaikan salamku kepadanya. Suruhlah dia menetapkan tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan untuk mengekalkan isteri Nabi Ismail).

Apabila Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang mencarinya.

Nabi Ismail: Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?

Isteri: Ya, ada. Seorang tua yang baik rupanya dan perwatakannya sepertimu.

Nabi Ismail: Apa katanya?

Isteri: Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.

Nabi Ismail: Apa jawapanmu?

Isteri: Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada apapun yang kurang. Aku ajak juga dia makan dan minum.

Nabi Ismail: Adakah dia berpesan apa-apa?

Isteri: Ada, dia berkirim salam buatmu dan menyuruh kamu mengekalkan tiang pintu rumahmu.

Nabi Ismail: Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang pintu yang dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku kekalkan.

Isteri: Alhamdulillah, syukur.

Pengajaran daripada kisah ini adalah mentua mempunyai hak untuk memberikan pandangan terhadap menantunya. Menantu sepatutnya memberikan contoh yang terbaik kepada mentua demi menjaga keharmonian rumahtangga. Penulis yakin bahawa suami akan lebih mengasihi isterinya, jika isterinya menyayangi ibu bapa suaminya.


Dalam usaha memenuhi tuntutan tersebut, penulis menggariskan beberapa perkara berikut untuk diteliti dan dilakukan oleh menantu terhadap mentua sebagai tanda penghormatan dan membalas budi mereka.

1. mentaati mentua pada segala yang diperintahnya kepada anak, kecuali perkara maksiat
2. berbicara kepada keduanya dengan adab dan lemah lembut
3. memberikan bantuan kewangan (bulanan) sebagai tanda mengambil berat
4. bangun menghormati keduanya apabila mereka datang
5. mencium tangan kedua dan memeluknya, setiap pagi dan petang dan pada setiap upacara
6. memelihara nama, kehormatan, serta harta benda mereka
7. memuliakan mereka, dan memberikan mereka yang diminta
8. bermesyuarat dengan mereka dalam urusan berkaitan
9. memperbanyakkan doa dan permohonan ampun bagi mereka
10. cuba membuat sesuatu untuk menggembirakan mereka tanpa perlu diingatkan atau ditunjukkan kepada si anak
11. tidak mengangkat suara di hadapan mereka
12. tidak cuba memotong percakapan mereka ketika mereka sedang mengatakan sesuatu
13. sentiasa meminta izin mereka jika mahu keluar rumah
14. tidak memeranjatkan mereka, ketika sedang tidur
15. tidak melebihkan isteri dan anak dari kedua mereka
16. tidak mencela mereka, jika mereka melakukan sesuatu yang tidak memuaskan
17. tidak ketawa dalam majlis mereka, jika tidak ada sebab yang menarik untuk ketawa
18. tidak memanjangkan tangan kepada makanan, sebelum mereka terlebih dahulu memulakannya
19. tidak tidur atau baring, padahal mereka masih lagi duduk kecuali jika mereka telah mengizinkan
20. tidak melunjurkan kaki di hadapan mereka
21. tidak masuk dahulu sebelum mereka atau berjalan di hadapan mereka
22. menyahut panggilan mereka serta merta, apabila mereka memanggil
23. memuliakan teman-teman mereka di waktu hayat mereka dan sesudah mereka meninggal
24. tidak berkawan dengan seorang yang tidak mematuhi kedua ibubapanya
25. memberi dan bertukar tukar hadiah ketika hari lahir mereka
26. membawa dan menemani mereka ke masjid jika diperlukan
27. mendoakan keduanya, khususnya sesudah meninggal, sebab adalah sangat berguna kepada mereka


Pengkaji tidak menafikan bahawa contoh terlalu ideal, tetapi apa yang ingin ditonjolkan adalah penghormatan dan keadilan yang perlu dilakukan oleh menantu terhadap ibu bapa dan mentuanya.


Kesimpulan


Islam meletakkan martabat yang tinggi terhadap ibu/ibu mertua dan bapa/bapa mertua. Justeru, tanggungjawab ini tidak boleh diabaikan oleh menantu lelaki terutamanya. Mengabaikan salah seorang daripada mertua seolah-olah mengabaikan ibu bapa sendiri. Kesejahteraan rumahtangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mertua. Jika tanggungjawab ini diabaikan sudah tentu si isteri akan menjadi kurang selesa disebabkan oleh ibu bapanya sendiri diabaikan oleh suaminya.


Satu persoalan yang perlu difikirkan bersama adalah, adakah derhaka menantu terhadap mentua, sama seperti derhaka anak terhadap ibu bapa sendiri? Adakah syurga di telapak kaki ibu, boleh diaplikasikan dalam konteks syurga di telapak kaki ibu mentua? Sama-sama kita fikirkan.

Islam, Yahudi dan Gerakan Zionis

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sehingga rencana ini ditulis, lebih 1000 rakyat Palestin di Gaza yang tidak berdosa telah terkorban dan lebih 5000 cedera akibat serangan ganas tidak berperikemanusiaan Zionis Yahudi. Saya cukup yakin bahawa tindakan tidak bertamadun dan kebinatangan Zionis Yahudi ini telah dirancangkan dengan sebegitu rapi dan telah mendapatkan persetujuan negara-negara Arab yang menjadi sekutu kuat Amerika Syarikat.


Setelah serangan kejam dilakukan oleh Zionis Yahudi, maka berkokoklah negara-negara Islam Arab ini seolah-olah menentang keganasan Zionis Yahudi itu. Kenyataan demi kenyataan mengutuk tindakan ganas tersebut dikeluarkan. Namun, kenyataan tidak selari dengan tindakan yang dilakukan. Mesir sanggup menutup sempadan di Rafah kepada mangsa pelarian perang Palestin. Pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB) tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia telah dikuasai Zionis dan boneka Amerika Syarikat yang menjadi penyokong kuat Zionis Yahudi.


Bagi negara-negara yang berjauhan dengan negara-negara Arab, tidak ketinggalan kecaman dan kenyataan dikeluarkan. Tabung demi tabung diwujudkan oleh badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan. Misi bantuan kemanusiaan turut dihantar. Khutbah-khutbah Jumaat dan ceramah sana sini berapi-api, serta begitu beremosi mengutuk tindakan Yahudi secara rambang sehingga menjadikan saya tersentak dan timbul tanda tanya, apakah salah Allah SWT menjadi orang Yahudi? Adakah agama Islam bersikap menentang Yahudi secara pukal? Adakah semua orang Yahudi itu jahat? Jika begitu keadaannya, kenapa Allah SWT menjadikan orang Yahudi?


Perlu diingatkan bahawa yang ditentang adalah gerakan Zionis Yahudi, bukannya semua orang Yahudi. Sama juga halnya dengan pengharaman ke atas babi. Jelas sekali, babi haram dimakan atau dipelihara oleh orang Islam. Persoalannya, apakah salah Allah SWT menjadi binatang yang bernama babi? Kita perlu faham bahawa kewujudan Yahudi dan babi serta lain-lain adalah ujian untuk kita semua. Kita boleh membenci mereka, tetapi sifatnya sebagai makhluk Allah SWT perlu dihormati.


Islam mengamalkan prinsip kita tidak menyerang jika kita tidak diserang atau kita tidak menentang jika tidak ditentang. Hakikat ini perlu difahami, yang ditentang hari ini adalah gerakan Zionis regim Yahudi bukan orang Yahudi secara rambang. Ada Yahudi yang baik yang menentang regim Zionis Yahudi di negara mereka sendiri. Begitu juga dengan babi, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh binatang ini, kerana ia juga berhak hidup sebagai makhluk yang dijadikan oleh Allah SWT.


Perkara ini perlu difahami semua, agar agama Islam tidak disalah fahamkan dan dipandang serong oleh orang bukan Islam. Agama Islam menerima kehadiran orang bukan Islam di muka bumi ini selagi mereka menghormati negara dan orang Islam. Islam hanya akan menentang orang yang menentang Islam termasuk orang Islam sendiri yang menentang agama sendiri. Islam tidak menentang Yahudi selagi Yahudi tidak menentang Islam. Pendek kata, Islam tidak mengamalkan anti-semitisme.


Dengan sebab itu, ketika berlakunya tragedi Holocaust yakni pembunuhan beramai-ramai Yahudi oleh Hitler, umat Islam Albania menerima Yahudi yang lari bertempiaran akibat keganasan Hitler. Inilah sifat Islam yang perlu diketahui oleh umat Islam dan juga orang bukan Islam bahawa Islam tidak pernah menentang mereka yang tidak menentang Islam.


Peristiwa Holocaust juga perlu difahami dengan mendalam dan tidak perlu ditonjolkan dalam keadaan melampau. Mengikut data tidak rasmi seramai 6.5 juta Yahudi telah dibunuh secara terancang oleh Hitler di sekitar tahun 1940-1945, ketika Perang Dunia Kedua. Versi lain mengatakan hanya 400 ribu sahaja yang dibunuh. Apapun angka yang ditunjukkan, hakikatnya Zionis Yahudi menggunakan tragedi ini untuk menagih simpati masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sehingga membawa kepada penubuhan sebuah negara haram Israel di bumi Palestin pada tahun 14 Mei 1948.


Dengan sebab itu, peristiwa Holocaust ini diraikan oleh regim Zionis Yahudi sebagai tanda kemenangan mereka sehingga ke hari ini dan bukannya kekalahan dalam erti kata yang sebenar. Pendek kata, Holocaust adalah propaganda Yahudi. Justeru, umat Islam janganlah terlalu beremosi menjaja ke sana ke mari peristiwa Holocaust ini. Apa yang boleh dipelajari daripada Holocaust ini ialah Hitler telah dapat membaca betapa bahayanya Zionis Yahudi dan ia perlu ditentang hingga ke titisan darah terakhir.


Kewujudan Zionis Yahudi di Palestin adalah bukti kukuh menunjukkan betapa bahaya Zionis Yahudi jika tidak diperangi. Regim Zionis Yahudi semakin mengganas tanpa ada sifat kemanusiaan. Saban hari umat Islam Palestin menjadi korban, dibom, dibunuh, ditembak, disiksa dan diperlakukan sesuka hati. Sedangkan umat Islam Palestin mempertahankan kedaulatan tanahair sendiri. Namun, keadaan hari ini telah terbalik, seolah-olah umat Islam Palestin merempat di tanahair sendiri dan bukannya Zionis Yahudi.


Zionis Yahudi bertindak sesuka hati. Tidak ada satu badan dunia boleh menahan tindakan mereka. Gencatan senjata dan pengunduran tentera Yahudi baru-baru ini tidak akan meninggal apa-apa kesan. Zionis Yahudi boleh terus mengganas bila-bila masa sahaja. Sejarah telah membuktikan dengan jelas. Misalnya, perjanjian damai pada 13 September 1993 setelah serangan kejam Zionis Yahudi ke atas umat Islam Palestin. Perjanjian hanya tinggal perjanjian. Begitu juga perjanjian damai sebelum dan selepas itu sehinggalah ke hari ini.


Umat Islam Palestin terus menjadi mangsa korban. Perjanjian Perdamaian hanya sebagai batu loncatan untuk mengatakan kepada dunia bahawa Zionis Yahudi ingin berdamai. Walhal apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pengunduran tentera Zionis Yahudi buat sementara janganlah disangka bahawa keadaan telah pulih seperti sedia kala. Umat Islam Palestin mesti bersedia pada tahap terbaik sebagai persediaan menghadapi kegilaan Zionis Yahudi.


Secara peribadi, saya tidak pernah khuatir akan semangat umat Islam Palestin. Mereka bertekad akan terus berjihad hingga ke titisan darah yang terakhir. Seperti yang dikatakan oleh seorang cendekiawan barat, George Bernard Shaw, antara lain menyebut bahawa perjuangan umat Islam Palestin tidak akan luntur. Mereka akan terus bangkit berjuang walau apa pun terjadi. Rakyat Palestin kini terus berhempas pulas untuk menebus maruah mereka walaupun terpaksa menggunakan senjata usang dan batu-batu jalanan sebagai senjata mempertahankan diri, apatah lagi setelah perjanjian damai dicabuli oleh Zionis Yahudi.


Kini sudah 61 tahun regim zionis yang menumpang di Palestin berkuasa dan bermaharajalela. Zionisme bukan sahaja telah melakukan kezaliman terhadap umat Islam di Palestin, malahan juga terhadap orang Kristian dengan menjadikan Baitul Muqaddis dan Juruselam sebagai ibukota Israel, sedangkan satu dunia tahu bahawa Al-Qud merupakan kota suci agama Islam, Yahudi dan Kristian. Zionis Yahudi tidak langsung mengendahkan agar Juruselam dan Al-Quds dijadikan kota antarabangsa (Internationalization of Juruselam). Malah Zionis Yahudi terus memonopoli Al-Quds tanpa menghiraukan perasaan umat Islam dan Kristian.


Semua ini menunjukkan betapa bahayanya gerakan Zionis Yahudi terhadap umat Islam. Mereka menjalankan dasar disriminasi yang begitu nyata walaupun dari segi undang-undang mereka tidak mempunyai hak langsung untuk berbuat demikian. Bukan Yahudi yakni penduduk Palestin tidak dibenarkan langsung memiliki tanah walaupun di bumi mereka sendiri. Sementara orang-orang Zionis Yahudi yang berhijrah ke Palestin terus diberi taraf kewarganegaraan dan hak-hak istimewa yang lain. Sumber air di Tebing Barat terus dijadikan hak mereka. Pendek kata, keadaan sudah berubah dan rakyat Palestin pula merempat di tanahair sendiri.


PBB tidak dapat lagi diharapkan untuk memainkan peranan secara adil. Resolusi-resolusi yang diluluskan yakni supaya berdamai dengan penduduk Palestin telah dicabar oleh Zionis Yahudi sendiri. Namun, tidak ada tindakan dilakukan walaupun mereka berupaya melakukannya.
Melihat kepada perkembangan yang berlaku, mahu tidak mahu umat Islam perlu membuka mata mulai sekarang dan mengambil tindakan bersama yang sesuai untuk menyelamatkan bumi Palestin. Kita selalu mengingati peristiwa Israk dan Mikraj setiap 27 Rejab di mana Allah SWT membawa Rasulullah S.A.W dari Masjidil Haram ke ke Masjid Al-Aqsa, diikuti Mikraj. Tetapi apakah memadai hanya dengan mengingatinya tanpa apa-apa tindakan.


Pada hemat saya, perjanjian damai dengan Zionis Yahudi tidak membawa apa-apa erti kerana Zionis Yahudi tidak pernah berpegang pada janji. Apatah lagi undang-undang antarabangsa jarang memihak kepada Palestin yang ditindas setakat ini? Perjanjian hanya menjadi erti sekiranya tanahair Palestin dipulangkan kepada tuannya yang asal.


Sungguh malang bagi orang Islam yang kini berjumlah lebih 1.5 billion hanya membiarkan sahaja apa yang berlaku di sana. Satu orang Yahudi dengan nisbah lebih 100 orang Arab tidak dapat mengalahkan Zionis Yahudi yang satu ini. Apakah umat Islam telah hilang kekuatan, sedangkan sejarah membuktikan bahawa umat Islam sebenarnya mempunyai kekuatan. Kekuatan Arab di zaman lampau terletak pada kekuatan perpaduan Islamnya walaupun bilangannya sedikit sekali. Tetapi kekuatan umat Islam hari ini bilangannya terlalu ramai tetapi tidak berkualiti. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah S.A.W. yang mengatakan bahawa umat Islam bilangannya ramai tetapi ibarat buih di waktu banjir, banyak, tetapi kosong.


Menyedari hakikat itu, umat Islam harus bangun dan bertekad untuk menyelamatkan maruah umat Islam yang telah dinodai oleh musuh Islam Zionis Yahudi. Sekadar boikot barangan dan berdemonstrasi yang bersifat hangat-hangat tahi ayam tidak akan menyelesaikan masalah selagi negara-negara Islam tidak sedar akan kesilapan mereka. Perkara ini telah berlarutan selama 61 tahun. Regim Zionis Yahudi terus gagah.


Kita tidak boleh menentang Zionis Yahudi dengan mengamalkan sikap “action-oriented”? Bila berlaku baru bertindak. Bila berlaku kekejaman terhadap umat Islam, maka berboikotlah kita sana sini terhadap barangan Yahudi. Tetapi bila isu ini senyap seketika, umat Islam mula leka dan terus menggunakan barangan buatan Yahudi. Kita mudah lupa, sedangkan Zionis Yahudi tidak pernah lupa. Kita perlu bersikap pro-aktif dan istiqamah dalam perjuangan.


Negara-negara Islam mesti sepakat sejiwa menentang Zionis Yahudi. Negara-negara Arab yang berjiran dengan Israel mesti membebaskan diri mereka daripada cengkaman Yahudi dan Amerika Syarikat. Secara logiknya, jika negara-negara Arab yang berjiran dengan Israel pakat-pakat membangunkan negara masing-masing dan mempunyai sistem pertahanan yang kuat, sudah tentu negara haram Israel akan tersepit di bumi Palestin. Lama-kelamaan Zionis Yahudi ini akan lari ke tempat lain sepertimana mereka lari daripada Eropah ketika Hitler berkuasa.
Malangnya hari ini, negara-negara Arab hanya melihat sahaja tindakan ganas Israel terhadap Palestin. Negara-negara Arab ini masih tidak membangun dan sistem pertahanan mereka masih berada pada tahap lemah, walaupun mereka dikurniakan Allah SWT dengan lubuk emas (minyak). Tidak ada tindakan yang dibuat selain daripada mengeluarkan kenyataan menentang tindakan Zionis Yahudi dan memberi bantuan kewangan setelah gencatan senjata. Semua ini berlaku disebabkan oleh otak pemimpin-pemimpin negara umat Islam yang telah diyahudikan oleh sekutu kuat Israel iaitu Amerika Syarikat.


Perlu diingatkan walaupun Zionis Yahudi tidak berada di kebanyakan negara Islam tetapi pemikiran Yahudi telah menguasai umat Islam. Misalnya, kemudahan computer dan internet dicipta Yahudi digunakan untuk melayari laman-laman lucah. Manakala media-media cetak dan elektronik banyak memfokuskan berita-berita hiburan dan kehidupan artis. Budaya ilmu dipinggirkan. Ilmuan dan cerdik pandai tidak mendapat tempat di hati anak-anak muda dan masyarakat. Mereka hanya tertarik dengan budaya suka berhibur atau hedonisme.


Zionis Yahudi juga berjaya merosakkan pemikiran umat Islam untuk terus berpecah sesama sendiri. Perpecahan yang berlaku sampai kepada tahap kita sanggup bergaduh dan membunuh sesama sendiri. Pergaduhan dan pemusuhan ini lebih teruk berbanding dengan bukan Islam.


Kita boleh berkawan dan berbaik dengan bukan Islam tetapi tidak dengan umat Islam sesama sendiri. Lebih menyedihkan lagi, kita sanggup berhabis, menggunakan wang yang sebegitu banyak untuk memukul dan saling jatuh-menjatuh antara satu sama lain, antara parti politik ini dan parti politik itu, antara negeri ini dan negeri itu.


Cuba bayangkan jika kita dapat jimatkan dan simpan wang yang digunakan saling jatuh-menjatuh, berapa ramai umat Islam yang miskin dan melarat boleh diselamatkan? Berapa banyak pembangunan dan sistem pertahanan dapat diperkuatkan?


Justeru, sebelum kita perangi Zionis Yahudi, kita perlu perangi sikap dan mengutuk perangai umat Islam yang sanggup berpecah-belah dan menjadi lemah hasil perbuatan tangan-tangan sesama sendiri. Pendek kata, sebenarnya yang menjatuh umat Islam bukan orang lain, bukan Zionis Yahudi, tetapi tangan-tangan umat Islam sendiri yang tidak kenal siapakah saudara mereka yang sebenar dan musuh mereka yang sebenar. Kesempatan inilah yang ditunggu-tunggu oleh Zionis Yahudi untuk mengganyang umat Islam kerana mereka tahu umat Islam berada pada tahap yang lemah. Ayuh, bangunlah saudaraku, masa tidak menunggu kita. Sebelum nasi menjadi bubur atau sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, marilah kita bersama-sama menghisab diri agar kekuatan dapat dimiliki.

KERAJAAN PERPADUAN: REALITI ATAU ILUSI?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

PAS setelah bermesyuarat dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat menolak sebarang rundingan dengan UMNO mengenai kerajaan perpaduan. Agenda yang lebih penting kata mereka adalah untuk membentuk kerajaan persekutuan pada pilihan raya akan datang. Dalam memberikan respon, Mufti Perak begitu kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan bagi menegakkan ideologi politik mereka. Parti Islam yang dimaksud oleh Mufti Perak ini pada pandangan saya merujuk kepada parti PAS.


Tidak tahan dengan kritikan Mufti Perak, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS berkata, UMNO yang menjadi punca perpecahan, bukannya PAS. Selaku orang lama dalam politik, Nik Aziz mungkin tidak dapat melupai bagaimana PAS diperlakukan oleh UMNO ketika berada dalam BN sehingga ‘ditendang’ keluar daripada kerajaan campuran, sekitar tahun-tahun 1970-an. UMNO kata Nik Aziz, adalah parti kebangsaan memperjuangkan Melayu, berbanding PAS yang memperjuangkan Islam. Nik Aziz meminta Mufti Perak supaya menggunakan masa yang berharga untuk mempengaruhi UMNO agar menukar dasar kebangsaan kepada dasar Islam, bukannya PAS.


Pada pandangan penulis, PAS tidak boleh mendakwa mereka adalah parti Islam semata-mata, dengan menolak UMNO mentah-mentah. PAS juga adalah parti politik Melayu, cuma dasarnya berbeza dengan UMNO. UMNO cenderung kepada Melayu, manakala PAS kepada Islam. Persoalannya, berapa ramaikah orang bukan Melayu Islam dalam PAS? PAS hanya ada Kelab Penyokong PAS di kalangan bukan Melayu, selain ada segelintir saudara baru yang menyertai parti ini. PAS masih belum membuka keahliannya pada bukan Islam. Bukan Melayu Islam dalam PAS terlalu kecil bilangannya. Sama juga seperti parti Gerakan dan DAP, kedua-dua parti Cina ini mendakwa mereka adalah parti untuk semua kaum, tetapi semua sedia maklum bahawa kedua parti ini lebih dikenali sebagai parti Cina. Bilangan orang Melayu dalam parti politik Cina ini amat kecil.


PAS tetap parti orang Melayu seperti UMNO. Cuma ada perjuangannya yang berbeza. Saya agak hairan, kenapa PAS begitu menolak untuk berunding dengan UMNO. Kalau bukan pun agenda kerajaan perpaduan, sekurang-kurangnya duduklah semeja dahulu. Fikirkanlah kepentingan umat Islam sejagat. Sudah sampai masa kepentingan nasional (ummah) diutamakan dengan melupakan kepentingan diri dan politik kepartian.


Saya tidak fikir Pakatan Rakyat akan memenangi pilihan raya umum akan datang dengan selesa. Perkiraan dan penentuan secara ekstrimnya, pada saya masih lagi 40 (Pakatan) -60 (BN) atau 50-50. Jika beginilah keadaannya, tidak banyak yang akan berubah terutama dari segi lanskap politiknya. Jika tidak ada majoriti 2/3, bermakna, orang Melayu akan terus berada dalam keadaan rugi. Jika Pakatan menang sekalipun, saya tidak fikir Mursyidul Am atau Presiden PAS boleh menjadi Perdana Menteri.


Katakanlah jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan, adakah PAS boleh menubuhkan sebuah negara Islam? Sudah tentu tidak! Kerana DAP tidak pernah sama sekali bersetuju dengan idea negara Islam. Begitu juga dengan PKR. Maknanya, pada saya, sama ada PAS bersama UMNO atau Pakatan, keadaan PAS tidak banyak berubah. Kemungkinan untuk PAS diketepikan tetap ada, seperti yang berlaku di negeri Pulau Pinang dan di Selangor. Saya difahamkan juga bahawa di Selangor, PKR dan DAP, masih kuat mengawasi pergerakan exco-exco PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat.


Dengan sebab itu, PAS dan UMNO perlu berunding daripada sekarang, supaya apapun berlaku Melayu dan Islam tetap tidak akan rugi. Inilah bentuk pakatan politik parti-parti politik Cina yang berlaku selama ini. Apapun yang berlaku antara MCA, Gerakan dan DAP, orang Cina tetap tidak rugi apa-apa kerana mereka berpolitik secara ‘smart’. Kepentingan dan kebajikan Cina tetap terpelihara. Bukan seperti politik orang Melayu Islam, berdendam sampai ke mati, sanggup berpatah arang, berkerat rotan. Adakah ini ajaran yang dibawa oleh Nabi kita? Bukankah pepatah Melayu ada berkata, carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua. Inilah yang amat dituntut.


Pada hemat penulis, apa pun tujuan perundingan ini, yang penting adalah mereka bertemu dan boleh duduk semeja, cukuplah buat permulaan. Sebelum ini, semua sedia maklum bahawa kedua-dua parti politik ini saling bertikam lidah dan kutuk-mengutuk antara satu sama lain. Tidak ada titik pertemuan. Nik Aziz pernah berkata bahawa PAS akan dibubarkan jika UMNO sanggup menukar dasarnya kepada Islam. Saya lihat ruang itu sudah mula dibuka oleh UMNO.


Justeru, berundinglah dengan UMNO. Berbincangkanlah perkara-perkara yang boleh memberi manfaat dan keuntungan kepada umat Islam. Janganlah terlalu bersangka buruk terhadap UMNO. Kita bukannya Tuhan untuk menyelami niat atau isi hati UMNO. Bersangka baiklah kerana ia amat dituntut dalam Islam. Mungkin UMNO dan PAS pernah melakukan kesilapan ketika berada dalam kerajaan campuran dahulu. Persoalannya, wajarkah kita menaruh dendam sehingga ke hari ini? Justeru, saya ingin terus mencadangkan rundingan antara UMNO dan PAS hendaklah diteruskan demi untuk masa depan kita bersama.


Rundingan ini hendaklah diteruskan dengan menjurus kepada apa yang benar atau 'what is right', dan apa yang salah atau 'what is wrong'. Bukannya, siapa yang benar atau 'who is right' dan siapa yang salah atau 'who is wrong'. Selama ini kita sering menuding jari menyalahkan orang ini dan orang itu (who is right, who is wrong). Dengan sebab itu, kita lihat, sehingga ke hari ini, tidak ada penyelesaian.


Menuding jari atau sengaja mencari salah orang lain, hanya menyakitkan hati. Maka sudah tiba masanya rundingan ini memperkatakan apa yang benar, apa yang salah (who is right, who is wrong) yang selama ini kita telah lakukan. Di mana salahnya UMNO dan di mana pula salahnya PAS. PAS tidak boleh mendakwa bahawa apa yang dilakukan selama ini semuanya betul, begitu juga UMNO. Kita adalah manusia biasa, tidak lari daripada melakukan salah dan silap. Bersediakan memberi dan menerima serta berlapang dada.


Semua sedia maklum bahawa PAS dan UMNO sudah berpecah lama. Punca perpecahan menurut PAS, UMNO tidak menjunjung Islam bersumberkan Al-Quran dan Hadis (termasuk korupsi), yakni menolak sebuah negara Islam berlandaskan hukum hudud. Manakala, UMNO pula menuduh PAS terlalu ekstrim akan pendekatan tersebut. Pada UMNO, Malaysia adalah negara Islam berasaskan bilangan penduduk majoriti Islam dan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Begitu juga dengan dasar-dasar ekonomi Islam yang telah dilaksanakan selama ini seperti perbankan Islam. Hujah ini tidak dapat diterima PAS. Pada PAS jika sudah ada negara Islam, manakah hukum hududnya?


PAS perlu ingat bahawa pendekatan mereka terhadap ‘negara Islam’ mereka, bukan hanya tidak dipersetujui oleh UMNO, malah ditentang oleh rakan sekutu mereka dalam pakatan iaitu DAP dan PKR. DAP telah memberikan amaran ‘langkah mayat’ jika mahukan menubuhkan negara Islam. PKR masih terus membisu, seolah-olah menolak negara Islam ala-PAS ini.


Persoalannya, apakah hudud boleh dilaksanakan jika PAS tidak mendapat sokongan DAP dan PKR? Sudah tentu tidak! Jika tidak, PAS memang tidak dapat mewujudkan negara Islam yang dicita-citakan. Jika beginilah realiti politiknya, penulis berpandangan, lebih baik idea negara Islam berlandaskan hudud tidak dibincangkan, kerana ia tidak akan ada penghujungnya. Lebih baik bincangkan masa depan Melayu dan Islam sebagai langkah permulaan.


Apa yang patut dibincangkan? Jawapannya, bincangkan apa yang benar? Apa yang salah? Fakta yang ternyata kebenarannya adalah, umat Islam terlalu banyak berpecah sehingga kelihatan begitu lemah. Bagaimana hendak mengelakkan perpecahan ini? Apa yang PAS dan UMNO mahukan secara bersama. Gariskan perkara-perkara yang benar dan yang salah. Bincangkan. Penulis fikir inilah pokok rundingan yang utama sebelum isu kerajaan perpaduan dibangkitkan. Selama ini PAS sering menuduh UMNO sebagai parti tidak Islamik. Justeru, bincangkan manakah yang tidak Islamik itu? Begitu juga UMNO menuduh PAS terlalu ekstrim dalam pendekatan negara Islamnya, tunjukkan di manakah ketidak sesuaiannya?


Penulis berpandangan, sudah sampai masa kita membincangkan perkara-perkara yang dipersetujui bersama daripada berbincang perkara yang tidak ada kesudahan. Misalnya, isu gejala sosial, seks bebas, zina, arak, judi dan sebagainya, yang mula menghimpit orang Melayu. Perkara ini juga mungkin boleh dipersetujui oleh orang atau parti politik bukan Islam. Ini kerana ia adalah persoalan pokok semua agama, tidak kira Islam atau tidak. Semua agama menolak perkara mungkar tersebut. Tidak ada satu pun agama yang menerima perkara yang diharamkan itu.


Penulis tidak nampak UMNO akan menentang Islam jika ada justifikasinya. UMNO tidaklah seteruk yang disangka. Banyak juga jasa-jasa UMNO kepada orang Melayu dan Islam, dengan tidak menafikan bahawa ada segelintir pemimpin UMNO yang telah menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan. Walaupun DEB tidak mencapai matlamat sepenuhnya dan berlaku korupsi di sana sini, tetapi perubahan tetap ada pada orang Melayu dan Islam. Maknanya, jasa UMNO tetap ada. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Allah SWT mengingatkan kita yang bermaksud:

Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu; dan untuk itulah Allah menciptakan mereka (Surah Hud: 118-119)

Dalam mengulas ayat ini, Dr Taha Jabir Al-Wani berkata sesungguhnya perselisihan pendapat yang berlaku sehingga hari ni adalah sebahagian dari fenomena tabii. Sekiranya tidak melampaui batas-batasnya, tetapi sentiasa mengikut adabnya, nescaya ia akan menjadi fenomena yang positif yang akan melahirkan banyak faedah. Katanya lagi, jika perselisihan itu didorong oleh hawa nafsu bertujuan untuk mencapai kepentingan peribadi atau ingin menunjuk-nunjuk kelebihan ilmu, maka perselisihan ini amat dicela.


Bahaya Sekolah Perkauman

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Isu sekolah vernakular dalam sistem pendidikan negara kita tidak pernah selesai dan kerap menjadi kontroversi. Majoriti orang Cina yang diwakili oleh Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (UCSTAM = Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM = Dong Zong) bermati-matian mempertahankan pendidikan vernakular. Terbaru, UCSTAM dan UCSCAM atau lebih dikenali sebagai Dong Jiao Zong, berasa kesal dengan kenyataan Mukhriz Mahathir yang disifatkan boleh menjejaskan perpaduan kaum. Menurut mereka, sekolah vernakular sejak berpuluh tahun lalu tidak pernah mengakibatkan polarisasi kaum, malah telah mempertingkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa. Kewujudan sekolah vernakular ini dikatakan tidak pernah menjejaskan perpaduan kaum negara. Dong Jiao Zong meminta kerajaan bersikap terbuka dalam memberi layanan sama rata kepada sekolah pelbagai aliran bagi mengukuhkan perpaduan dan pembangunan negara.


Seperti yang selalu saya sebut, inilah sifat ultra kiasu pemimpin-pemimpin Cina yang sama sekali tidak akan bertolak ansur terhadap sesiapa sahaja yang cuba menganggu-gugat sistem pendidikan perkauman mereka, apatah lagi menerima pandangan dan kritikan orang lain. Inilah juga faktor penyatuan dan kelebihan orang Cina yang jarang berlaku dalam kalangan umat Islam. Orang Cina sehati-sejiwa mempertahankan hak-hak mereka, sedang kita terus berpecah dan masih lagi terkial-kial mencari identiti diri dan sistem pendidikan kebangsaan. Lebih menyedihkan lagi, kita terus membiarkan masalah dan kesilapan yang telah berlaku, apatah lagi tendensi untuk mengulanginya begitu kerap dilakukan.


Saya tidak menafikan hak orang Cina untuk mendapatkan pendidikan dalam bahasa ibunda mereka. Sebagai seorang berbangsa Cina, saya merasakan ia penting dalam usaha untuk mengekalkan identiti seseorang seperti mana kata-kata ahli falsafah Cina, bahasa itu melambangkan kekuatan sesuatu bangsa. Hilang bahasa, maka hilang bangsa. Secara peribadi, saya menggalakkan anak-anak Melayu bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) untuk mempelajari bahasa dan budaya Cina. Ia satu kredit kepada pelajar Melayu, kerana dapat menguasai bahasa lain.


Tetapi untuk pelajar Cina yang majoriti berlatar-belakangkan Cina, tinggal di kawasan Cina dan berinteraksi dalam bahasa Cina, pada hemat saya, lebih baik mereka didedahkan dengan persekitaran Melayu. Manakala pelajar Melayu perlu didedahkan kepada persekitaran bukan Melayu. Justeru, Sekolah Wawasan adalah jalan penyelesaian terbaik kepada masalah yang kita hadapi pada masa kini. Tetapi sejauh manakah UCSTAM dan UCSCAM akan menerima idea yang telah lama dikemukakan oleh kerajaan. Apa yang saya tahu, mereka mempunyai prasangka buruk terhadap Sekolah Wawasan. Sekolah Wawasan dikatakan bertujuan untuk menghapuskan SJKC secara perlahan-lahan.


UCSTAM dan UCSCAM mendakwa SJKC tidak menyebabkan polarisasi kaum, malah mempertingkatkan daya saing negara. Persoalan saya, adakah ini berasaskan kepada kajian atau hanya cakap-cakap politik sahaja? Sudahkah kajian dibuat serius dibuat mengenai keberkesanan dan sumbangan SJKC terhadap pembinaan sebuah negara bangsa dan integrasi nasional? Menurut beberapa kajian yang dilakukan oleh penyelidik-penyelidik, pelajar-pelajar Cina yang mendapat pendidikan Sekolah Kebangsaan dan pendidikan Inggeris, lebih mudah bergaul dengan orang Melayu berbanding dengan pelajar-pelajar SJKC. Keadaan ini turut terbawa-bawa hingga ke peringkat pengajian tinggi.


Semua perkara ini dipersetujui oleh pengkaji-pengkaji sosialisasi politik. Neena Sharma (1985) meletakkan peranan penting pendidikan formal dalam proses sosialisasi. Tema yang sama turut dibahaskan oleh Almond dan Verba (1963). Pendidikan formal akan menentukan tahap persepsi seseorang. Langton (1969) menyokong hujah ini dengan mengatakan, sekolah berperanan untuk menanamkan kepercayaan politik secara formal melalui perancangan secara sedar dan secara tidak formal melalui pengalaman. Bagi pelajar yang mempunyai perbezaan latar belakang politik dan sosial, sekolah boleh mensosialisasikan mereka semula mengikut kumpulan yang sama sehingga melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.


Sejarah membuktikan bahawa petempatan keluarga Cina telah berlaku sejak mula mereka berhijrah ke Tanah Melayu, sehinggalah berlakunya penjajahan Inggeris, dan berlangsung hingga ke hari ini. Majoriti keluarga Cina tinggal di bandar, sementara orang Melayu di luar bandar (Comber, 2007). Keadaan ini terbawa-bawa hingga masa kini. Kalau ada pun orang Melayu di bandar, mereka tinggal di kawasan perumahan yang majoriti dihuni rakan sebangsanya atau kampung-kampung baru (kampung Melayu). Begitu juga dengan orang Cina. Keluarga Cina lebih selesa tinggal di taman perumahan yang majoriti dihuni rakan sebangsanya atau kampung baru Cina seperti yang dijelaskan oleh Strauch (1981).


Kewujudan kampung-kampung baru telah telah menimbulkan persepsi buruk antara kaum Cina dan Melayu. Apatah lagi, kampung baru Cina lebih maju daripada kampung Melayu (Comber, 2007). Akibatnya, interaksi mereka hanya terbatas di kalangan keluarga dan rakan taulan sebangsa sahaja. Justeru, pemikiran mudah dipengaruhi oleh ruang lingkup persekitaran sebegini. Menurut Azita Aminuddin (1996), penglibatan ibubapa (keluarga) dalam politik mempengaruhi persepsi anak-anak dalam proses sosialisasi politik. Ini kerana peranan keluarga dan seterusnya pendidikan yang diperolehi amat berkait rapat.


Menurut Ball (1993), lebih lama jangka masa pendidikan formal dan lebih tinggi kecerdasan kanak-kanak itu, semakin berkurangan pula pengaruh ibubapa. Ia juga bergantung kepada perhubungan dengan agen-agen sosialisasi yang lain. Dalam konteks Malaysia, selepas peranan keluarga, sekolah perkauman Cina (SJKC) menjadi pilihan orang Cina sejak kecil.


Sejarah keluarga dan perkembangan sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu bermula sejak penghijrahan masuk orang Cina pada awal abad ke-19. Imigran Cina bukan sahaja membawa bersama-sama adat, kepercayaan, agama dan kebudayaan keluarga, tetapi juga sistem pendidikan mereka ke Tanah Melayu.


Perkara yang sama turut dibincangkan oleh Quek Weng Kim (2000), Purcell (1997), dan Comber (2007). Menurut Zainal Mohd Jais (1996), pendidikan berorientasikan negeri China ini langsung tidak membantu melahirkan generasi baru di Tanah Melayu. Masyarakat Cina amat mementingkan pendidikan dan memberikan penghormatan tinggi kepada pendidikan. Mereka telah mendirikan sekolah Cina melalui usaha orang perseorangan dan persatuan bagi mengekalkan warisan budaya dan bahasa mereka. Hal ini dibuktikan dengan pembinaan sekolah Cina di mana sahaja terdapat penempatan orang Cina (Sia Keng Yek, 2005).


Hanya pada tahun 1920, penjajah British mula mengawal bahan pendidikan ini melalui Ordinan Pendaftaran Sekolah Cina dengan mendaftarkan semua tenaga pengajar dan memantau segala aktiviti sekolah Cina. British bimbang akan pengaruh ideologi komunis jika sekolah ini dibiarkan bebas begitu sahaja. Reaksi ini mendapat tentangan hebat daripada orang Cina. Namun demikian, sistem pendidikan Cina mula terbantut di bawah penjajahan Jepun, dan bergiat aktif semula apabila Jepun mengundurkan diri.


Apabila British kembali menjajah selepas Perang Dunia Kedua, orang Cina terus menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dan menentang dasar-dasar mengenai pendidikan kebangsaan yang mahukan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah dan bahasa Inggeris di sekolah menengah yang diperkenalkan pada Mei 1950. Secara umum boleh dikatakan bahawa, orang Cina tidak menunjukkan sebarang minat terhadap sistem pendidikan kebangsaan, kecuali pendidikan Cina.


Walaupun sistem pendidikan kebangsaan menawarkan khidmat secara percuma atau dengan kos yang rendah, mereka tetap menyatakan tidak. Menurut Purcell (1997), yang penting bagi mereka ialah sistem pendidikan melalui bahasa pengantar sendiri. Sentimen ini telah ditanam oleh semangat nasionalisme yang dirangsangkan melalui gerakan revolusi. Ekoran itu, British memperkenalkan pula Laporan Barnes (1950) mengenai pendidikan Melayu dan Laporan Fenn-Wu (1951), mengenai pendidikan Cina.


Laporan Barnes mencadangkan agar sistem pendidikan harus berteraskan kepada bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ditentang hebat oleh orang Cina (Lee Kam Heng dan Tan Chee-Beng, 2000). Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Kuala Lumpur menggesa Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina negeri-negeri lain menyokong tindakan mereka dengan mengemukakan “Memorandum Pendidikan Persekutuan Malaya”. Sokongan ini membawa kepada penubuhan Jiao Zong atau Persekutuan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina pada 25 Disember 1951. Mereka mahukan supaya bahasa Cina, Tamil, Inggeris dan Melayu diberikan layanan yang sama dan disenaraikan sebagai bahasa rasmi. Pendidikan Cina hendaklah dijadikan sebagai salah satu aliran pendidikan negara.


Walaupun British telah memperkenalkan Laporan Fenn-Wu, bagi menenangkan orang Cina, pada masa sama Laporan Barnes terus dikuatkuasakan. Keadaan ini menimbulkan perasaan kurang senang orang Cina. Laporan Fenn-Wu dibentuk untuk mengkaji pendidikan Cina di Tanah Melayu. Antara syornya ialah Sekolah Cina dibenarkan beroperasi dan tidak akan dihapuskan. Bahasa Cina juga tidak akan diabaikan. Cuma, buku-buku teks yang digunakan harus berorientasikan kepada Tanah Melayu bukan berkiblatkan Negeri China (Zaid Ahmad et al, 2006).


Penentangan semakin ketara apabila kerajaan mahu mewujudkan Akta Pendidikan 1954, di mana pelajar-pelajar yang cukup usia dihantar ke sekolah kebangsaan. Cadangan ini terus ditentang oleh orang Cina sehingga tertubuhnya lagi persatuan yang dikenali sebagai Dong Zong atau Persekutuan Lembaga Pengurus Persatuan Sekolah Cina pada 22 Ogos 1954 (Quek Weng Kim, 2000). Setelah kerajaan Perikatan mengambil alih pemerintah British, pada tahun 1955, satu laporan pendidikan baru, Laporan Razak diumumkan pada 1956. Laporan ini mencadangkan dalam tempoh 10 tahun, dua jenis sekolah rendah akan diwujudkan yakni sekolah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris, Cina atau Tamil sebagai bahasa pengantar.


Pada tahun 1960, kerajaan telah mengkaji semula Ordinan Pelajaran 1957 melalui jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Abdul Rahman Talib yang akhirnya dikenali sebagai Laporan Rahman Talib (Haris Md Jadi, 1990, Oong Hak Ching, 2000, Asnarulkhadi dan Jayum A. Jawan, 2001). Laporan ini diluluskan pada Ogos 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 pada Oktober 1961. Antara perkara penting dalam laporan ini ialah pertama, Sekolah Kebangsaan yang diumumkan terdiri daripada pelajar Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Kedua, Sekolah Jenis Kebangsaan yang umumnya terdiri daripada pelajar Cina dan India, menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, manakala bahasa Cina dan bahasa Tamil dijadikan salah satu matapelajaran sekolah.


Orang Cina telah bertindak balas dengan keras terhadap dasar ini. Mereka menuntut agar bahasa Cina turut diperakui sebagai bahasa rasmi setanding bahasa Melayu dan Inggeris. Ternyata isu bahasa dan pendidikan amat sensitif dan menyinggung perasaan orang Cina. Orang Cina menganggap dasar ini adalah sebagai percubaan untuk menafikan hak anak-anak mereka terhadap bahasa dan kebudayaan mereka di samping bertujuan mengasimilasikan dengan bangsa Melayu (Comber, 2007).


Pendek kata, akta demi akta berkaitan bahasa dan pendidikan yang diperkenalkan oleh kerajaan pada ketika itu terus disenangi oleh kaum Cina.


Antaranya adalah Dasar Pendidikan Kebangsaan 1961 dan Sistem Pendidikan Aneka Jurusan 1965 (Laporan Aminuddin Baki) yang digubal berdasarkan Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Matlamat utama dasar ini adalah untuk mewujudkan persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat (Asnarulkhadi dan Jayum A. Jawan, 2001)


Apatah lagi bermula 1962, kerajaan telah umumkan subsidi penuh hanya diberikan kepada dua jenis sekolah. Sekolah Cina diberikan dua jenis pilihan, sama ada menerima penukaran sistem menjadi sekolah kebangsaan yang diberikan subsidi penuh atau berdikari dan hanya perlu mematuhi peraturan kerajaan. Pada Januari 1962, sebanyak 54 Sekolah Menengah Cina setuju, jumlah selebihnya 16 buah enggan, menjadi sekolah persendirian. Perkembangan seterusnya membawa kepada kewujudan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Ada sarjana yang menganggap bahawa sikap menentang ini berlaku disebabkan oleh dasar-dasar kerajaan lebih berpihak kepada orang Melayu dan tidak kepada kaum lain seperti yang dinukilkan oleh Ratnam (2002).


Hujah ini ada kebenarannya kerana orang Cina amat takut dengan sesuatu dasar yang boleh menggugat kepentingan mereka. Pertubuhan Cina tidak pernah bersetuju dengan dasar-dasar kerajaan ini kerana ditakuti akan menyebabkan bahasa dan budaya ibunda mereka terhapus. Mereka mahukan juga bahasa Cina turut diperakui sebagai bahasa rasmi sebagaimana bahasa Melayu dan Inggeris. Dengan sebab itu sekitar tahun 1960-an, mereka melancarkan kempen untuk menubuhkan Universiti Merdeka, menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar.


Selain daripada NGO-NGO Cina, ketiga-tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP menyokong penuh idea ini. Namun, ia mendapat tentangan hebat daripada UMNO. Tidak puas hati dengan keputusan kerajaan menolak penubuhan Universiti Merdeka, mereka mencabar dengan membawa perkara ini ke Mahkamah Tinggi. Sekitar tahun 1980-an, mahkamah membuat keputusan menolak permohonan untuk menubuhkan Universiti Merdeka. Tidak puas hati dengan keputusan itu, DAP mengekspoitasi isu Universiti Merdeka dengan mengatakan kerajaan BN cuba mewujudkan satu budaya = budaya Melayu, satu bahasa = bahasa Melayu dan satu agama = agama Islam (James Chin, 2001). Isu pendidikan Cina ini tidak hanya berlaku di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak.


Pengaruh penentangan sistem pendidikan ini dapat dilihat juga dengan mengambil contoh sistem pendidikan sekolah Cina di Sarawak semasa pemerintahan Brooke (1841-1941), semasa penjajahan Jepun (1941-1945) dan selepas penjajahan Jepun. Orang-orang pendidikan aliran Cina tetap mahukan sekolah Cina dikekalkan. Menurut Ooi Keat Gin, yang banyak membuat kajian sistem pendidikan di Sarawak ketika era pemerintahan Brooke dan selepasnya berpendapat, kebangkitan politik Cina ini menjadi ketara atas kontroversi Kuo-yu dan isu pemindahan sekolah beraliran Cina kepada aliran Inggeris pada tahun 1950-an. Kuo-yu ialah bahasa vernakular Cina yang telah dijadikan bahasa pengantar di sekolah selepas “Gerakan 4 Mei 1919” di negeri China. Kuo-yu, yang lebih ringkas dan mudah dipelajari, menggantikan bahasa Cina klasik yang didapati pelik dan sukar dikuasai, maka ia hanya diketahui oleh segolongan kecil sahaja, khasnya kaum intelek. Rancangan pihak pentadbiran Pejabat Penjajahan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran di sekolah menengah membangkitkan kemarahan dan tentangan daripada masyarakat Cina.


Hujah mereka tidak lain untuk memelihara bahasa, pendidikan, identiti dan kebudayaan Cina. Bukan setakat itu sahaja, malahan tuntutan orang Cina juga mahukan sekolah Cina diasingkan daripada sekolah lain. Golongan selepas perang ini amat kuat cauvinis dan kuat menegaskan “kecinaan” mereka. Orang Cina berpendidikan Inggeris tidak menyokong meneruskan pendidikan berdasarkan garis-garis kaum kerana akan menonjolkan perbezaan di antara mereka dengan saudara mara yang berpendidikan Cina. Menurut Ian Morrisson, semasa pentadbiran Brooke, hubungan orang Cina dan pribumi memang mempunyai masalah. Pelbagai persepsi dan prasangka wujud di kalangan pribumi (Iban) terhadap orang Cina. Orang Iban tidak suka kepada orang Cina. Orang Cina pula mempunyai persepsi yang buruk lagi dengan menganggap orang Iban dan peribumi yang lain sebagai orang kasar dan tidak bertamadun (Mahani Musa dan Tan Liok Ee, 2000).


Sia Keng Yek (2005) membuat kajian yang mendalam mengenai sistem pendidikan Cina di Malaysia banyak membincangkan bagaimana orang Cina akan bermati-matian mempertahankan sistem pendidikan mereka yang sedia ada walau apa jua terjadi sekalipun. Sebarang usaha untuk mengubah sistem pendidikan akan ditentang habis-habisan oleh parti-parti politik Cina seperti MCA, Gerakan dan DAP serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Cina, Dong Jiao Zong dan Pertubuhan Cina Malaysia atau lebih dikenali secara kolektif sebagai Huatuan.


Selain daripada laporan-laporan pendidikan dan akta-akta bahasa kebangsaan (yang mahu mendaulatkan bahasa Melayu), menjadi isu penentangan orang Cina setelah sekian lama, isu penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di semua semua sekolah yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2002, turut menimbulkan penentangan dan ketegangan kalangan orang Cina. Walaupun kelihatan berlaku pertikaman lidah antara parti-parti Cina, MCA dan Gerakan (parti kerajaan) dengan DAP (pembangkang), tetapi suara mereka tetap senada. Mereka tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan melaksanakan dasar ini melibatkan sekolah Cina. Bagi mereka, matapelajaran tersebut mesti diajar dalam bahasa ibunda. Lebih-lebih lagi DAP, tidak habis-habis membangkitkan isu dan menentang sebarang cubaan mengganggu kurikulum sekolah Cina. Ucapan Lim Guan Eng (2005), Setiausaha Agong DAP, dalam kenyataan akhbarnya pada 12 November 2005 menentang PPSMI.


Walaupun beliau turut menyindir parti Gerakan, tetapi hakikat sebenarnya, Gerakan masih berjuang seperti DAP, menentang sebarang campurtangan kerajaan berkaitan pendidikan sekolah Cina. Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamed amat tidak senang dengan kenyataan tersebut. Keadaan sudah buruk dengan mereka tidak pergi ke sekolah yang sama. Orang Cina diajar dalam bahasa Cina, sementara yang India menggunakan bahasa Tamil, mereka tidak akan bercakap di antara satu sama lain langsung, dan mereka tidak memerlukan antara satu sama lain. Setiap kali kerajaan berusaha untuk merapatkan hubungan, ada sahaja yang menghalang supaya kita terus jauh di antara satu sama lain (Mingguan Malaysia, 13 November 2005). Beliau menyifatkan mereka ini mempunyai sikap cauvinisme kaum.


Ketika dasar ini mula dilaksanakan pada 2002, Gerakan awal-awal lagi telah menentang cadangan ini. Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Wan Mohd Zahid Wan Mohd Nordin turut memberikan komen yang hampir serupa. Jelasnya, masyarakat Cina mesti meletakkan kepentingan kebangsaan di tempat yang teratas bukannya kepentingan etnik. Ini bukan bermakna, setiap etnik akan melupakan asal usul mereka, akan tetapi kepentingan nasional hendaklah mendahului yang lain. Sama seperti di Amerika, pelbagai etnik hidup dalam negara tersebut, tetapi mereka bangga dengan mereka sebagai rakyat Amerika (Mingguan Malaysia, 13 November 2005).


Dalam menentang dasar ini, Dong Jiao Zong, yang diketuai Yap Sin Tian, telah menganjurkan satu perhimpunan yang dihadiri oleh 3,500 perwakilan daripada 600 pertubuhan (majoriti Huatuan) mengenai bantahan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada 10 Disember 2005. Menurut beliau, perhimpunan tersebut bukan bersifat perkauman. Setiap kaum ada bahasa ibunda. Maka, penentangan ini lahir dari semua kaum, bukan Cina sahaja. Pada hemat saya, bukan soal kaum lain (termasuk orang Melayu) menentang penggunaan bahasa dalam pengajaran subjek sains dan matematik, tetapi isu yang lebih besar ialah penolakan mereka terhadap sebarang usaha untuk mengikis jati diri dan identiti sekolah Cina. Inilah peranan mereka sejak dahulu lagi dan sampai sekarang perjuangan mereka tidak pernah berubah.


Menurut Tan Liok Ee (1989), isu pendidikan Cina merupakan isu yang amat sensitif dalam politik Malaysia kerana masyarakat Cina amat mementingkan identiti mereka. Inilah juga perjuangan Dong Jiao Zong (UCSTAM dan UCSCAM) sejak dahulu lagi sebelum dan selepas negara mencapai kemerdekaan. Bagi mereka, sekolah Cina mesti dipertahankan bagi pembentukan jati diri orang Cina (Utusan Malaysia, 27 April 2005). Mengulas lebih lanjut, akhbar Cina, Shin Chew Daily memuji usaha-usaha yang dilakukan oleh persatuan-persatuan Cina ini. Ketabahan mereka, yang mana telah berjaya menempuh zaman penjajahan British dan kekejaman tentera Jepun, telah membawa kepada kewujudan 1,288 buah SJKC, 60 buah Sekolah Menengah Cina, serta tiga IPTS Cina di negara ini.


Sejarah yang mereka tempuhi tidak sama dengan orang lain, penuh dengan liku dan cabaran. Seringkali terhimpit dalam banyak ketidaktentuan. Mereka mara tanpa menoleh ke belakang lagi. Mereka berada dalam keadaan selesa dan mencipta banyak kejayaan. Melalui sumbangan tanpa henti daripada pelbagai pihak, ia kini telah menjadi signifikan dalam sejarah pendidikan negara. Hari ini, terdapat lebih kurang 640,000 orang pelajar yang bersekolah di SJKC. Hampir satu per sepuluh atau 60 ribu daripadanya merupakan pelajar bukan Cina. Jika tidak kerana SJKC di seluruh Malaysia telah penuh sesak, lebih ramai ibu bapa bukan Cina dijangka akan memasukkan anak mereka di sana


Dalam kajian yang dibuat oleh Yew Yeok Kim (1973, 1982) dan Leo Suryadinata (1989) mengenai pendidikan masyarakat Cina, beberapa penemuan mengenai sikap dan tingkah orang Cina (pelajar) diperolehi. Terdapat perbezaan sikap (persepsi) antara pelajar Cina yang mendapat pendidikan sekolah Cina dengan pelajar Cina yang mendapat pendidikan Inggeris. Pelajar Cina yang mendapat pendidikan Inggeris kurang identiti keCinaannya, lebih mudah bergaul dengan bangsa lain dan memudahkan proses integrasi nasional. Manakala pelajar yang mendapat pendidikan sekolah Cina adalah sebaliknya. Keadaan menjadi semakin buruk apabila wujudnya parti-parti politik berasaskan kaum yang menjadikan pengaruhnya turut merebak kepada institusi keluarga dan pendidikan. Apabila proses sosialisasi ini berlaku, maka menurut Funston (2001), setiap etnik akan memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing terutama hal-hal yang berkaitan dengan bahasa, pendidikan dan kebudayaan.


Kesannya, sekolah Cina kekal dengan identiti kecinaannya. Integrasi nasional masih lagi jauh untuk dicapai akibat proses sosialisasi. Ini kerana, bahasa adalah persoalan yang merumitkan dalam masyarakat yang berbilang kaum kerana ia boleh menjadi penghalang kepada integrasi jika kumpulan ras dan etnik yang berlainan mahukan pengekalan bahasa-bahasa mereka sebagai alat untuk menyampaikan kebudayaan dan nilai-nilai sosial (Haris Md Jadi, 1990). Walaupun hujah beliau ini tidak boleh dijadikan asas kukuh dalam mengukur keberkesanan integrasi nasional, namun sedikit sebanyak sistem yang wujud telah menyebabkan jurang interaksi kaum menjadi longgar.


Pendapat yang hampir serupa diutarakan oleh Ramon Navaratnam, beliau tidak bersetuju dengan kewujudan sekolah berasaskan bangsa seperti sekolah Cina dan sekolah Tamil kerana ia membantutkan perpaduan kaum. Kerajaan sepatutnya mewujudkan satu sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan dan penampilannya hendaklah menarik orang Cina dan India. Beliau mengakui, sekolah kebangsaan mempunyai banyak kelebihan. Selain dari mempunyai pelbagai kemudahan, bangunan yang cantik dan guru-guru mencukupi, ia juga boleh meningkatkan taraf pendidikan negara (Siti Mariam, 2006).


Sejarah membuktikan bahawa adalah suatu yang amat memeritkan bagi kerajaan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Penentangan demi penentangan dibuat oleh orang bukan Melayu. Orang bukan Melayu mahukan juga bahasa mereka diikhtiraf sebagai bahasa rasmi juga.


Menurut Kayveas, dalam membentuk bangsa Malaysia melalui sistem pendidikan dan bahasa pengantar yang sama, pemimpin BN mestilah berani dalam membuat keputusan berkaitan dengannya. Beliau percaya rakyat 90 peratus akan patuh dan mengikutinya. Untuk membentuk bangsa Malaysia, tidak perlu banyak aliran dalam pendidikan. Satu masa dulu kita ada satu sistem aliran. Satu sistem yang baik. Satu kesalahan besar yang kita buat, ialah tukar sistem, tukar bahasa pengantar di sekolah. Inilah kesilapan besar yang telah berlaku. Beliau memberi contoh negara India. Tidak ada sekolah Tamil. Semua sekolah menggunakan Bahasa Inggeris. Tetapi bahasa Tamil dibenarkan untuk dipelajari. Hasilnya, India telah muncul sebagai negara dunia ketiga hebat, walaupun ia negara yang paling miskin. Beliau mencadangkan agar mencontohi negara Singapura. Mulai tahun 1978, mereka tukar aliran menjadi satu sahaja. Ketika itu ada yang menyatakan bahawa tindakan itu menyebabkan dia (pemimpin) kalah pilihan raya tetapi keadaan berlaku sebaliknya.


Ini dibuktikan oleh kajian yang dilakukan oleh sekumpulan pensyarah di Universiti Utara Malaysia terhadap pelajar-pelajarnya yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Kebanyakan pelajar-pelajar mempunyai sentimen perkauman yang tinggi. Polarisasi di alam kampus amat membimbangkan. Pelajar-pelajar lebih suka bergaul dengan kaum sendiri dalam segala hal. Semua ini berlaku disebabkan oleh proses sosialisasi yang dilalui sebelum memasuki alam kampus (Mansor Mohd Nor et al, 2006). Dalam konteks institusi pengajian tinggi di Malaysia, terdapat 20 Insitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 32 Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Ini tidak termasuk beratus-ratus IPTS lain yang tidak disenaraikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, yang dikategorikan sebagai lain-lain IPTS yang diluluskan (Kementerian Pengajian Tinggi, 2006). Daripada senarai IPTS ini, kerajaan telah meluluskan penubuhan universiti berasaskan kaum atau parti politik, yakni Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kepunyaan MCA pada tahun 2002 dan Universiti Terbuka Wawasan (Gerakan) pada 6 Jun 2006. Ini tidak termasuk Kolej Tunku Abdul Rahman kepunyaan parti MCA yang tidak disenaraikan. Dalam beberapa siri lawatan penulis ke sana, boleh dikatakan hampir seratus peratus pelajar UTAR adalah terdiri daripada satu kaum sahaja (Cina).


Begitu juga universiti kepunyaan MIC yang turut diluluskan, Universiti AIMST, Kedah. Ini tidak termasuk kolej-kolej swasta yang dipunyai oleh NGO-NGO Cina (Huatuan) seperti Dong Jiao Zong dengan Kolej New Era yang beroperasi di Kajang. Tindakan kerajaan meluluskan begitu banyak IPTS kepunyaan parti parti politik Cina dan NGO-NGO berasaskan kaum ini merumitkan lagi usaha integrasi nasional dalam masyarakat majmuk. Institusi Pengajian Tinggi berasaskan kaum tidak akan mendatangkan kesan positif terhadap hubungan kaum seperti yang telah berlaku di peringkat sekolah, SJK. Malah akan menimbulkan pelbagai persepsi negatif hasil daripada proses sosialisasi yang dilalui.


Kita sedia maklum, proses sosialisasi politik keluarga dan pendidikan Cina tidak mengubah pendirian mereka daripada mempertahankan semangat kecinaan mereka. Dalam kajian yang pernah dibuat sempena sambutan kemerdekaan ke 48, ada menyebut dengan jelas bagaimana sistem pendidikan hari ini gagal menjadi alat penyatuan kaum. Bukti-bukti ini menunjukkan bahawa peranan agen keluarga dan pendidikan amat dominan dalam proses sosialisasi. Walaupun agen sekolah diletakkan sebagai agen kedua pentingnya dalam sosialisasi politik, tetapi pengaruhnya memang tidak boleh dinafikan kerana ia amat berkait rapat dengan keluarga, disebabkan keluarga yang menentukan proses persekolahan anak-anak mereka.


Seorang pelajar Cina, Kathleen Chong yang ditemubual, berusia 24 tahun, menceritakan pengalaman pahitnya belajar di Universiti Putra Malaysia. Katanya, kaum-kaum yang menjadi rakyat di negara ini hidup dalam keadaan terasing antara satu sama lain. Sekolah berasingan, kawan berasingan dan kehidupan sosial berasingan. Katanya lagi, ramai yang kesal dengan jurang yang timbul antara kaum majoriti Melayu dengan bangsa Cina serta India yang hidup bersama mereka di bumi Malaysia. Beliau sedih melihat sikap berpuak-puak mengikut kaum di dalam kampus. Mereka hanya bercampur dengan bangsa masing-masing sahaja. Komunikasi antara kaum adalah sangat terhad. Beliau merayu agar rakyat Malaysia menikmati perpaduan kaum sebenar. Kerajaan perlu menghalang jurang antara kaum ini daripada terus membiak. Beliau sendiri mengakui bahawa dia hanya bercampur dengan kawannya yang berbangsa Cina sahaja ketika menghadiri kelas, aktiviti dan juga ketika waktu makan. Itulah yang dilakukan oleh setiap kaum di dalam kampus


Berdasarkan kepada hujah-hujah ini, saya ingin mengemukakan beberapa persoalan kepada UCSTAM dan UCSCAM, pernahkah kajian dibuat terhadap tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar SJKC/T? Pernahkah kajian dibuat terhadap keputusan UPSR yang dikeluarkan setiap tahun. Cuba lihat berapa ramai pelajar-pelajar yang mendapat cemerlang atau lulus Bahasa Melayu? Sudahkah kajian dibuat mengenai kemampuan bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar SJKC yang masuk ke kelas peralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan? Sudahkah kajian mengenai tahap pergaulan pelajar Cina dan Melayu di SMK? Sudahkah kajian dibuat terhadap pergaulan pelajar Cina di IPTA? Dapatan kajian saya menunjukkan bahawa hampir kesemua pelajar Cina tidak bergaul dalam erti kata yang sebenar. Semua ini berlaku disebabkan oleh pembawaan daripada sekolah rendah perkauman yang dilalui sebelum ini. Punca utama disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Melayu yang amat menyedihkan yang menyukarkan interaksi antara kaum berlaku.