Monday, December 14, 2009

Formula Membina Rumah Ibadat

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Tidak berapa lama dahulu negara dikejutkan dengan isu demonstrasi kepala lembu, sebagai protes pembinaan kuil Hindu di seksyen 23 Shah Alam. Demonstrasi tersebut tidak sepatutnya berlaku, atas dasar sebagai umat Islam kita dianjurkan menghormati agama-agama lain. Sensitiviti agama hendaklah dijaga. Bayangkan jika sebaliknya berlaku, mereka menghina agama kita.


Namun, telah menjadi satu budaya politik di negara ini, kita selalu bertindak menuding jari siapakah yang salah siapa yang betul. Jarang kita bercakap apa yang salah, apa yang betul.


Semua sedia maklum dan apa yang betul adalah, bilangan kuil Hindu sudah melebihi surau dan masjid tetapi ramai yang tidak percaya.


Berdasarkan kepada Buletin Perangkaan Malaysia (terbitan Jun 2006), jumlah penduduk di Malaysia ialah seramai 26.64 juta orang. 24.8 juta orang merupakan warganegara Malaysia manakala bakinya 1.84 juta orang merupakan bukan warganegara Malaysia. Kaum Melayu (Islam) mewakili 54 % dari populasi penduduk iaitu seramai 13.48 juta orang. Kaum bumiputera (selain daripada Melayu) seramai 2.93 juta orang mewakili 11.8 %.


Ini bermakna, kaum Bumiputera mewakili 65.8 % dari jumlah keseluruhan warganegara Malaysia. Kira kira 25 % daripada penduduk Malaysia ialah kaum Cina iaitu seramai 6.22 juta orang, 7.5% terdiri daripada kaum India dengan seramai 1.86 juta orang, manakala lain-lain kaum pula seramai 1.7 % iaitu seramai 318.9 ribu orang. Hampir 85% daripada kaum India di Malaysia merupakan masyarakat Tamil. Perincian adalah seperti berikut:


1. Melayu (Bumiputera) : 13.48 juta orang (54 %)

2. Bukan Melayu (Bumiputera) : 2.93 juta orang (11.8%)

3. Cina (Bukan Bumiputera) : 6.22 juta orang (25%)

4. India (Bukan Bumiputera) : 1.86 juta orang (7.5%)

5. Lain-lain (Bukan Bumiputera) : 318.9 ribu orang (1.7%)

Jumlah : 24.8 juta orang (100%)


Berdasarkan kepada perangkaan ini, ternyata bilangan kaum India yang beragama Hindu hanya mewakili 7.5 peratus. Jika ditolak dengan mereka yang memeluk Islam dan Kristian, bilangannya mungkin bertambah kurang. Yang nyata, bilangan rumah ibadatnya berkali-kali ganda daripada bilangan penduduk majoriti, terutama umat Islam.


Menurut Syed Hamid Albar, bilangan keseluruhan kuil Hindu sama ada yang berdaftar atau tidak, adalah sebanyak 70,000. Daripada jumlah ini, menurut Persatuan Hindu Sangam, bilangan kuil besar dan kecil yang berdaftar adalah sebanyak 17,000. Selebihnya tidak berdaftar dan ada yang telah dirobohkan.


Untuk memudahkan pemahaman, baik kita bandingkan dengan keseluruhan masjid dan surau yang terdapat di negara ini yakni berjumlah 19,927. Jumlah bilangan ini akan dijadikan asas dalam perkiraan pecahan dan keperluan rumah ibadat mengikut bilangan atau jumlah penduduk. Daripada situ, kita akan dapat melihat berapakah bilangan sepatutnya keperluan rumah ibadat mengikut pecahan kaum (dengan jumlah penduduk).


Melayu (13.4 juta) = 19,927 (surau+masjid)
Bilangan yang sepatutnya = 19,927
Lebihan = 0


India (1.86 juta) = 17,000 didaftarkan drpd 70,000
Bilangan yang sepatutnya = 2,749
Lebihan = Berpuluh kali ganda


Cina (6.22 juta) = Tiada data
Bilangan yang sepatutnya = 9,195
Lebihan = ?


Bumiputera bukan Melayu (2.93 juta) = Tiada data
Bilangan yang sepatutnya = 4,331
Lebihan = ?


Lain-lain (318.9 ribu) = Tiada data
Bilangan yang sepatutnya = 471
Lebihan = ?


Melalui statistik di atas, keperluan kuil Hindu di seluruh negara mengikut pecahan penduduk adalah sebanyak 2,749 buah , Cina 9195 buah dan lain-lain 4802 buah. Bayangkan sebentar betapa jauhnya beza kedudukan yang sepatutnya dengan kedudukan yang sebenar.


Oleh kerana isu telah menjadi gempar di Selangor, elok kita lihat kedudukan rumah ibadat di sana. Negeri Selangor mempunyai berjumlah 4.8 juta. Dari jumlah ini orang Melayu mewakili 2.5 juta dengan kapasiti 358 masjid dan 1000 surau. Orang Cina Buddha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1015 tokong, orang India berjumlah 647,000 dengan 810 kuil berdaftar. Manakala, Kristian berjumlah 50,000 dengan 27 buah gereja. Jumlah gereja ini tidak termasuk gereja-gereja yang berada di rumah kedai. Statistik ini tidak termasuk kuil-kuil dan rumah ibadat yang berselerak di sana sini yang tidak didaftarkan. Butiran lanjut adalah seperti berikut:


Melayu (2.5 juta) = 1358 rumah ibadat
Keperluan = 1358
Lebihan = 0


Hindu (647,000) = 810 (daftar) rumah ibadat
Keperluan = 351
Lebihan = 459


Cina (1.3 juta) = 1015 rumah ibadat
Keperluan = 706
Lebihan = 309


Kristian (50,000) = 27 rumah ibadat
Keperluan = 27
Lebihan = Tidak termasuk rumah kedai


Berdasarkan kepada statistik ini, jelas kepada kita, setelah dicampur semua rumah ibadat bukan Islam, kedudukan masjid surau sebenarnya jauh ketinggalan. Ini baru perbandingan satu negeri, bayangkan negeri-negeri lain. Begitu besar bezanya.


Logiknya, bilangan masjid masjid surau mesti mengatasi semua rumah ibadat yang lain, jika mengambil kira majoriti penduduk Islam melebihi 54 peratus dan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan. Tetapi keadaan sebenarnya tidak berlaku. Adakah ini bukan tolak ansur? Inilah nasib umat Islam di buminya sendiri.


Justeru, tindakan kerajaan selangor membina kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam, majoriti Melayu perlu dibuat dengan berhati-hati dengan mengambil kira formula di atas dan keperluan mendesak, serta tidak ketinggalan sensitiviti umat Islam. Tidak semestinya kuil yang dirobohkan perlu diganti. Pembinaan kuil perlu dibuat mengikut keperluan, bukan mengikut perasaan.


Kajian serius perlu dibuat akan keperluan rumah ibadat bagi tujuan penyembahan dan bukan dibuat sesuka hati mengikut perasaan. Apa yang saya tahu, untuk umat Islam, kita mungkin hanya perlukan satu masjid dan surau di setiap taman. Tidak lebih dari itu. Kewajaran memang ada sebab tuntuan Islam terhadap konsep sembahyang berjamaah.


Berbanding agama lain, apa yang saya tahu hampir tiada konsep sembahyang berjamaah. Justeru, mereka sebenarnya tidak perlu kepada jumlah rumah ibadat yang banyak, apatah lagi terlalu besar dan terlampau tinggi. Sebagai sebuah negara Islam, sudah tentu kita mahu Islam sebagai agama persekutuan yang lebih dikenali berbanding agama lain.


Kita sepatutnya tidak membuat perbandingan mengenai keperluan masjid surau di kawasan majoriti Hindu seperti di Kelang, berbanding dengan keperluan kuil di kawasan majoriti umat Islam.


Kemudahan masjid surau bukan hanya untuk mereka yang tinggal berdekatan, tetapi juga untuk memenuhi keperluan mereka yang bekerja di kawasan berhampiran dan mereka yang bermusafir. Mereka memerlukan tempat ibadat untuk menunaikan tuntutan sembahyang lima waktu sehari, sembahyang jumaat serta solat berjamaah, yang tidak ada pada agama lain.


Setakat ini, kita lihat, masjid surau biasa akan digunakan semaksima mungkin dalam satu hari walaupun di mana ia berada, berbanding dengan agama lain, yang kadangkala rumah ibadat mereka langsung tidak dikunjungi dalam satu hari atau berminggu-minggu. Lebih malang lagi kewujudannya dibuat secara haram di kawasan tanah kerajaan. Bila keputusan perobohan diambil, maka pihak berkuasa didesak untuk menggantinya, sedangkan keperluan tiada. Natijahnya, ia menjadi isu perkauman yang tidak pernah selesai.


Justeru, kewujudan kuil hendaklah dipantau dan dirasionalkan pembinaannya berasaskan formula tertentu seperti yang telah dibincangkan. Jika tidak, masalah rumah ibadat ini tidak akan selesai dan sentiasa akan menghantui masyarakat kita.


Bersyukurlah dengan apa yang sedia ada. Jika dibandingkan dengan negara lain, hatta di negara bukan Islam sekalipun, kebebasan dan tolak ansur yang ada di sini tidak ada tolok banding. Justeru, janganlah diambil kesempatan atas toleransi ini. Bandingkan keadaan di Batu Caves dam bandaraya Kuala Lumpur, ia sudah cukup untuk menggambarkan betapa besarnya tolak ansur yang berlaku. Saya tidak nampak perkara ini berlaku di negara lain.


Janganlah kerana isu satu kuil Hindu dirobohkan atau dipindahkan, heboh satu Malaysia, tetapi bila masjid dirobohkan, tidak ada siapapun yang peduli.


Ingatlah keadilan bukan bermakna setiap seorang mesti dapat satu, tetapi keadilan itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Kita juga mesti ingat bahawa, agama Islam adalah agama rasmi persekutuan seperti yang termaktub perlembagaan perkara 3(1) Islam; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan.


Justeru dalam melihat keadilan ini, kita tidak wajar membuat perbandingan, oleh kerana setiap taman ada 1 masjid atau surau, maka di sana mesti ada satu kuil, satu tokong atau satu gereja.


Maksud adil bukan bererti sama rata dan sama rasa. Keadilan itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bagaimanakah meletakkan sesuatu pada tempatnya? Salah satu cara dengan melihat pecahan taburan penduduk seperti yang telah dijelaskan.


Justeru, sudah sampai masa kerajaan meneliti isu pembinaan kuil dan rumah ibadat yang lain berasaskan keadilan dan formula pecahan penduduk seperti yang telah dijelaskan. Jika tidak, sampai bila-bilapun masalah ini tidak akan selesai.

3 comments:

  1. 1. hujah anda tepat dengan fakta dan angka. tapi saya rasa mengaitkan bil rumah ibadat dgn bil penduduk tidak relevan. maaf. harap anda boleh terima pendapat yg kontra.
    saya rasa perbandingan lebih baik adalah rumah ibadat dengan jumlah penduduk yg dtg ke rumah ibadat.

    2. melayu walaupun ramai, berapa kerat je yg selalu mengimarahkan suaru/masjid. jadi utk guna grand total jumlah org melayu itu saya rasa kurang tepat.

    3. org india pula, bilangan mereka sedikit. dan mereka tinggal bertaburan di seluruh negara. tidak seperti melayu yg tinggal secara berpusat.

    4. bukan untuk menyokong / menyalahkan sesiapa. tapi anda dilihat sentiasa menyokong tindakan kerajaan. diharapkan anda juga bersedia menegur kerajaan sekiranya krjaan melakukan kesilapan. bersediakan anda.

    sori panjang plak saya membebel.
    Bajukumbang - Persepsi Tanpa Provokasi
    http://bajukumbang.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. saya setuju dengan pandangan Dr Ridhuan. Sewajarnya bilangan Masjid sepatutnya lebih banyak. Soal mengimarah adalah soal lain.

    Apabila Masjid dibina, maka adalah menjadi tugas setiap muslim untuk mengimarahkannya. Termasuk Bajukumbang. Jangan salahkan pihak yang membina masjid tapi salahkan diri sendiri yang tidak mengambil kesempatan untuk mengimarahkan masjid atau tidak melaksanakan tugas2 dakwah.

    Walau bagaimana pun saya amat tidak setuju dengan pembinaan masjid yang mewah. Masjid mestilah mempunyai ciri2 senibina tempatan termsuklah Senibina Etnik seperti Melayu, Cina dan India. Dan Masjid tidak semestinya perlu berskala besar dari segi volume. Kenapa perlu bina masjid seperti Istana atau Seperti Gereja Victorian?

    ReplyDelete
  3. Yang sy tau klu sembahyang jumaat nmpk semua lelaki sahaja. X mcm rumah ibadat lain sbb pompuan lelaki blh sembahyang bersama2. Jd adakah perangkaan yg dibuat tu adalah tepat?

    ReplyDelete