Monday, November 29, 2010

Tidak ada jalan pintas untuk berjaya

(Al Islam bulan Jun 2010)

Seperti biasa saya selalu didatangi oleh panggilan telefon oleh saudara Muslim yang telah memeluk Islam mengadukan permasalahannya. Kali ini seorang wanita telah berkahwin dengan seorang lelaki Islam. Awalnya, perkahwinan mereka bagaikan syurga. Namun, setelah beberapa tahun, habis manis sepah dibuang. Inilah yang berlaku kepada wanita tersebut. Saudara Muslim ini tidak lagi disayangi. Suaminya yang lahir Islam mula mencari yang lain.

Isterinya ditinggalkan begitu sahaja. Bila ditegur, siisteri menjadi mangsa. Dia akan dipukul, sepak terajang dan diugut untuk diceraikan. Cerita ini seolah-olah tidak ada penghujung. Saya terfikir, sampai bilakah saudara lama ini akan sedar akan tangungjawab mereka untuk mendidik saudara Muslim ke jalan yang benar? Tidakkah mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjadikan saudara Muslim itu lebih baik daripada yang sebelumnya? Tidak terfikirkah mereka jika Saudara Muslim tersebut mengambil keputusan untuk murtad selepas ditinggalkan? Nauzubillah.

Lebih menyedihkan saudara Muslim adalah seorang wanita. Ke manakah arah yang mahu dituju setelah ditinggalkansuami. Harapkan rumah perlindungan, masih belum ada lagi. Sedangkan dahulu, siisteri sanggup berhenti kerja untuk menjadi suri rumah yang baik, malangnya setelah beberapa lama ia tidak dihargai lagi.

Siisteri mengadu kepada saya untuk apa yang patut dilakukan. Patutkah terus bersabar, menerima sahaja takdir Tuhan. Saya jawab, dalam Islam ada surah At-Talaq, surah berkaitan dengan perceraian. Sekiranya sudah sampai ke tahap sedemikian rupa, kita telah sedaya upaya cuba untuk bersatu menyelamat rumahtangga, tetapi tidak boleh juga. Maka sudah sampai masa untuk bercerai. Bercerai ketika itu lebih baik daripada bersama.

Jika saban hari kehidupan seperti neraka, lebih baik berpisah dan menentukan jalan sendiri. Ketika itu bersendiri adalah lebih baik daripada bersama. Sama juga dalam soal kemasyarakatan. Sebagai umat Islam, sepatutnya kita tidak berpecah belah. Cuba sedaya upaya untuk menyatupadukan umat Islam. Tetapi setelah percubaan demi percubaan dibuat masih lagi gagal, saya fikir jika berpecah lebih baik, maka ketika itu, tuntutan berpecah lebih baik daripada bersatu. Sebaik-baiknya biarlah bersatu dan berpisah atas nama Islam, bukan yang lain-lain.

Jika dengan bersama suami akan menjadi siisteri menderita dan makan hati sehingga kadang kala boleh jadi gila, maka lebih baik bercerai. Lebih baik menjadi janda daripada menderita seumur hidup bersama suami yang tidak boleh diharap.

Begitu juga kisah siisteri yang mendapat suami saudara Muslim. Sisuami telah mengambil keputusan untuk murtad. Siisteri selaku saudara lama cuba menahan, tetapi suaminya tetap mahu murtad. Ketika itu, saya kira daripada hidup seperti neraka, lebih baik kita biarkan mereka mencari jalan masing-masing.

Berasaskan kepada dua kisah ini, saya amat kagum dengan semangat wanita tersebut yang telah ditinggal dan diseksa oleh suami yang tidak berguna itu. Dia mahu meneruskan kehidupan dengan berniaga secara kecil kecilan dengan menjual tudung. Cuma saya tidak sedap hati bila dia bertanya, ayat-ayat Quran yang manakah yang boleh digunakan untuk melariskan jualan judungnya? Saya jawab, tidak ada ayat Quran yang spesifik untuk melariskan jualan. Jika demikian sifatnya, tidak ada lagi Muslim yang miskin atau menderita. Setiap kali perniagaan tidak memuaskan, maka kita gantung atau baca ayat-ayat Quran yang tertentu, maka berbondong-bondong orang datang ke kedai kita. Perlu diingat, Al-Quran bukanlah pelaris jualan. Tetapi al-Quran adalah kitab petunjuk dan panduan untuk manusia seperti yang difirmankan oleh Allah SWt dalam al-Quran yang bermaksud:

Kitab itu (Al-Quran) tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi yang-orang yang bertakwa (Surah al-Baqarah ayat 2).

Saya menasihatkan wanita tersebut supaya memahami konsep tawakkal dalam Islam. Ayat-ayat al-Quran bukan ayat pelaris jualan tetapi akan petunjuk kita sebagai umat Islam. Konsep tawakkal mesti difahami dengan baik. Jangan mengambil jalan singkat dengan ayat seribu dinar yang selalu digunakan oleh umat Islam sebagai pelaris.

Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup nan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu (Surah at-Talaq ayat 2-3).

Diceritakan bahawa seorang saudagar telah membayar sebanyak seribu dinar untuk mendapatkan ayat ini yang dikatakan fadhilatnya ialah dapat menyelamatkan pembacanya dari malapetaka. Di dalam perjalanan pulang, kapal saudagar ini telah dipukul ombak dan beliau terus membaca ayat tersebut. Dengan izin Allah SWT hanya beliau seorang saja yang terselamat dari bencana itu.

Saya menasihatkan kepada saudara Muslim tersebut bahawa Islam tidaklah semudah yang disangka yakni dengan membaca ayat-ayat Quran, kehidupan kita kan terus berubah, walaupun ia boleh berlaku dengan izin Allah. Sekadar membaca dan menggantung ayat seribu dinar, kita tidak akan menjadi kaya atau murah rezeki tanpa sebarang usaha. Rezeki tidak akan datang menggolek.

Saya sentiasa ingatkan rakan-rakan saya bahawa kehidupan kita sebagai saudara Muslim hari ini lebih baik berbanding dengan zaman saya dahulu. Saya dahulu keseorangan bila memeluk agama Islam. Bantuan zakat langsung tidak kunjung tiba. Berbanding hari ini, keadaan begitu jauh berbeza, walaupun saya tidak nafikan ada di kalangan mereka yang masih begitu sukar untuk mendapatkan bantuan zakat. Namun, kita masih bernasib baik kerana rakan taulan masih berada di sekeliling. Sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk mengadu, berbanding saya dahulu yang tidak tahu ke manakah tempat untuk mengadu.
Zaman saya dahulu, saya hanya diberikan sebuah al-Quran sahaja apabila memeluk Islam. Namun, Alhamdulillah, berbekalkan al-Quran itulah saya dapat memahami konsep tawakkal itu sebenarnya. Saya tidak pernah menjadi manusia meminta-minta kerana saya faham, Islam bukan sedemikian sifatnya. Jikalau saya hanya berpegang kepada ayat seribu dinar sahaja tanpa berusaha, sudah tentu saya merempat sekarang.

Justeru, saya merayu kepada semua saudara Muslim supaya tidak mengambil jalan singkat. Anggaplah dengan memeluk agama Islam itu, satu cabaran untuk kita pergi lebih jauh atau menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Tunjukkan kepada mereka yang kita mahu menjadi pemberi zakat bukan penerima. Berikut adalah beberapa untuk dijadikan panduan oleh saudara Muslim untuk merubah hidup dan mendapat kehidupan yang lebih baik

Pertama, saya ingatkan saudara Muslim supaya berusaha untuk merubah kehidupan kita. Jangan mengharapkan wang jatuh daripada langit apabila memeluk Islam. Carilah pekerjaaan yang halal dan bekerjalah bersungguh-sungguh mengikut kelayakan dan pengalaman kita. Kita mesti sentiasa niatkan dalam hati supaya Allah mengurniakan kita dengan rezeki yang halal, berkat, mudah serta luas. Jangan lupa menunaikan tanggungjawab kita terhadap Allah SWT.

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

Seterusnya, selalu ingat dan banyakkan istighfar kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW : “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

Perlu diingatkan, istighfar tidak membawa makna di sisi Allah jika masih melakukan dosa lama kita semasa belum memeluk agama Islam. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW : “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Kedua, berbaktilah kepada kedua ibubapa kita yang masih belum Islam kerana mereka masih di dalam tanggungjawab kita walaupun berlainan akidah. Islam tidak pernah mengajarkan kita melupakan mereka walaupun agama berbeza. Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita agar sesiapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, maka hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak. “Barang siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim). Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menyebut, “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami).

Ketiga, berbuat baik kepada orang lain dan menunaikan hajat mereka, terutamanya ibu bapa kita yang masih belum Islam, mudah-mudahan dengan pertolongan kita itu akan membuatkan hati mereka terbuka untuk menerima Islam. Sabda Rasulullah SAW : “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim). Saya ingat lagi pesan tok guru saya ketika mula-mula memeluk Islam, ingat pertolongan orang pada kita, lupa pertolongan kita pada orang lain. Ingat, salah kita pada orang, lupakan salah orang pada kita. Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

Keempat, melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti putus asa. Sebaik-baiknya di awal pagi. Saya masih ingat lagi, ibu bapa saya telah bangun pagi seawal jam 5 pagi membuka kedai di kampong Melayu. Apa ini ada kaitan dengan amalan hidup Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat. Sama-sama kita fikirkan. Terkadang-kadang saya terfikir, adakah orang bukan Islam hari ini berjaya kerana mereka mengikuti cara hidup Nabi sedangkan kita umat Islam tidak pernah mengikutinya.

Akhirnya, mensyukuri nikmat Allah SWT. Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Bersyukurlah kepada Allah SWT kerana Allah SWT telah membuka hati kita untuk memeluk Islam. Ramai lagi di luar sana yang Allah masih belum membuka hati mereka. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7). Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah ali-Imran, ayat 145)

Justeru, saya mengambil kesempatan ini berpesan sekali lagi bahawa janganlah jadikan alasan pemelukan kita terhadap agama Islam untuk kita terus meminta-minta dan mengharapkan bantuan orang lain. Saya amat yakin saudara Muslim boleh pergi lebih jauh, dengan syarat kita berpegang kepada budaya dan cara hidup kita yang sememangnya telah Islam. Jangan berlaku sebaliknya, memeluk Islam menjadi kita malas berusaha.

Bertawakkallah kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Dengan tawakal, selepas berusaha bersungguh-sungguh, seseorang itu akan merasa lebih dekat dengan Allah SWT. FirmanNya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (Surah at-Thalaq, ayat 3). Nabi SAW bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Ringkasnya, sebagai saudara Muslim, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah dengan melakukan amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi Allah SWT melimpahkan kasih sayang terhadap kita semua. Limpahan ini termasuklah keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberianNya. Saya yakin saudara Muslim pasti boleh keluar daripada kelemut kehidupan ini.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

1 comment: