Monday, November 29, 2010

20 strategi berdakwah kepada bukan Islam

(Al Islam bulan Mei 2010)


Sepertimana yang telah kita sedia maklum, hampir separuh penduduk negara kita adalah kalangan bukan Islam. Majoriti penduduk bukan Islam adalah terdiri daripada kaum Cina iaitu 25 peratus daripada pertumbuhan penduduk Malaysia, wakili hampir 6.5. juta. Statistik Jabatan Agama seluruh negara juga menunjukkan bilangan yang paling ramai memeluk Islam adalah terdiri daripada kaum Cina. Rata-rata kaum Cina pada hari ini boleh dikatakan tidak mempunyai agama. Kalau adapun pegangan agamanya agak longgar. Agama pada mereka hanyalah menjadi warisan nenek moyang mereka. Mereka tidak tahu sebenarnya apa yang disembah. Maka, tidak hairanlah ramai yang telah memilih dan memeluk agama lain terutama agama Kristian.

Justeru, dakwah perlu diberikan tumpuan kepada kumpulan sasaran ini kerana berdasarkan kepada pengalaman, golongan ini amat mudah menerima agama Islam. Persoalannya, kenapa mereka tidak memilih agama Islam? Sedangkan agama kita mempunyai kekuatan yang lebih hebat berbanding agama lain. Semua ini berpunca gambaran yang cetek tentang Islam yang dianggap sebagai agama orang Melayu atau orang Arab. Lebih menyedihkan, agak kurang contoh-contoh positif yang pada golongan ini yang boleh mencerminkan sifat positif Islam yang sebenar.

Justeru, dalam usaha untuk menarik mereka untuk memilih/memeluk Islam atau sekurang-kurang menghormati agama Islam, maka usaha-usaha hendak dilakukan bagi mencapai hasrat murni ini. Pendekatan dakwah terbahagi kepada 2 iaitu, dakwah secara langsung (direct) dan dakwah secara tidak langsung (indirect). Dakwah yang paling berkesan dan berbisa ialah dakwah secara tidak langsung atau indirect. Ini kerana ia tidak menampakkan sifat untuk mengIslamkan mereka, tetapi ia lebih menonjolkan kecantikan dan keindahan Islam atau dakwah bil hal. Dakwah ini yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang telah berjaya memikat hati bukan Islam pada pada ketika itu.

Dakwah hari ini perlu mengfokuskan kepada perkara yang dapat mengurangkan prejudis masyarakat Cina terhadap agama Islam yang suci, mempamerkan keindahan dan kecantikan Islam dan menarik perhatian bukan Islam untuk memeluk Islam

Antara program-Program dan modus operandi adalah dakwah melalui penampilan imej. Imej dakwah yang dimaksudkan adalah imej bangunan pertubuhan dakwah.

Imej bangunan dakwah di seluruh negara mesti mempunyai orientasi dakwah, apatah lagi badan Dakwah, institusi pengajian tinggi dan jabatan agama. Dinding Bangunan tersebut hendaklah ditulis dalam bentuk tulisan pelbagai bahasa agar dapat menarik perhatian pandang pertama. Bahasa Melayu hendaklah pertamanya didaulatkan.

Kata-kata yang perlu dituliskan ialah
Welcome to Islam (Melayu, Mandarin, English, Tamil)
There is no Compulsion in Religion (Mandarin, Tamil, Melayu, Inggeris)
Tulisan ini hendaklah diletakkan didinding bangunan badan dakwah di mana ia boleh dilihat dengan jelas oleh pejalan kaki dan kenderaan yang lalu lalang di situ bagi memboleh mereka singgah berehat untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Bahagian dalam pejabat itu juga hendaklah turut menggantung poster-poster, seni khat dan tulisan-tulisan bangsa-bangsa lain yang lebih awal memeluk Islam (Cina dan India).

Kedua, dakwah melalui penyelidikan. Dakwah melalui hasil-hasil penyelidikan adalah antara alat yang paling berkesan untuk meyakin masyarakat Cina terhadap Islam. Melalui penyelidikan atau seminar-seminar, ia dapat dapat menunjukkan keadaan sebenar sesuatu perkara itu. Apatah lagi sekiranya penyelidikan itu menyentuh soal pengaruh Islam di Nusantara termasuk Malaysia 600 tahun lalu. Misalnya menganjurkan Seminar/ Bengkel/ Dialog berkaitan Sumbangan Orang Cina terhadap Perkembangan Islam di Nusantara Antara tajuk-tajuk yang boleh dibincangkan ialah Islam di China: Sejarah dan perkembangan, sejarah kedatangan Islam ke Nusantara oleh Orang Cina, kupasan hadis/kata-kata sahabat “Tuntutlah ilmu sampai ke negeri Cina” dan sebagainya.

Ketiga. seminar Kefahaman Agama dan Budaya. Oleh kerana banyak kekeliruan yang timbul apabila seseorang itu memeluk Islam seperti istilah ‘masuk Melayu’, maka seminar ini hendaklah juga dianjurkan terutama sasarannya kepada ahli-ahli badan dakwah. Seminar ini bertujuan untuk mendedahkan bahawa saudara baru masih kekal dengan identitinya bangsa walaupun telah memeluk Islam selagi mana adapt budayanya tidak bercanggah dengan Islam. Identiti Saudara Baru dan Pengamalan Adat Budaya:

Keempat, dialog antara agama (Interfaith Dialogue). Tajuk-tajuk yang boleh dibincangkan ialah Semua agama adalah sama? Persamaan dan Perbezaan, Perpaduan dari sudut agama-agama dan toleransi dari perspektif agama-agama

Kelima, dialog peradaban. Tajuk-tajuk yang boleh dibincangkan ialah konfucianisme/ Toisme/ Buddhisme/ Tsun Tzu/ Lao Tzu.

Keenam, dakwah melalui pameran Antara pameran-pameran yang boleh menarik perhatian orang Cina adalah, pameran Islam di China/ Sejarah Kedatangan Islam Melalui Tanah Arab dan India

Dakwah melalui pameran bahan-bahan sejarah tentang perkembangan Islam amat berkesan untuk menarik perhatian orang ramai. Apatah lagi tentang perkembangan Islam di China yang telah menjangkau 1200 tahun yang lalu. Di Malaysia, kedatangan Islam lebih lewat berbanding negara lain yakni lebih kurang 600 tahun. Jika pameran Islam di China ini dapat diadakan di ruang legar sesuatu bangunan, pastinya ia akan dapat menarik minat dan perhatian para pengunjung Cina bukan Islam dan lain-lain kaum juga, terutama pejalan kaki dan sebagainya. Ia hendaklah dibuat secara professional dengan ada unsur-unsur kesenian dan budaya kaum. Pameran ini boleh juga dipelbagaikan dengan turut sama mengadakan Rawatan Akupuntur, pameran Herba-herba dari negeri China dan sebagainya. Selain itu juga, pameran ini juga turut melibat perkembangan atau kedatangan Islam melalui India, Arab dan sebagainya. Muzium Negara telah menganjurkan pameran sebegini dan sambutan amat menggalakkan.

Ketujuh, dakwah melalui makanan. Strategi dakwah melalui makanan amat berkesan dalam usaha untuk menarik minat orang bukan Islam mendekati Islam dan dapat mengurangkan prejudis mereka. Program ‘halal food for all’ atau makanan halal untuk semua hendaklah diberikan perhatian sewajarnya. Tujuan program halal ini ketengahkan ialah untuk menerangkan bahawa makanan halal ini adalah bersih dan suci, serta memberikan kefahaman bahawa makanan halal bukan sahaja untuk orang Islam tetapi untuk semua lapisan masyarakat.

Kelapan, dakwah melalui bahasa. Satu jabatan khas bahasa asing hendaklah diwujudkan dalam sesebuah badan dakwah. Badan ini akan bertindak untuk menterjemah dan menganalisis isu-isu berkaitan Islam. Akhbar-akhbar Cina/tamil hendaklah dilanggan setiap hari. Isu-isu berkaitan Islam yang dimuatkan dalam akhbar tersebut hendaklah dikaji. Sekiranya ada kekeliruan, maka ia boleh dihantar kepada akhbar terbabit untuk tujuan penerangan Islam dari kaca mata yang benar.

Contoh-Contoh isu-isu yang boleh dibincangkan ialah isu-isu yang timbulkan kekeliruan seperti perceraian melalui SMS, 11 September, poligami dan sebagainya. Jabatan ini juga boleh bertindak menterjemahkan segala artikel berkaitan Islam dalam pelbagai bahasa dan menganalisis tulisan-tulisan yang mengelirukan. Badan ini juga akan bertemu dengan pelanggan-pelanggan yang tidak fasih berbahasa Melayu untuk menerangkan Islam kepada mereka.

Kesembilan, dakwah melalui media cetak, media elektronik, internet. Media Cetak – Akhbar/ Majalah. Sasarannya adalah akhbar-akhbar berbahasa Cina dan Tamil. Berdasarkan pengalaman, akhbar ini bersedia untuk menerima artikel-artikel yang ringan berkaitan Islam untuk disiarkan dalam akhbar mereka seperti Nanyang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh, China Press dan lain-lain. Pertubuhan Dakwah boleh menggunakan tenaga pelajar-pelajar Islam dari negeri Cina yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa bagi memenuhi tuntutan ini.

Kesepuluh, mencetak al-Quran versi Mandarin, Tamil dan lain-lain bahasa. Seperti yang kita maklum, al-Quran versi Inggeris dan Melayu telah banyak di pasaran. Kita masih kekurangan versi mandarin dan tamil. Sudah sampai masanya, al-Quran terjemahan dalam bahasa bangsa-bangsa di negara kita diperbanyakkan. Ini termasuk juga mencetak risalah-risalah Islam yang pendek (ringan) untuk diedarkan dikaunter-kaunter awam seperti supermarket, majlis perbandaran, PBT dan sebagainya. Antara tajuk-tajuk artikel yang sesuai diterbitkan dalam bahasa-bahasa lain adalah What is Islam, Islam di China, Islam our Choice, dan lain-lain. Di samping itu, kita boleh juga mencetak Sticker kenderaan versi pelbagai bahasa. Dakwah melalui sticker kereta juga boleh dilakukan untuk menyampaikan sesuatu mesej atau maklumat. Ayat-ayat al-Quran yang pendek dan bersesuaian boleh dicetakkan seperti tidak ada paksaan dalam agama, surah al-Baqarah.

Kesebelas, dakwah melalui media elektronik. Satu perbincangan khas hendaklah dibuat dengan stesen-stesen TV dan radio di negara kita untuk mendapatkan beberapa slot khas misalnya, TV1,TV2, TV3, NTV7, TV8 dan TV9. Isu-isu yang boleh dibincangkan berkaitan isu-isu agama Islam yang disalahfahamkan dan isu-isu semasa kontroversi yang memerlukan penerangan dari perspektif Islam. Stesen-stesen tv ini janganlah terlalu bersifat komersial, terutama stesen tv swasta. Sudah sampai masanya kita berfikir untuk memanfaat alat ini demi kepentingan masa depan agama dan dakwah.

Keduabelas, kita sedia maklum bahawa setiap pertubuhan Dakwah telah mempunyai laman Web sendiri. Laman Web ini perlu diperkemas dan dipelbagai terutama dari sudut bahasa. Pelbagai bahasa-bahasa hendaklah turut dimasukkan ke dalam laman web.

Ketiga belas, dakwah melalui sambutan perayaan yang tidak bertentangan dengan Islam. Dakwah ini juga dikira amat strategik dan berkesan. Antara perayaan besar negara yang perlu disambut oleh jabatan agama dan pertubuhan dakwah dengan melibatkan jemputan pelbagai kaum ialah sambutan bulan puasa, hari raya puasa, hari raya Quran, tahun baru Cina, pesta tanglung (Moon Cake Festival), dan sebagainya. Acara-acara yang boleh diselitkan adalah jamuan makan melibat jemputan parti politik dan NGO-NGO bukan Islam. Aturcara jamuan tersebut boleh diselitkan program kefahaman Islam, forum antara budaya dan persembahan lagu-lagu memuji tuhan dalam pelbagai bahasa dan sebagainya.

Keempatbelas, dakwah melalui kerja-kerja sukarela sepeti gotong royong, rukun tetangga. Badan dakwah hendaklah bergerak aktif dalam menyertai kerja-kerja amal dan gotong royong. Secara tidak langsung kita dapat mempamerkan Islam amat menggalakkan kerja-kerja amal dan sukarela. Begitu kempen-kempen (kempen anti-denggi, kempen anti dadah dll) yang dianjurkan oleh badan amal/politik bukan Islam. Melalui pengalaman, penyertaan dalam aktiviti kempen ini amat berkesan untuk mempamerkan keindahan Islam secara indirect.

Kelimabelas, dakwah melalui lawatan. Misalnya, menerima lawatan orang bukan Islam ke tempat-tempat penting dan bersejarah Islam. Misalnya, masjid negara, masjid Wilayah dan masjid Negeri Selangor sentiasa menjadi tumpuan pelawat-pelawat dari dalam dan luar Negara. Peluang ini hendaklah digunakan untuk menyampaikan Islam secara tidak langsung kepada mereka. Selain daripada lawatan, badan dakwah dan pejabat agama boleh ambil kesempatan ini untuk menerangkan kepada mereka berkaitan isu salah tanggap terhadap agama Islam dan fungsi masjid dalam Islam. Elok juga ditubuhkan unit khas di tempat-tempat bagi tujuan menerangkan Islam secara lebih berkesan melalui pelbagai bahasa yang mudah difahami

Keenambelas, dakwah lawatan keluar. Program lawatan keluar tidak kurang pentingnya dalam dakwah. Inilah juga yang telah dilakukan oleh missionari Kristian. Justeru, lawatan-lawatan keluar perlu diperhebatkan terutama menjelang musim perayaan. Contohnya, lawatan ke rumah orang tua, hospital, Pusat Serenti, penjara dan tidak ketinggalan ziarah keluarga tidak Islam saudara-saudara baru. Lawatan juga perlu dibuat terhadap individu-individu tertentu seperti anak Tun HS Lee yang telah memeluk Islam dan dipenjarakan selama 8 tahun atas kesalahan tertentu. Begitu juga lawatan sambil belajar ke pejabat pertubuhan bukan Islam seperti Persatuan Cina atau India Malaysia, dan NGO-NGO mereka yang lain.

Ketujuh belas, dakwah Melalui Misi Bantuan Kemanusiaan (mangsa perang, mangsa banjir, kebakaran, kemiskinan dan lain-lain). Badan dakwah sepatutnya mendahului NGO-NGO yang lain dalam soal misi bantuan kemanusiaan. Inilah dakwah-bil-hal yang paling berkesan dan mudah untuk dilakukan untuk ditunjukkan kepada masyarakat bukan Islam dan antarabangsa. Misalnya, misi bantuan kemanusiaan mangsa perang Iraq, Afghanistan, mangsa kebakaran, mangsa banjir, tsunami dan sebagainya. Bantuan ini hendaklah menjangkaui agama dan bangsa, tidak kira dunia Islam atau tidak. Bantuan-bantuan yang boleh diberikan adalah berupa khidmat sukarela, wang tunai, pakaian terpakai, dan sebagainya.

Saya mencadangkan setiap pertubuhan dakwah dan jabatan agama menubuhkan sebuah pasukan khas hendaklah ditubuhkan dalam menangani dan bertindak terhadap isu-isu ini. Badan dakwah dan pertubuhan agama mungkin juga boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan yang sedia ada. Paling baik, badan dakwah mempunyai identiti sendiri untuk memudahkan proses dakwah. Bila ada sesuatu bencana berlaku, maka badan dakwah yang paling terkehadapan. Sudah tentu kerja-kerja ini akan mendapat publisiti dalam akhbar-akhbar tempatan termasuk akhbar pelbagai bahasa. Perbincangan boleh dibuat dengan badan-badan yang berpengalaman seperti MERCY MALAYSIA iaitu bagaimana menonjolkan badan-badan dakwah ini dalam misi bantuan kemanusiaan.

Kelapan belas, dakwah melalui penubuhan pusat kebudayaan seperti Masjid Cina Muslim (Chinese Muslim Cultural Centre). Idea penubuhan masjid Cina Muslim Malaysia telah disuarakan sekian lama, malangnya masih lagi tidak menjadi realiti. Pusat ini bertujuan bagi menarik masyarakat bukan Islam mendekati Islam secara indirect. Ia juga dapat menangkis tanggapan yang menyatakan Islam agama orang Melayu atau orang Arab. Tidak ada nas atau hujah kuat yang mengatakan bahawa membina masjid mesti berkubah. Adakah salah membina masjid menggunakan reka bentuk bangsa lain? Ini perlu difikirkan dengan serius.

Kesembilan belas, dakwah melalui seni atau hiburan. Lagu-lagu nasyid atau yang Islamik elok juga dinyanyikan dalam versi pelbagai bahasa. Misalnya, langkah kumpulan Raihan menghasil satu lagu berbahasa mandarin bertajuk ‘Ching Ai’ yang sering berkumandang di corong radio dan televisyen. Lagu ini adalah ciptaan seseorang yang masih belum Islam. Lagu ini sesuai untuk dimain dimajlis-majlis makan malam, aktiviti aktiviti badan dakwah yang melibatkan bukan Islam.

Dakwah melalui lagu ini boleh diperhebatkan dengan cara badan dakwah bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan nasyid tertentu atau penyanyi bukan Islam untuk mereka merakamkan beberapa lagu versi mandarin yang membawa makna dan imej yang baik. Lagu-lagu ini boleh disiarkan sebagai video klip di stesen-stesen TV seluruh Negara dan juga stesen-stesen radio mandarin. Peluang-peluang ini juga boleh digunakan untuk menerangkan konsep hiburan dari perspektif Islam. Contoh, pentingnya lelaki dan perempuan dipisahkan ketika mengikuti sesuatu konsert atau program hiburan

Akhirnya, dakwah melalui jemputan ceramah. Badan dakwah seharusnya mempunyai ‘think tank group’ yang boleh diketengahkan bila diperlukan terutama apabila menerima jemputan daripada organisasi luar berkaitan isu-isu yang memerlukan penjelasan mengenai Islam. Think tank ini akan bertanggungjawab untuk melakukan penyelidikan dan berbincang mengenai isu-isu dakwah dan isu semasa yang menguntungkan Islam.

Ahli-ahli badan dakwah mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, hendaklah digembelingkan kekuatan mereka demi kepentingan dakwah di negara kita. Melalui pengalaman, saya telah beberapa kali dijemput oleh pertubuhan-pertubuhan bukan Islam , untuk memberikan ceramah kefahaman Islam kepada mereka. Hasilnya amat membanggakan. Secara tidak langsung, dakwah dapat disampaikan kepada mereka secara berhikmah dan mereka dapat menerimanya.

Saya percaya jika cadangan ini dapat diberikan perhatian yang serius, saya yakin dakwah Islamiyah akan berkembang tanpa mengorbankan prinsip dan jati diri kita sebagai orang Islam. Walaupun, program yang dikemukakan ini kelihatan banyak, tetapi ia boleh dilakukan sedikit demi sedikit mengikut keutamaan.

Perlu diingatkan bahawa apabila strategi ini dilaksanakan bukan bermakna kita akan dapat lihat hasilnya secara mendadak. Apa yang lebih utama bukanlah bilangan pengIslaman yang kita harapkan, tetapi yang lebih penting lagi ialah untuk mengikis salah tanggap terhadap Islam. Kita yakin jika salah tanggap dan prejudis ini dapat dikurangkan maka akan bertambah ramailah kuantiti dan kualiti yang akan memeluk Islam

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

7 comments:

  1. Terima kasih dr. Sy tak punya ilmu yg tinggi, tp sy harap semangat utk terus berdakwah kepada rakan-rakan sy yg bukan Islam tak akan hilang sehingga akhir hayat sy..

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum sy teringin benar nak berdakwah dgn non muslim sbb sy jg syg mereka..tp sy takda ilmu
    sy amat berhrp stesen tv mandarin dan tamil mungkin blh adakn slot agama islam ..maksud sy perbincangan dlm bhs mandarin dan tamil..supaya dpt smpai kpd org cina dan india..hrp dpt dilaksanakan..t.kasih

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum sy teringin benar nak berdakwah dgn non muslim sbb sy jg syg mereka..tp sy takda ilmu
    sy amat berhrp stesen tv mandarin dan tamil mungkin blh adakn slot agama islam ..maksud sy perbincangan dlm bhs mandarin dan tamil..supaya dpt smpai kpd org cina dan india..hrp dpt dilaksanakan..t.kasih

    ReplyDelete
  4. Saya doakan anda mendapat hidayah dn petunjuk

    ReplyDelete
  5. Adakah anda sedang mencari pinjaman perniagaan? pinjaman peribadi, pinjaman rumah, pinjaman kereta, pinjaman pelajar, pinjaman penyatuan hutang, pinjaman tidak bercagar, modal teroka, dll.. Atau adakah anda telah ditolak pinjaman oleh bank atau institusi kewangan atas sebarang sebab. Kami adalah pemberi pinjaman swasta, memberi pinjaman kepada perniagaan dan individu pada kadar faedah yang rendah dan berpatutan iaitu kadar faedah 2%. jika Berminat? Hubungi kami hari ini di ( kaiserpeter536@gmail.com ) dan dapatkan pinjaman anda hari ini
    salam,
    Pasukan pelaburan Kaiser Peter

    ReplyDelete