Monday, November 29, 2010

Bahaya dakwah dipolitikkan

(Al Islam bulan Nov 2010)

Bulan lalu saya ada menyebut bahawa cara kita melihat kesejagatan Islam atau the universality of Islam terlalu sempit dan jumud. Dalam kotak pemikiran kita, bila sesuatu datang daripada bangsa selain Melayu dan Arab, seperti seni bina Cina, falsafah Konfucius dan sebagainya, semua dikatakan tidak Islamik. Pada mereka, yang Islamik ialah seni bina kubah, mencetak surah yasin dan lain-lain yang berkaitan dengan seni budaya Melayu dan Arab. Mereka tidak sedar bahawa bangsa lain juga adalah ciptaan Allah SWT. Seni dan budaya mereka semua datang daripada Allah SWT. Senibina kubah misalnya bukan senibina Melayu atau Arab, tetapi adalah senibina Moorish-Indian.

Cantiknya Islam adalah kerana Islam menerima semua jenis senibina dan budaya, selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam, walaupun datang dari mana sekalipun. Jika Islam mempunyai simbol-simbol tertentu, tidak ada bezanya dengan agama-agama lain seperti Yahudi yang menganggap mereka adalah the chosen people, yang mempunyai simbol-simbol tertentu.

Tidak perlulah kita mencanangkan Islamlah yang terbaik berbanding agama lain, jika kita tidak dapat menerima perbezaan yang dijadikan oleh Allah SWT. Berlainan bangsa, sudah pasti mempunyai berlainan cara hidup, selagi mana ia tidak bertentangan dengan Islam, selagi itulah ia boleh diamalkan. Di sinilah keunikan Islam berbanding dengan agama lain.

Malangnya hari ini, di satu pihak kita mengajak orang lain memeluk Islam atau kembali kepada Islam, pada masa sama kita tidak melakukan kerja-kerja untuk mencapai matlamat tersebut. Lebih menyedihkan lagi kita cuba untuk mengelirukannya atau mungkin meruntuhkannya.

Saya amat pelik, kenapa sehingga ke hari ini pemikiran kita masih tidak berubah. Sekian lama kita berhadapan dengan bukan Islam, kita masih tercari-cari strategi untuk berdakwah terhadap mereka. Lebih malang lagi, tidak banyak kajian dan penyelidikan dibuat. Kita banyak bercakap kosong tanpa disertai dengan fakta. Dunia dakwah hari ini tidak seharusnya bersifat retorik. Tidak cukup sekadar bercakap tentang kegemilangan masa lalu, tanpa berusaha untuk mencipta kegemilangan tersebut. Kegemilangan masa lalu tidak dapat dilihat pada masa kini. Dakwah yang paling berkesan adalah dakwah yang disertai dengan bukti-bukti masa kini. Ia tidak boleh berlaku secara tiba-tiba. Ia perlu dirancang dengan rapi. Itulah yang dinamakan dakwah bil hal atau dakwah melalui contoh teladan.

Saya teramat sedih apabila melihat sebuah pertubuhan dakwah yang dahulunya amat berpengaruh, tetapi kini sudah hilang fokus. Pertubuhan tersebut seolah-olah tempat orang-orang pencen bekerja dan dibayar gaji yang agak lumayan, bukannya untuk berdakwah kepada orang bukan Islam. Dakwah kepada bukan Islam tidak lagi menjadi fokus, mereka lebih fokus kepada tajdid. Saya tidak kata tajdid itu salah. Tajdid adalah sebahagian daripada kegiatan dakwah. Pada saya, banyak lagi organisasi lain yang boleh memberikan fokus dan penumpuan kepada tajdid.

Mungkin ada yang kurang faham akan maksud tajdid. Tajdid bukan bererti mendatangkan agama baru. Tajdid boleh membawa dua maksud; Pertama, tajdid bermaksud mengembalikan wajah asal agama seperti kita membaharukan semula sesuatu yang telah menjadi buruk atau akan luput tarikhnya. Pembaharuan atau tajdid bererti yang asal itu wujud, tetapi keadaan dan masa menuntut ia dibaharukan. Contoh yang praktikal adalah kita membaharukan lesen memandu atau selainnya. Lesen asal itu ada, tetapi dipembaharuan dibuat disebabkan ia menjadi lama atau luput.

Kedua, tajdid juga boleh bermaksud benar-benar mendatang sesuatu yang baharu disebabkan kerana keperluan dan tuntutan yang baharu yang tiada pada zaman sebelumnya seperti manusia mengadakan kenderaan moden, tetapi atas asas yang sama iaitu kehendakan manusia untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Maka dalam konteks Islam, sesuatu yang baharu itu hendaklah tidak mengubah agama, sebaliknya tafsiran atau pandangan yang baru disebabkan tuntutan keadaan, namun ia tetap tidak lari dari maksud dan kehendak nas al-Quran dan al-Sunnah. Dalam erti kata lain, pembaharuan Islam bermaksud mengembalikan umat kepada wajah asal Islam yang telah tercemar dan dilupai disebabkan keadaan dan zaman, atau mengadakan tafsiran dan pandangan baharu atas keperluan semasa dengan tetap berteraskan al-Quran dan al-Sunnah. Tanggungjawab ini sewajarnya dipikul oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan banyak lagi organisasi Islam yang lain, bukannya pertubuhan tersebut.

Ternyata misi dan visi Almarhum Tunku Abdul Rahman, pengasas pertubuhan ini telah hilang focus, selepas Almarhum meninggal dunia. Pertubuhan ini tidak lagi mesra saudara Muslim, tetapi menjadi sarang berpolitik dan tempat orang-orang pencen menghabiskan zaman tuanya. Kerja sukarela tidak lagi menjadi matlamat, habuan gaji yang dicari-cari. Malang sungguh mereka yang menghulurkan bantuan kewangan pertubuhan ini jika kerja tidak berjalan, dan fokus kerja sudah tidak tentu haluan.

Sudahlah pertubuhan yang menfokuskan kerja-kerja dakwah tidak banyak, yang ada pula, asyik berpolitik. Kerja-kerja dakwah tidak berjalan. Selaku seorang pendakwah dan saudara baru, saya sudah letih melihat keadaan sebegini. Malah ramai lagi pendakwah-pendakwah yang sudah kecewa dan mahu bertindak keluar. Tetapi memikirkan mashalat umat Islam lebih besar, tidak mengapalah kita berlebih kurang, mudah-muhdan ada perubahan selepas ini.

Saya menyokong penuh kepimpinan nombor satu pertubuhan tersebut, tetapi bagi mereka yang bekerja secara bergaji, lakukanlah yang terbaik untuk dakwah Islamiyyah, kurangkan berpolitik, agar Islam dipandang tinggi dan dihormati.

Cukuplah politik orang Islam masa kini yang telah menyebabkan kita berpuak-puak, berpecah -belah dan saling jatuh-menjatuh antara satu lain. Kenapakah kita perlu bawa budaya ini dalam pertubuhan dakwah. Ingatlah, mereka yang menghulur derma kepada pertubuhan ini mahu melihat dakwah Islamiyyah berkembang di kalangan orang bukan Islam. Kenapa kita tidak menyusun strategi ke arah itu? Apakah yang akan kita jawab nanti apabila berdepan dengan Allah SWT?

Pada hemat saya, pertubuhan ini sepatutnya menjadi pusat dakwah dengan mengadakan banyak dialog peradaban, kajian dan penyelidikan supaya terpancar the universality of Islam, bukannya menjadi tempat menghabiskan zaman tua. Selaku seorang saudara baru dan selalu berkunjung ke di organisasi tersebut, saya amat bertuah kerana dipilih dalam mesyuarat agong yang lalu untuk berada dalam barisan jawatan kuasa tertinggi. Untuk pengetahuan, kami adalah sukarela yang tidak dibayar gaji. Namun, kami sanggup meluangkan masa dan tenaga demi Islam tercinta, demi saudara Muslim dan mengharapkan akan bertambah dari masa ke semasa.

Berbekalkan semangat inilah, kami terus bekerja tanpa putus asas. Jika kami diketepikan dalam pertubuhan ini, itu bukan bermakna saudara muslim seperti kami hanya duduk diam dan tidak bergerak. Melalui saluran lain, misalnya Persatuan Cina Muslim Malaysia, kami terus bergerak untuk menonjolkan keuniversalan Islam dan keindahan Islam.

Baru-baru ini, pada bulan puasa, isteri Perdana Menteri sanggup merasmikan pertandingan mereka bentuk masjid berseni bina Cina, anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM). Ternyata presiden PAM, seorang Cina belum Islam, begitu kagum dengan idea membina masjid berseni bina Cina. Adalah diharapkan kehadiran masjid ini dapat mengetuk pintu hati mereka. Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan, terutamanya kepada Perdana Menteri, kerana sudi menganugerahkan sekeping tanah, keluasan 5 ekar bagi projek tersebut. Kami yakin, dengan terbinanya masjid ini, pasti akan menarik perhatian bukan Islam.

Selepas itu, pada bulan syawal pula, pihak kami turut menganjurkan Majlis Menyambut Hari Raya Aidil Fitri bersama-sama dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Cina yang berpengaruh. Ternyata sambutannya amat memberangsangkan. Kita dapat menyampaikan Islam secara tidak langsung. Pada saya, program-program sebegini meninggalkan impak yang besar kepada perkembangan dakwah. Inilah antara bentuk-bentuk program yang sepatutnya diperbanyakkan.

Perlu diingatkan juga, tidak semestinya mereka menghadiri program sebegini akan memeluk agama Islam. Kalau mereka tidak memeluk Islampun tidak mengapa, asal mereka dapat melihat agama Islam dalam konteks yang luas, bukan hanya melihat Islam pada masjid berkubah dan perpecahan politik umat Islam yang tidak berkesudahan.

Apakah kita tidak berdosa melihat orang bukan Islam terus berprejudis terhadap agama Islam disebabkan oleh perbuatan yang tidak dapat membantu memulih imej Islam? Sudahlah Islam dimomokkan dengan istilah Islamofobia. Apakah peranan kita untuk menangkisnya? Pertubuhan dakwah yang mempunyai dana yang banyak sepatutnya menfokuskan usaha-usaha untuk memulihkan Islamofobia ini yakni satu istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi terhadap agama Islam dan umat Islam. Istilah ini sengaja digunakan oleh pihak tertentu dan menjadi popular selepas serangan 11 September 2001. Mereka cuba menanamkan rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada orang Islam. Tidak ketinggalan amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka dari kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat. Islamofobia juga termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas.

Pendek kata, Islam tidak dikenali sebagai ‘way of life’ seperti yang selalu dilaung-laungkan. Tanggapan Islamofobia merupakan satu propaganda yang sengaja dicipta oleh kumpulan tertentu untuk melihat kemunduran dan kejatuhan tamadun Islam. Fahaman itu sebenarnya boleh dilenyapkan terus jika umat Islam sendiri tidak menjadi ejen untuk mempromosikannya. Tidak ada istilah ‘Islam fobia’ sebenarnya. Itu adalah rancangan jahat sesetengah kumpulan yang sengaja mahu melihat kita mundur dan mengelakkan bukan Islam memeluk Islam. Mengapa tidak dari sekarang kita saling bekerjasama dan memastikan isu ini tidak lagi menjadi penghalang untuk umat Islam berjaya? Kenapa kita harus berpolitik sehingga kerja-kerja dakwah dan usaha untuk memulihkan imej Islam terbengkalai?

Tumpuan umat Islam masa kini adalah untuk mengatasi masalah Islamofobia daripada terus menghantui umat Islam. Pertubuhan dakwah perlu menjemput cendekiawan Islam untuk berdialog dan memperbetulkan kembali konsep salah yang selama ini dipegang masyarakat. Penyelesaiannya adalah dengan dialog dan beri kesedaran kepada umat Islam dan bukan Islam. Selama ini mereka keliru dengan konsep fobia ini.

Islam dikaitkan dengan rasisme, diskriminasi kaum, antisematisme, xenofobia, diskriminasi, keganasan dan pembunuhan kerana orientasi seks, dan apa jua bentuk sikap tidak toleransi, melanggar nilai-nilai asas manusia dan mengancam kebebasan masyarakat. Kita sepatutnya berperanan untuk menangkis semua serangan ini. Seminar-seminar, kajian dan penyelidikan, risalah-risalah dan sebagainya perlu diperbanyakkan dalam pelbagai bahasa, untuk menjelaskan isu-isu ini.

Baru-baru ini saya dikunjungi oleh seorang warga Perancis yang menyatakan hasratnya untuk memeluk agama Islam. Saya berasa amat bersyukur menerima kunjungan beliau. Walaupun, tujuan utama memeluk Islam adalah untuk berkahwin dengan gadis Melayu, apa yang menarik perhatian saya adalah sikap ingin tahu dan mahu belajar tentang Islam. Pelbagai soalan yang dibangkitkan, yang memerlukan jawapan yang dapat meyakinkan. Antaranya adalah persoalan yang dibangkitkan di atas.

Alangkah baiknya, jika kita dapat menjawab semua persoalan yang dibangkitkan itu dengan menyediakan buku-buku yang dapat menjawab segala persoalannya. Inilah fokus kerja yang perlu dilakukan oleh pertubuhan berpengaruh itu. Cetaklah sebanyak mungkin buku-buku menjawab persoalan lazim mereka yang ingin memeluk Islam. Misalnya, kenapa seseorang perlu memeluk Islam jika mahu menikahi orang Islam. Kenapa zina, arak dan babi diharamkan. Dan banyak lagi persoalan berkaitan. Bukannya menganjurkan Seminar yang tidak ada banyak kaitan dengan dakwah kepada saudara Muslim seperti Seminar Tajdid.

Seminar seperti ini telah banyak dianjurkan oleh jabatan-jabatan agama, pertubuhan orang Islam dan lain-lain pertubuhan. Pertubuhan dakwah sepatutnya mengfokuskan kajian dan penyelidikan berkaitan bagaimanakah Islam dapat diterima dan disebarkan secara meluas tanpa berceramah.

Pertubuhan ini sepatutnya memerah otak bagaimana menggunakan multi media, kemudahan internet untuk menangkis segala tohmahan terhadap Islam seperti Islamofobia dan sebagainya, bukannya memenuhi agenda peribadi dengan menggunakan pertubuhan dakwah tersebut.

Saya amat bimbang kita akan hilang fokus. Akhirnya, peluang untuk menyebarkan Islam terbantut. Inilah perkara asas yang perlu difahami oleh setiap pertubuhan dakwah. Elakkan daripada berpolitik dan mewujudkan puak-puak dalam pertubuhan dakwah. Matlamat kita hanya satu yakni untuk memastikan syiar Islam berkembang dan seterusnya dijulang.

Gunakan peruntukan yang ada untuk mengaktifkan kegiatan-kegiatan dakwah, bukannya digunakan untuk tujuan yang lain. Saya amat takut, jika pertubuhan dakwahpun turut berpolitik, yang rugi bukannya pendakwah-pendakwah seperti kami kerana kami banyak saluran lain lagi. Yang rugi adalah kepada agama kita sendiri. Imej Islam semakin tercalar, bukan Islam semakin jauh daripada kita. Islam terus berada ditakuk lama.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

6 comments:

  1. saya mohon untuk copy artikel untuk ke blog/fb saya.

    ReplyDelete
  2. saya juga mohan utk kongsi ke yadaim mencari hidayah di kumpulan fb...t,kasih

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah, ada tempat untuk pertemukan saya dengan Ust Ridhwan.saya amat berharap, ustaz ridhwan tee dapat baca surat saya. Sekiranya blog ini diselenggara oleh admin, saya amat berharap agar admin dapat berikan surat ini kepada Ust. Saya amat mencari peluang untuk berbincang dengan Ust tentang masalah umat Islam. Terima kasih.

    http://afahmiparidin.blogspot.com/2012/11/surat-kepada-ust-ridhwan-tee.html

    saya terpaksa tinggalkan pautan sahaja berikutan dari batasan dalam ruangan komen.

    ReplyDelete
  4. tulisan ustaz benar2 membuka mata saya , terima kasih ats ilmu dan pemikiran yg ustaz kongsikan. semoga mendapat rahmat Allah berkat usaha2 mengislahkan masyarakat dan menegakkan islam sbg ustaziyatul alam.

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah....teruskan usaha menggilap kembali permata Islam dibumi malaya.mohon copy untuk tatapan sahabat di fb

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah....teruskan usaha menggilap kembali permata Islam dibumi malaya.mohon copy untuk tatapan sahabat di fb

    ReplyDelete