Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Pada tahun ini, sekali lagi hari kemerdekaan negara 31 Ogos 2009, jatuh pada bulan Ramadhan al-Mubarak (10 Ramadhan 1430). Menteri yang bertanggungjawab terhadap sambutan kemerdekaan telah membuat kenyataan awal-awal lagi bahawa sambutan tahun ini tidak akan dibuat secara besar-besaran kerana menghormati bulan Ramadhan. Sebagai umat Islam, kita amat menghargai tindakan ini. Ia menunjukkan bahawa kita semakin matang dalam menilai sesuatu yang ada kaitan dengan tatasusila hidup beragama, berbudaya dan cara hidup mengikut acuan kita.
Pada hemat saya, tindakan sebegini perlu dipanjangkan ke bulan-bulan lain jika tidak bertembung pun dengan bulan Ramadhan. Tidak salah menyambut hari kemerdekaan negara dalam bulan Ramadhan. Pokok persoalannya adalah bagaimana sambutan itu dibuat, itu sahaja? Jika dibuat seperti amalan biasa, penuh dengan hiburan melalaikan, sudah tentu ia bercanggah roh Ramadhan itu sendiri dan juga bulan-bulan yang lain. Tetapi jika disambut dengan penuh semangat patriotik, seperti pertunjukan bunga api, perbarisan dan persembahan semangat kemerdekaan (hiburan) yang tidak melampaui batas, saya fikir itu tidak salah, malah amat digalakkan. Pokoknya, sambutan tersebut hendaklah menepati kehendak Islam.
Tidak salah, jika dimasukkan sedikit unsur-unsur hiburan dalam menyambut kemerdekaan, tetapi biarkan hiburan tersebut benar-benar membawa mesej kemerdekaan, membakar semangat cintakan Tuhan Yang Esa, cintakan tanah air, cinta Rasul, kesyukuran dan sebagainya. Islam tidak pernah menolak untuk umatnya berhibur, tetapi biarkan kena pada tempatnya berlandaskan kepada ajaran Islam itu sendiri. Dalam hal ini, sudah tentu pendekatan berhibur seperti konsert Jom Heboh atau hiburan yang melalaikan ketika sambutan merdeka sebelum ini, sehingga lewat malam, bercanggah dengan roh Ramadhan. Apatah lagi, hiburan yang dipersembahkan tidak ada kena-mengenai dengan tema kemerdekaan. Ditambah dengan gelagat artis-artis yang memualkan dengan lagu-lagu picisan berunsur barat seperti rock, hip hop dan RNB. Lebih menyakitkan lagi pakaian mereka jauh dari adab sopan ketimuran dan menyimpang daripada roh kemerdekaan.
Namun, perlu diingatkan jua bahawa, tindakan tidak membuat sambutan kemerdekaan atau melarang sama sekali unsur-unsur hiburan kerana bertembung dengan Ramadhan juga boleh membawa kepada implikasi negatif. Ia seolah-olah memperlihatkan bahawa dalam Islam, bila tiba sahaja bulan puasa semuanya perlu menjadi baik dan menghormati bulan Ramadhan. Aktiviti-aktiviti berbentuk hiburan dan melalaikan serta membazir ditangguhkan atau mungkin juga diharamkan buat sementara waktu, sebagai tanda menghormati bulan yang mulia. Persoalannya, adakah Ramadhan sahaja bulan mulia, bagaimana dengan bulan-bulan yang lain? Adakah bulan (hari) lain tidak mulia? Kita tidak menafikan bahawa Ramadhan adalah penghulu segala bulan dan Jumaat adalah penghulu segala hari. Tetapi kita perlu ingat, adakah Islam sekadar menghormati hari Jumaat dan bulan Ramadhan? Adakah hari dan bulan lain tidak perlu dihormati?
Bila pemikiran sebegini ada, kita lihat apabila selesai sahaja bulan Ramadhan, maka bermulalah aktiviti yang bertentangan dengan Islam seperti hiburan melampau, melalaikan dan membazir, dibolehkan. Ia seolah-olah memperlihatkan dalam agama Islam kita boleh menjadi dua jenis manusia atau dua alam. Satu manusia/alam yang baik di bulan ramadhan, satu lagi manusia yang lain pula apabila tamat ramadhan. Sesuatu yang haram di bulan Ramadhan, menjadi halal di bulan Syawal dan bulan-bulan lain. Tindakan seperti ini amat mengelirukan dan menjadi punca agama Islam disalah fahamkan oleh umat Islam sendiri, apatah lagi orang bukan Islam.
Sama juga seperti budaya kita apabila menghadiri kenduri tahlil atau kematian atau memasuki masjid, maka di kala itu semua yang tidak menutup aurat akan pakat-pakat mencari selendang dan baju kurung, sebagai tanda penghormatan. Sedangkan pada hari lain, mereka langsung tidak memakai selendang atau baju kurung. Malah ada yang berpakaian menjolok mata. Adakah Islam sekadar memberi pernghormatan ketika menghadiri majlis kematian dan memasuki masjid? Adakah tempat lain tidak perlu dihormati? Inilah pemikiran songsang yang bahaya dalam masyarakat yang telah sekian lama merdeka. Sekejap menjadi manusia yang begitu beradab (baik), sekejap lagi menjadi manusia sebaliknya (liar). Apapun, sikap menghormati bulan Ramadhan masih lagi boleh dipuji berbanding tidak menghormati langsung.
Namun demikian, jika inilah kefahaman kita, maknanya kita masih lagi belum merdeka. Pemikiran kita masih lagi dikongkong oleh penjajah. Penjajah telah berjaya menyekularkan kita walaupun tidak menjajah kita secara langsung. Memisahkan antara kehidupan duniawi dan ukhrawi. Sedangkan kita semua tahu, dunia adalah jambatan ke akhirat. Kehidupan di dunia ini semuanya ibadah (habuan syurga) jika dilakukan dengan betul. Cara kita melihat agama daripada perspektif ibadah semata-mata seperti puasa, zakat, sembahyang, haji dan sebagainya adalah salah dan menyeleweng. Sedangkan kita semua tahu bahawa Islam itu adalah 'one way of life' atau satu cara hidup. Ia membawa makna, kehidupan kita hendaklah sentiasa baik walau di mana kita berada. Tidak kira di bulan puasa atau pun tidak. Cuma di bulan puasa kita amat dituntut mengandakan amalan kita. Meningkatkan amalan kita pada tahap terbaik atau kemuncak segala-galanya. Istiqamah perlu ada. Bukannya hanya baik di bulan puasa, dan menjadi manusia lain apabila keluar meninggalkan Ramadhan.
Tahun ini kita amat bersyukur kerana bulan kemerdekaan jatuh pada bulan puasa. Mengingatkan kita erti kemerdekaan yang sebenar. Puasa itu sebenar adalah bulan kemerdekaan. Memerdekakan diri kita daripada segala perbuatan yang merosakkan (mungkar). Memerdekakan diri kita daripada segala kejahatan atau kemungkaran (jika ada) yang kita lakukan selama 11 bulan yang lalu. Bulan puasa adalah madrasah atau latihan yang terbaik untuk menyedarkan kita agar kembali ke jalan yang benar dan kekalkanlah kebenaran itu untuk menghadapi 11 bulan seterusnya sebelum bertemu kembali Ramadhan yang akan datang. Jangan ada sama sekali yang tertangkap kerana meninggalkan puasa atau makan atau melakukan maksiat secara terang-terangan.
Merdeka bukan hanya bererti merdeka daripada penjajahan, tetapi juga merdeka akal fikiran yang sempit dan terjajah. Merdeka daripada segala kejahatan dan hasutan syaitan. Apabila kita berjaya memerdekakan diri kita bermakna, kita sudah berjaya mengekalkan identiti dan jati diri sebagai seorang Melayu Muslim yang bebas daripada penjajahan barat. Kita perlu ingat, penjajah telah meninggalkan kita 52 tahun lalu, adakah kita masih mahu berbangga dengan budaya yang ditinggalkan? Sudah tentu tidak, kerana kita ada budaya sendiri. Adakah kita sanggup menyatakan bahawa budaya atau cara hidup barat lebih baik dari cara hidup kita? Sudah tentu tidak? Budaya kita sudah tentu jauh lebih baik daripada budaya barat, terutama yang merosakkan.
Justeru, sudah sampai masa kita kembali kepada agama dan cara hidup kita bersempena dengan pertembungan bulan kemerdekaan dan bulan Ramadhan. Persoalannya, bagaimanakah menyambut hari merdeka menurut cara hidup kita? Mari kita bermuhasabah bersama. Kita perlu ingat bahawa detik 12 tengah malam adalah penentuan hari mengikut kalender Masehi (Kristian). Berbeza dengan Islam, penentu satu hari mengikut perkiraan waktu maghrib. Dengan sebab itu, elok rasanya kita mulakan sambutan tahun baru hijrah dengan mengambil kira waktu maghrib. Jika kita masih menunggu detik 12 malam pemikiran kita masih terjajah. Persoalannya, adakah salah menunggu detik 12 tengah malam? Pada saya tidak salah, tetapi kita telah meraikan bulan kalendar orang lain atau penjajah. Kenapakah kita tidak raikan kalendar kepunyaan rakyat Malaysia terlebih dahulu? Misalnya, kalendar orang Cina dan India, tidak jatuh pada detik 12 tengah malam, apatah lagi kalendar Islam.
Penentuan hari mengikut kalendar Cina sama seperti seperti kalendar Islam yakni berasaskan kepada peredaran bulan atau lebih dikenali sebagai kalendar lunar. Begitu juga dengan kalendar India, berasaskan peredaran bulan dan bintang. Pendek kata, setiap kaum mempunyai kalendar masing-masing yang tidak sama dengan kalendar barat. Ini membawa maksud, rakyat Malaysia, hampir berkongsi satu kalendar. Persoalannya, kenapa kita masih mengambil kira kalendar barat sebagai tanda aras dalam menentukan sambutan sesuatu hari perayaan (Tahun Baru Masehi) dan sambutan (sambutan kemerdekaan)?
Saya cadangkan pengisian sambutan kemerdekaan berasaskan kepada kalendar Islam (kalendar rakyat Malaysia). Bagaimanakah sambutannya? Katakan kita ambil waktu maghrib yakni hari baru dalam Islam, bermulanya sambutan kemerdekaan. Kita sambut merdeka dengan mengisytiharkan dalam semua media massa dan elektronik, sambutan kemerdekaan bermula dengan program sembahyang maghrib berjamaah di seluruh negara. Kemudian diikuti dengan aktiviti membaca ayat-ayat suci al-Quran sementara menunggu waktu Isyak atau diisi dengan ceramah kemerdekaan negara menurut Islam. Sementara bagi non-Muslim, mereka boleh menyambut kemerdekaan mengikut upacara agama masing-masing sama ada di dewan, kuil atau rumah ibadat.
Apabila masuk waktu Isyak, kita berjamaah sekali lagi. Selesai sahaja menunaikan fardu isyak, kita sambung pula dengan program solat sunat tarawih beramai-ramai (katakan 8 rakaat), diikuti dengan tazkirah Ramadhan dan Kemerdekaan. Selepas itu, lebih kurang jam 10 malam, kita mulakan upacara sambutan kemerdekaan dengan persembahan hiburan seperti persembahan lagu-lagu patriotik dan nasyid (tema kemerdekaan), bacaan puisi/syair kemerdekaan, dan akhirnya diikuti dengan pertunjukan bunga api menghampiri jam 12 tengah malam. Tepat jam 12 tengah malam, kita laungkan suara keramat, merdeka, merdeka, merdeka sebanyak 9 kali. Selepas itu, diikuti pertunjukkan bunga api lebih kurang 10 minit, program sambutan merdeka dikira selesai lebih kurang jam 12.10 pagi. Program sebegini tidak semestinya dilakukan di masjid atau surau, pada hemat saya ia amat sesuai diadakan di Dataran Merdeka atau tempat-tempat bersejarah setiap negeri. Mudah-mudahan sambutan mengikut acuan kita ini dapat meningkatkan amalan takwa kita di bulan puasa yang mulia ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa ”. Surah Al-Baqarah, ayat 183
Perlu diingatkan bahawa sebahagian besar mereka yang hadir menyambut malam merdeka adalah terdiri daripada kalangan anak-anak muda (Melayu Islam) yakni generasi yang bakal mewarisi perjuangan kita. Kita selalu dengar ada kalangan mereka yang mabuk, terlibat dalam kemalangan, merempit dan berbagai gejala sosial lagi berlaku ketika lewat malam sehingga menjelang pagi pada hari kemerdekaan. Apakah sambutan sebegini mengikut budaya dan cara hidup kita? Sudah sampai masanya kita perlu tukar amalan biasa sebelum ini yakni sambutan merdeka bermula jam 12 tengah malam sehingga pagi jam 2 atau 3 pagi, dipenuhi dengan hiburan yang melalaikan. Tidakkah pada waktu-waktu sebegini, sepatutnya semua telah berada di rumah untuk berehat dan tidur sebagai persediaan esok paginya. Inilah sebenarnya rakyat berjiwa merdeka.
Kesimpulannya, mengikut beberapa pendapat cendekiawan dan sejarahwan negara, Malaysia sebenarnya (negeri-negeri Tanah Melayu bersultan, termasuk Sabah Sarawak) tidak pernah dijajah, kecuali negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Negeri-negeri bersultan (Sabah dan Sarawak) hanya dinaungi oleh British ketika itu dan tidak pernah dijajah. Jika fakta ini diterima, orang Melayu sebenarnya memang tidak pernah dijajah. Persoalannya, jika kita tidak pernah dijajah kenapa pemikiran kita masih lagi terjajah oleh budaya dan cara hidup penjajah? Tidakkah kita sedar bahawa, penjajahan minda adalah jauh lebih bahaya daripada penjajahan yang sebenar.
Salam Tuan,
ReplyDeleteBuah fikiran ini amat perlu dihayati oleh mereka yang benar-benar faham erti kemerdekaan. Kemerdekaan yang hakiki.