Monday, November 29, 2010

Islam tidak sebegitu rigid

(Al Islam bulan Sep 2010)


Bulan lalu, saya menulis atas tajuk antara mendakwah dan mendakwa. Saya timbul persoalan ini kerana, sekarang ini kita berada di bulan syawal. Bayangkan jika pasangan itu adalah saudara Muslim (baru). Persoalannya, perlukah kita menjenguk ibubapa kita yang masih belum Islam? Apa yang perlu dilakukan? Perlukah kita menyamak seluruh rumah dan pinggan mangkuknya? Membuang patung-patung di rumahnya?

Dalam al Islam Julai, saya ada menulis mengenai upacara kematian bukan Islam yang perlu dihadiri oleh sianak. Ramai yang terpinga-pinga dan tertanya-tanya, adakah Islam membenarkan anak menghadiri upacara sebegitu, apatah lagi jika ianya melibatkan upacara keagamaan?

Sebelum menjawab, saya ingin bertanya, di manakah Islam dilahirkan? Di negara Islam? Di kawasan orang Islam? Di kawasan orang baikkah? Jawapannya tidak, tidak, tidak! Islam lahir di kawasan atau ‘negara’ bukan Islam, Islam dilahirkan di kawasan orang jahat, di kawasan yang penuh berhala. Jika Islam lahir di kawasan orang baik atau persekitaran yang memang sudah baik, maka Islam tidak sehebat mana. Tetapi Islam lahirkan penuh dengan kekotoran, kejahatan dan kemaksiatan.

Hebatnya Islam, kerana berjaya membersih yang kotor dan maksiat, membaikkan yang jahat, menarik perhatian bukan Islam sehingga memeluk Islam, yang menyembah berhala bertukar kepada menyembah Allah. Maknanya, Islam lahir di tengah-tengah masyarakat bukan Islam yang begitu terserlah kekafirannya. Jika Islam memingkirkan bukan Islam, bagaimanakah Islam hendak berkembang sehingga ketika itu?

Lihatlah bagaimana perkembangan Islam di Alam Melayu 600 tahun dahulu. Tidakkah kita sedar Alam Melayu ketika itu menganut fahaman anamisme dan menganut agama Hindu-Buddha. Islam yang begitu asing telah sampai ke Alam Melayu. Kenapa Islam boleh diterima di tengah-tengah masyarakat yang penuh dengan kekufuran dan menyembah berhala? Jika Islam begitu rigid, adakah ia akan berkembang?

Tidakkah kita masih ingat bagaimana Rasulullah SAW bangun memberikan penghormatan mayat yang dilalu di depan Baginda. Kenapa Baginda sebagai seorang Rasul perlu bangun memberi hormat kepada mayat bukan Islam? Benar saya tidak nafikan, Rasulullah tidak dapat mengIslamkan bapa saudaranya, Abu Talib kerana hidayah di tangan Allah, tetapi Abu Talib mendapat seringan-ringan azab. Apakah kami anak kepada ibubapa kami yang telah memeluk Islam, langsung tidak dapat membantu ibubapa yang tidak Islam? Apakah anak yang telah dibesarkan dengan baik tega membiarkan ibu bapa keseorangan dan berada dalam kekufuran tanpa mengambil sebarang inisiatif menyelamatkan kedua ibubapanya?

Ingatlah wahai para pembaca, jika itulah bandingannya, apakah semua ibubapa para sahabat yang rata-rata tidak memeluk Islam akan disiksa oleh Allah SWT di dalam neraka jahanam? Tidakkah anaknya yang dijamin Allah SWT masuk syurga sedikit sebanyak dapat meringankan azab ibu bapa mereka. Saya amat yakin, ibubapa para sahabat akan diringankan azabnya. Apakah saudara Muslim tidak dapat membantu ibubapa mereka?

Baiklah, berbalik kepada masalah menziarahi bukan Islam yang telah meninggal dunia terutama keluarga terdekat seperti ibu bapa mereka.

Saya tidak nampak memakai baju hitam, membeli keranda dan kelengkapan pengkebumian, tunduk tanda hormat seorang anak terhadap mendiangkan bapa atau adik beradiknya akan menjadikan saudara Muslim kafir atau berdosa besar?

Pada saya, memberikan penghormatan kepada bukan Islam dengan berkabung seperti memakai baju hitam, adalah satu ibadah dalam memenuhi tuntutan dakwah. Bayangkan selepas itu mereka dapat melihat keindahan Islam setelah melihat tindak-tanduk kita yang agak terbuka setelah memeluk Islam. Berapa banyak pahala yang kita akan perolehi. Majlis perkabungan bukanlah perkara akidah sehingga boleh membatalkan syahadah seseorang.

Apakah akan lahirkan saudara baru jika tidak ada kedua ibubapanya? Begitu juga dengan ibubapa Rasulullah SAW dan ibu Nabi Isa AS, begitu juga dengan para anbiya yang lain. Apakah tega seorang anak melihat mayat ibu bapanya terkujur kaku tanpa perlu berbuat apa-apa. Bayangkan jika ibubapa tersebut hanya ada seorang sahaja anak lelaki dan ditakdirkan memeluk Islam. Siapakah yang akan menguruskan mayatnya kalau bukan anak lelaki itu memeluk agama Islam? Adakah tanggungjawab tersebut tidak sama hukumnya sebagai fardu kifayah yang mesti dilangsaikan oleh si anak? Apakah tidak durhaka seseorang anak membiarkan mayat bapanya begitu sahaja tanpa dikebumikan? Apakah ketika itu wang yang dikeluarkan untuk proses pengkebumian itu haram? Apakah wajar si anak tersebut membiarkan mayat bapa diuruskan orang lain? Di manakah ihsan Islam ketika itu?

Saya tidak bertujuan untuk meringankan hukum. Tidak juga untuk berlonggar-longgar atau memandai-mandai dalam Islam. Saya tahu semua suruhan dan larangan Allah SWT. Saya selalu menasihat saudara Muslim yang menghadapi masalah sebegini. Selagi kita tidak memegang colok menyembah mayat dan berhala, mensyirikkan Allah, selagi itulah tindakan kita tidak akan terkeluar daripada landasan Islam walaupun majlis tersebut ada melibatkan sedikit upacara agama. Jika ini dikatakan subahat, saya tidak nampak ia membawakan kepada kekufuran. Perbahasan ini memerlukan kepada perbincangan yang panjang. InsyaAllah saya bincangkan dari masa ke semasa.

Janganlah menjadi manusia terlalu kejam. Islam tidak mengajak kita sebegitu ekstrim. Itulah keyakinan saya terhadap Islam dari dahulu hingga sekarang. Dengan sebab itu, saya tidak pernah sama sekali mengenepikan mereka setelah mengalami peristiwa pahit, saya dihalang oleh orang kampung untuk memberikan penghormatan terakhir kepada seorang bapa yang telah bersusah payah membesarkan anaknya sehingga berjaya dan dibukakan hati untuk menerima Islam.

Bagaimana dengan upacara syirik memuja kubur yang dilakukan oleh sesetengah orang Islam? Tidakkah itu lebih teruk daripada memberikan penghormatan kepada ibubapa saudara Muslim? Tidakkah berjudi, tikam ekor, berzina, tidak solat, dan sebagainya termasuk dalam dosa besar. Apakah sekadar menguruskan kematian ibubapa telah dianggap sebagai syirik? Saya tidak bercadangkan untuk meringankan hukum, tetapi para ulamak perlu melihat perkara ini dengan serius dan cuba menjadi saudara Muslim atau berada dalam situasi saudara Muslim sebentar?

Pada saya lebih baik makan bersama ibubapa bukan Islam semeja walaupun pinggan mangkuknya belum disamak daripada memakan riba yang jelas amat haram hukumnya. Saya tidak pernah jumpa dalam Quran atau hadis, makan dalam pinggan mangkuk tidak disamak boleh diperangi, berbanding dengan makan riba yang begitu jelas hukumnya, sehingga boleh diperangi. Hatta, jika sudah tidak ada pilihan sekalipun, antara makan babi dengan makan riba atau rasuah, saya lebih rela makan babi daripada makan riba dan rasuah.

Hujahnya mudah, kerana makan babi hanya melibatkan dosa individu dengan Allah, tetapi makan riba dan rasuah melibatkan orang ramai, sehingga ada hadis yang menyebut dosa makan riba lebih teruk daripada bersetubuh dengan seorang ibu. Saya bukan bermaksud kita perlu berlonggar atau meringankan najis muhallazah ini, tetapi kadangkala jika perbandingan ini tidak dibuat, kita seolah-olah mengambil kesempatan dan meletakkan bebanan pada orang lain.

Inilah perkara yang mesti difahami oleh umat Islam hari ini. Bacalah buku Fiqul Awlawiyyat, karangan ulamak tersohor Yusuf Al-Qardhawi. Saudara pembaca akan menemui banyak perkara masih belum kita tahu dan mesti kita pelajari.

Dalam dakwah, kita tidak boleh terlalu menghukum. Semua tidak boleh, semua haram, semua berdosa. Persoalan daging aqiqah yang telah saya bangkitkan bulan lalu. Ada pendapat yang ‘membolehkannya’. Tidakkah dalam situasi saudara Muslim kita perlu memberikan pandangan yang agak berhikmah dan menampakkan jalan dakwah? Paling baik adalah mengikut mazhab kita, mendapatkan yang terbaik, seperti menyamak najis berat dan sebagainya.

Ini belum termasuk persoalan yang lebih rumit seperti pembahagian harta. Misalnya, saya mempunyai rakan lelaki yang memeluk agama Islam sedangkan isterinya tidak. Apakah kita perlu memberikan jawapan, “apabila kamu memeluk Islam, maka terputuslah segala hubungan dengan isteri dan mereka tidak layak mendapat harta kamu walau satu sen pun”. Apakah kita begitu tega memberikan jawapan sedemikian, walaupun kita tahu inilah jawapan para ustaz dan ustazah mengikut hukumnya selama ini.

Di manakah nilai peri kemanusiaan Islam ketika itu? Apakah Islam tidak membenarkan kita bersedekah kepada bukan Islam? Apakah kita lupa kisah Rasulullah SAW dengan pengemis Yahudi yang buta?

Pengemis Yahudi itu begitu memusuhi Islam dan Rasulullah, sehinggakan saban hari pengemis mengutuk dan mencaci Rasulullah. Apa tindakan Rasulullah bila berhadapan dengan Yahudi buta ini? Rasulullah mendekati Yahudi buta ini, saban hari semakin dekat. Rasulullah menjadi penawar duka lara Yahudi buta ini bercerita, sambil bersedekah dan menyuapkan makanan ke mulut Yahudi buta itu. Perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh orang lain ketika itu kecuali Rasulullah SAW. Baginda lakukan saban hari sehingga Baginda wafat, tanpa diketahui oleh Yahudi itu bahawa Baginda adalah seorang Rasul yang dihinanya selama ini.

Bila mana Abu Bakar mengambil alih, Abu Bakar cuba untuk melakukan terbaik seperti mana Rasulullah lakukan. Maka Abu Bakar pergi bersedekah dan menemui Yahudi buta itu, lalu menyuapkan makanan seperti yang Rasulullah lakukan. Yahudi buta merasakan kelainan. Lalu ia bertanya kepada Abu Bakar, “siapakah kamu”. Abu Bakar menjawab: “akulah yang selalu datang dan menyuap makanan ke mulut kamu saban hari”. Yahudi buta ini menjawab: “Kamu jangan menipu aku, kerana orang yang menyuap makanan ke mulut aku, begitu jauh bezanya dengan kamu, dari segi kelembutannya”. Mendengar kata-kata itu Abu Bakar sebak dan menangis. Lalu Yahudi buta tersebut bertanyakan Abu Bakar: “kenapa menangis”. Lalu Abu Bakar berterus terang bahawa yang datang saban hari itulah Rasulullah SAW selalu dikutuk dan dihina oleh Yahudi buta itu.

Mendengar kata-kata Abu Bakar, Yahudi buta itu amat menyesal, amat terharu dan menyesali atas segala perbuatannya selama ini terhadap Rasulullah SAW, lantaran memeluk agama Islam. Inilah kehebatan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Persoalan saya, adalah kita begitu tega membiarkan ibubapa keseorangan, bersendirian ketika musim perayaan, atau mungkin ketika mereka sakit atau mungkin meninggal dunia?

Ibu saya yang masih tidak Islam, kini tinggal bersama adik saya yang memeluk Islam dan kadang kala bersama saya. Jika satu hari nanti, ibu saya meminta untuk menyembah berhala, apakah kita sebagai seorang anak perlu menafikan haknya. Apakah ketika itu hak dia untuk menyembah berhala perlu dinafikan?

Saya serahkan kepada pembaca untuk mencari jawapannya. Saya akan jawab dalam siri yang akan datang. Persoalan ini amat rumit. Tetapi inilah masalah yang saban hari dihadapi oleh saudara Muslim. Apakah kita mahu terus menghukum atau cuba mencari jalan keluar? Prinsip saya mudah, biar kita hina di sisi manusia, tetapi jangan kita hina di sisi Allah SWT, kerana dosa dan balasannya amat berat.


Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

5 comments:

  1. askum Dr saya nak tnye pendapat Dr, saya bercinta dengan seorg lelaki hindu but dia anak lelaki seorang dalam keluarga tersebut. kalau mak dia telah meninggal dunia boleh kah anak lelaki itu menguruskan jenazah emak nye yang bukan islam?

    ReplyDelete
  2. Salam. Saya seorang cina muslim. Ape yang kita patuhi dan larangan jika ibu yang cina meningal dunia yang ikut agama taoist.

    ReplyDelete
  3. Dah ada jawapan kat atas..sila rajin membaca

    ReplyDelete