Monday, November 29, 2010

MASJID SENIBINA CINA, MASJID UNTUK SEMUA

(Al Islam bulan Apr 2010)

Pertikaian dan perbahasan mengenai keperluan membina sebuah atau beberapa buah masjid Cina di negara kita seolah-olah tidak berkesudahan. Ada yang faham, tidak kurang pula yang gagal memahami hakikat sebenarnya. Ia mungkin disebabkan oleh salah faham ataupun sengaja buat-buat tidak faham. Inilah akibatnya apabila kita mempunyai ilmu yang cetek dan tidak dapat melihat Islam daripada perspektif yang lebih luas. Kesannya, kita tidak dapat berfikir lebih jauh, apatah lagi mencernakan isu-isu seperti ini.

Lebih menyedihkan lagi ada kalangan golongan agamawan, tidak bersetuju dengan idea ini. Bermacam-macam pandangan dilontarkan. Ada yang berpandangan, kenapa perlu masjid Cina, bukankah Islam itu untuk semua? Mana boleh didirikan masjid khusus untuk satu-satu bangsa sahaja? Bagaimana pula hendak mengumpulkan 40 Cina Muslim untuk mendirikan solat jumaat? Pendek kata, macam-macam lagi persoalan yang sengaja dibangkitkan sehingga menampakkan kejahilan mereka.

Persoalannya, siapakah yang membangkitkan isu masjid Cina hanya untuk kaum Cina Muslim sahaja? Saya belum pernah lagi mendengar kalangan Cina Muslim mahukan masjid untuk mereka sahaja. Apa yang dimohon untuk dipertimbangkan hanya masjid yang mengambil kira senibina Cina, bukannya masjid Cina untuk orang Cina.

Pandangan yang mengatakan bahawa masjid Cina untuk orang Cina sahaja sengaja diselewengkan. Golongan ini gagal melihat Islam sebagai agama yang bersifat sejagat atau universal (the universality of Islam). Islam adalah untuk semua, begitu juga dengan fungsi masjid. Nama masjid tidak penting. Apa yang penting ialah peranan dan fungsi masjid mesti berkembang dan berjalan dengan baik. Apa gunakan masjid didirikan begitu besar dengan nama yang hebat-hebat, jika masjid tersebut tidak berfungsi dengan baik.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempelbagaikan fungsi masjid. Masjid perlu dijadikan sebagai pusat dakwah kepada orang Cina yang menjadi penduduk kedua terbesar di negara kita. Salah satu cara untuk menarik perhatian mereka mendekati masjid adalah dengan membina masjid yang meraikan ciri-ciri senibina mereka.

Agama Islam tidak boleh sama sekali disempitkan skopnya dari sudut etnik tertentu sahaja, tetapi hendaklah diperluaskan. Kita sedia maklum bahawa Islam adalah agama untuk semua manusia yang ada dimuka bumi ini. Justeru, senibina masjid perlu mengambil kira ciri-ciri dan budaya berbilang kaum yang dijadikan oleh Allah SWT

Kadang kala saya tertanya-tanya, kenapa isu masjid bersenibina Cina menjadi pertikaian dan perbahasan? Adakah disebabkan oleh masalah senibina Cina atau masalah bangsa Cina ? Kalau isu senibina yang menjadi masalah, adakah masjid yang berseni bina kubah itu adalah senibina Islam atau senibina Melayu? Jawapannya, sudah tentu tidak. Kubah adalah adalah senibina Moorish-Indian, tidak ada kaitan langsung dengan senibina Melayu atau Islam.

Kenapa kita boleh menerima senibina Moorish Indian, tetapi tidak senibina Cina atau bangsa lain yang lebih dekat dakwah dan konsep berbilang bangsa di negara kita?. Apakah selama ini kewujudan masjid India dan masjid Pakistan telah memecahkan belah masyarakat? Apa yang saya lihat kemunculan masjid-masjid ini telah membuka mata bukan Islam dalam melihat warna-warni yang terdapat dalam Islam.

Perlu diingatkan bahawa konsep seni bina atau reka bentuk yang wujud hari ini adalah ilham yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Manusia yang menterjemahkan senibina dalam bentuk realiti. Maknanya, seni itu adalah hak milik Allah SWT yang diilhamkan kepada manusia. Cuma manusia diingatkan agar jangan menyalahgunakan seni sehingga menimbulkan kemurkaan dan kesyirikan terhadap Allah SWT. Misalnya, senibina yang berunsur berhala, patung dan sebagainya.

Islam sebagai agama yang bersifat universal tidak menetapkan senibina, senireka atau lambang-lambang tertentu tertentu seperti mana agama-agama lain. Islam menerima semua jenis perlambangan, kesenian dan reka bentuk daripada sesiapa juga atau daripada bangsa mana sekalipun, selagi mana ia tidak bercanggah dengan agama Islam yang mengagungkan Allah SWT. Misalnya, lambang lampu tanggung yang digunakan oleh orang Cina dan lampu ketupat atau pelita yang digunakan oleh orang Melayu ketika hari raya. Simbol-simbol atau lambang-lambang ini menggambarkan budaya setempat. Ianya tidak bertentangan dengan Islam.

Saya amat bimbang jika ada yang beranggapan lampu ketupat atau pelita adalah Islamik, manakala lampu tanggung tidak Islamik. Sedangkan kita tahu di negeri-negeri Arab, tidak ada langsung lampu ketupat atau pelita ketika menyambut hari raya, apatah lagi lampu tanggung. Kehebatan dan ketinggian Islam adalah, kita menerima semua jenis rekaan dan reka bentuk daripada kalangan bangsa-bangsa yang ada di dunia ini selagi tidak mensyirikkan Allah SWT.

Justeru, isu masjid bersenibina Cina hanya sekadar untuk memecahkan tembok stereo-taip yang telah lama terpahat dalam pemikiran orang bukan Islam iaitu Islam itu agama orang Melayu atau orang Arab. Secara khususnya, tujuan pembinaan masjid berseni bina Cina adalah seperti berikut:

1. sebagai agen dakwah secara tidak langsung (dakwah bil hal) kepada kaum Cina. Kaum Cina Malaysia dirasakan amat mudah mudah menerima Islam sekiranya strategi dakwah secara berkesan dapat dirangka seperti cadangan pembinaan masjid bersenibina Cina ini.

2. untuk mengetuk pintu hati orang Cina, bahawa Islam bukanlah agama khusus untuk kaum tertentu sahaja, tetapi Islam adalah agama sejagat untuk semua manusia di alam maya ini.

3. untuk mendekatkan orang Cina dengan masjid. Masjid berkubah tidak dapat menarik perhatian mereka disebabkan oleh stereo-taip, kubah itu Melayu atau kubah itu Arab.

4. untuk melembutkan hati orang Cina bahawa Islam menerima senibina bangsa-bangsa lain selagi ia tidak bercanggah dengan dasar.

5. untuk memberi kesedaran kepada orang Cina bahawa di negeri China telah menerima Islam lebih daripada 1300 tahun lalu. Buktinya, terdapat ribuan masjid di sana berkonsepkan senibina Cina.

6. dakwah melalui penampilan imej adalah lebih berjaya menarik perhatian orang Cina untuk mendekati Islam. Dakwah melalui imej masjid Cina diharapkan akan menjadi faktor penarik bagi orang Cina dan pelancong-pelancong berkunjung mendapatkan penerangan mengenai kesejagatan Islam

Kita perlu ingat, fungsi masjid adalah sama seperti masjid yang lain. Tertakluk kepada undang-undang dan peraturan-peraturan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri. Bermakna, tidak timbul isu, ini masjid khusus untuk orang Cina sahaja. Seperti fungsi masjid yang lain, masjid adalah untuk semua seperti mana agama Islam itu sendiri untuk semua manusia.

Apa yang dikehendaki adalah senibina masjid yang mengambil kira ciri-ciri budaya masyarakat Cina seperti di masjid-masjid di negeri China yang berbentuk pagoda. Ia bertujuan untuk mengalihkan pandangan masyarakat Cina adalah kewujudan mereka di muka bumi ini adalah dengan ciptaan Allah SWT.

Kita perlu sedar bahawa kejadian bangsa-bangsa di dunia ini adalah ciptaan Allah SWT tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak. Firman Allah SWT

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kami berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal (Hujurat: 13)

Ini bermakna senibinapun adalah anugerah Allah hasil kreativiti manusia ciptaanNya. Justeru, ia perlu saling diraikan antara satu sama lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Inilah keindahan Islam. Lagipun, ia adalah alat dakwah yang membawa makna yang cukup besar.

Hari ini imej Islam menjadi tercalar disebabkan oleh persepsi orang bukan Islam terhadap Islam amat sempit. Gambaran mereka terhadap Islam hanya berkisar isu-isu orang Melayu, Arab, keganasan dan berbagai label negatif lagi. Justeru, kesempatan masjid Cina Muslim ini membolehkah kita mendekatkan mereka terhadap Islam.

Selain itu, kadangkala berlaku kes murtad di kalangan orang Cina yang telah memeluk Islam. Perkara ini adalah lebih sesuai jika ditangani kalangan sesama mereka sendiri yang lebih memahami perasaan dan selok-belok budaya. Justeru, dengan adanya masjid ini sebagai pusat aktiviti dakwah, sudah tentu kita mewujudkan satu suasana at home.

Kita perlu ingat, rata-rata kaum Cina pada hari ini boleh dikatakan tidak mempunyai agama. Kalau adapun yang berpegang kepada agama, ia agak longgar. Agama hanya menjadi warisan nenek moyang mereka. Justeru, tidak hairan jika ramai yang telah memilih dan memeluk agama Kristian sebagai altenatif. Lagipun agama ini mempunyai daya tarikan kebendaan selain usaha-usaha agresif missionary Kristian.

Persoalannya, kenapa mereka tidak memilih agama Islam? Sedangkan agama kita mempunyai kekuatan yang lebih hebat berbanding agama lain. Semua ini berpunca gambaran yang cetek tentang Islam yang dianggap sebagai agama orang Melayu atau orang Arab. Lebih menyedihkan, agak kurang contoh-contoh positif yang pada golongan ini yang boleh mencerminkan sifat positif Islam yang sebenar. Justeru, dalam usaha untuk menarik mereka untuk memilih/memeluk Islam atau sekurang-kurang menghormati agama Islam, maka usaha-usaha hendak dilakukan bagi mencapai hasrat murni ini.

Justeru, pembinaan masjid Cina ini perlu segera direalisasikan. Tapak yang strategik mesti segera dicari terutamanya kawasan yang dihuni oleh majoriti orang Cina. Contohnya, tapak yang pernah dicadangkan seperti bekas penjara Pudu. Saya fikir tapak ini amat strategik. Jika berjaya direalisasikan, saya yakin perkembangan Islam akan menjadi semakin hebat. Ia akan menjadi tumpuan pelancong luar dan dalam atau seluruh dunia.

Saya yakin tapak ini amat sesuai untuk perkembangan dakwah. Lagipun, kawasan bekas tapak penjara Pudu, tidak sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat komersial. Keadaan di sana hari ini sudah sesak. Saya yakin, jika kawasan tersebut dijadikan sebuah masjid berseni bina Cina, ia hanya akan menjadi destinasi pelancongan dunia.
 
Setakat ini, perkembangan dakwah Islamiyyah di kalangan bukan Islam (orang Cina terutamanya) di negara kita amat perlahan. Kita telah merdeka lebih 50 tahun, namun orang Cina yang memeluk Islam tidak sampai satu peratus. Penduduk Cina di negara kita berjumlah 6.5 juta, mereka yang memeluk Islam hanya disekitarkan 60,000. Saya lihat, perkembangan ini amat perlahan berbanding dengan negara-negara lain di dunia.

Di negeri bukan Islam, agama Islam mendapat sambutan yang begitu hebat. Tetapi kenapa dalam negara Islam sendiri, agama Islam seolah-olah kelihatan tidak mendapat tempat dan perkembangannya amat perlahan. Di manakah silap dan salahnya? Inilah yang perlu kita fikirkan bersama

Pada hemat saya yang telah lama berkecimpung dalam dunia dakwah, terutama kepada bukan Islam Cina, cara kita ’menjual’ Islam hari ini amat bersifat etnik atau keMelayuan atau keAraban. Sudah sampai masanya kita pecahkan tembok ini dengan membukakan minda kita agar kita dalam menjual Islam dalam konteks yang lebih luas dan global.

Caranya tidak lain dan tidak bukan, marilah kita mulakannya dengan membina sebuah masjid berseni binakan Cina di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur. Saya yakin kita semua akan dapat lihat banyak perubahan, terutamanya perkembangan syiar Islam.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

No comments:

Post a Comment