Tuesday, October 6, 2009

KERAJAAN PERPADUAN: REALITI ATAU ILUSI?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

PAS setelah bermesyuarat dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat menolak sebarang rundingan dengan UMNO mengenai kerajaan perpaduan. Agenda yang lebih penting kata mereka adalah untuk membentuk kerajaan persekutuan pada pilihan raya akan datang. Dalam memberikan respon, Mufti Perak begitu kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan bagi menegakkan ideologi politik mereka. Parti Islam yang dimaksud oleh Mufti Perak ini pada pandangan saya merujuk kepada parti PAS.


Tidak tahan dengan kritikan Mufti Perak, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS berkata, UMNO yang menjadi punca perpecahan, bukannya PAS. Selaku orang lama dalam politik, Nik Aziz mungkin tidak dapat melupai bagaimana PAS diperlakukan oleh UMNO ketika berada dalam BN sehingga ‘ditendang’ keluar daripada kerajaan campuran, sekitar tahun-tahun 1970-an. UMNO kata Nik Aziz, adalah parti kebangsaan memperjuangkan Melayu, berbanding PAS yang memperjuangkan Islam. Nik Aziz meminta Mufti Perak supaya menggunakan masa yang berharga untuk mempengaruhi UMNO agar menukar dasar kebangsaan kepada dasar Islam, bukannya PAS.


Pada pandangan penulis, PAS tidak boleh mendakwa mereka adalah parti Islam semata-mata, dengan menolak UMNO mentah-mentah. PAS juga adalah parti politik Melayu, cuma dasarnya berbeza dengan UMNO. UMNO cenderung kepada Melayu, manakala PAS kepada Islam. Persoalannya, berapa ramaikah orang bukan Melayu Islam dalam PAS? PAS hanya ada Kelab Penyokong PAS di kalangan bukan Melayu, selain ada segelintir saudara baru yang menyertai parti ini. PAS masih belum membuka keahliannya pada bukan Islam. Bukan Melayu Islam dalam PAS terlalu kecil bilangannya. Sama juga seperti parti Gerakan dan DAP, kedua-dua parti Cina ini mendakwa mereka adalah parti untuk semua kaum, tetapi semua sedia maklum bahawa kedua parti ini lebih dikenali sebagai parti Cina. Bilangan orang Melayu dalam parti politik Cina ini amat kecil.


PAS tetap parti orang Melayu seperti UMNO. Cuma ada perjuangannya yang berbeza. Saya agak hairan, kenapa PAS begitu menolak untuk berunding dengan UMNO. Kalau bukan pun agenda kerajaan perpaduan, sekurang-kurangnya duduklah semeja dahulu. Fikirkanlah kepentingan umat Islam sejagat. Sudah sampai masa kepentingan nasional (ummah) diutamakan dengan melupakan kepentingan diri dan politik kepartian.


Saya tidak fikir Pakatan Rakyat akan memenangi pilihan raya umum akan datang dengan selesa. Perkiraan dan penentuan secara ekstrimnya, pada saya masih lagi 40 (Pakatan) -60 (BN) atau 50-50. Jika beginilah keadaannya, tidak banyak yang akan berubah terutama dari segi lanskap politiknya. Jika tidak ada majoriti 2/3, bermakna, orang Melayu akan terus berada dalam keadaan rugi. Jika Pakatan menang sekalipun, saya tidak fikir Mursyidul Am atau Presiden PAS boleh menjadi Perdana Menteri.


Katakanlah jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan, adakah PAS boleh menubuhkan sebuah negara Islam? Sudah tentu tidak! Kerana DAP tidak pernah sama sekali bersetuju dengan idea negara Islam. Begitu juga dengan PKR. Maknanya, pada saya, sama ada PAS bersama UMNO atau Pakatan, keadaan PAS tidak banyak berubah. Kemungkinan untuk PAS diketepikan tetap ada, seperti yang berlaku di negeri Pulau Pinang dan di Selangor. Saya difahamkan juga bahawa di Selangor, PKR dan DAP, masih kuat mengawasi pergerakan exco-exco PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat.


Dengan sebab itu, PAS dan UMNO perlu berunding daripada sekarang, supaya apapun berlaku Melayu dan Islam tetap tidak akan rugi. Inilah bentuk pakatan politik parti-parti politik Cina yang berlaku selama ini. Apapun yang berlaku antara MCA, Gerakan dan DAP, orang Cina tetap tidak rugi apa-apa kerana mereka berpolitik secara ‘smart’. Kepentingan dan kebajikan Cina tetap terpelihara. Bukan seperti politik orang Melayu Islam, berdendam sampai ke mati, sanggup berpatah arang, berkerat rotan. Adakah ini ajaran yang dibawa oleh Nabi kita? Bukankah pepatah Melayu ada berkata, carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua. Inilah yang amat dituntut.


Pada hemat penulis, apa pun tujuan perundingan ini, yang penting adalah mereka bertemu dan boleh duduk semeja, cukuplah buat permulaan. Sebelum ini, semua sedia maklum bahawa kedua-dua parti politik ini saling bertikam lidah dan kutuk-mengutuk antara satu sama lain. Tidak ada titik pertemuan. Nik Aziz pernah berkata bahawa PAS akan dibubarkan jika UMNO sanggup menukar dasarnya kepada Islam. Saya lihat ruang itu sudah mula dibuka oleh UMNO.


Justeru, berundinglah dengan UMNO. Berbincangkanlah perkara-perkara yang boleh memberi manfaat dan keuntungan kepada umat Islam. Janganlah terlalu bersangka buruk terhadap UMNO. Kita bukannya Tuhan untuk menyelami niat atau isi hati UMNO. Bersangka baiklah kerana ia amat dituntut dalam Islam. Mungkin UMNO dan PAS pernah melakukan kesilapan ketika berada dalam kerajaan campuran dahulu. Persoalannya, wajarkah kita menaruh dendam sehingga ke hari ini? Justeru, saya ingin terus mencadangkan rundingan antara UMNO dan PAS hendaklah diteruskan demi untuk masa depan kita bersama.


Rundingan ini hendaklah diteruskan dengan menjurus kepada apa yang benar atau 'what is right', dan apa yang salah atau 'what is wrong'. Bukannya, siapa yang benar atau 'who is right' dan siapa yang salah atau 'who is wrong'. Selama ini kita sering menuding jari menyalahkan orang ini dan orang itu (who is right, who is wrong). Dengan sebab itu, kita lihat, sehingga ke hari ini, tidak ada penyelesaian.


Menuding jari atau sengaja mencari salah orang lain, hanya menyakitkan hati. Maka sudah tiba masanya rundingan ini memperkatakan apa yang benar, apa yang salah (who is right, who is wrong) yang selama ini kita telah lakukan. Di mana salahnya UMNO dan di mana pula salahnya PAS. PAS tidak boleh mendakwa bahawa apa yang dilakukan selama ini semuanya betul, begitu juga UMNO. Kita adalah manusia biasa, tidak lari daripada melakukan salah dan silap. Bersediakan memberi dan menerima serta berlapang dada.


Semua sedia maklum bahawa PAS dan UMNO sudah berpecah lama. Punca perpecahan menurut PAS, UMNO tidak menjunjung Islam bersumberkan Al-Quran dan Hadis (termasuk korupsi), yakni menolak sebuah negara Islam berlandaskan hukum hudud. Manakala, UMNO pula menuduh PAS terlalu ekstrim akan pendekatan tersebut. Pada UMNO, Malaysia adalah negara Islam berasaskan bilangan penduduk majoriti Islam dan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Begitu juga dengan dasar-dasar ekonomi Islam yang telah dilaksanakan selama ini seperti perbankan Islam. Hujah ini tidak dapat diterima PAS. Pada PAS jika sudah ada negara Islam, manakah hukum hududnya?


PAS perlu ingat bahawa pendekatan mereka terhadap ‘negara Islam’ mereka, bukan hanya tidak dipersetujui oleh UMNO, malah ditentang oleh rakan sekutu mereka dalam pakatan iaitu DAP dan PKR. DAP telah memberikan amaran ‘langkah mayat’ jika mahukan menubuhkan negara Islam. PKR masih terus membisu, seolah-olah menolak negara Islam ala-PAS ini.


Persoalannya, apakah hudud boleh dilaksanakan jika PAS tidak mendapat sokongan DAP dan PKR? Sudah tentu tidak! Jika tidak, PAS memang tidak dapat mewujudkan negara Islam yang dicita-citakan. Jika beginilah realiti politiknya, penulis berpandangan, lebih baik idea negara Islam berlandaskan hudud tidak dibincangkan, kerana ia tidak akan ada penghujungnya. Lebih baik bincangkan masa depan Melayu dan Islam sebagai langkah permulaan.


Apa yang patut dibincangkan? Jawapannya, bincangkan apa yang benar? Apa yang salah? Fakta yang ternyata kebenarannya adalah, umat Islam terlalu banyak berpecah sehingga kelihatan begitu lemah. Bagaimana hendak mengelakkan perpecahan ini? Apa yang PAS dan UMNO mahukan secara bersama. Gariskan perkara-perkara yang benar dan yang salah. Bincangkan. Penulis fikir inilah pokok rundingan yang utama sebelum isu kerajaan perpaduan dibangkitkan. Selama ini PAS sering menuduh UMNO sebagai parti tidak Islamik. Justeru, bincangkan manakah yang tidak Islamik itu? Begitu juga UMNO menuduh PAS terlalu ekstrim dalam pendekatan negara Islamnya, tunjukkan di manakah ketidak sesuaiannya?


Penulis berpandangan, sudah sampai masa kita membincangkan perkara-perkara yang dipersetujui bersama daripada berbincang perkara yang tidak ada kesudahan. Misalnya, isu gejala sosial, seks bebas, zina, arak, judi dan sebagainya, yang mula menghimpit orang Melayu. Perkara ini juga mungkin boleh dipersetujui oleh orang atau parti politik bukan Islam. Ini kerana ia adalah persoalan pokok semua agama, tidak kira Islam atau tidak. Semua agama menolak perkara mungkar tersebut. Tidak ada satu pun agama yang menerima perkara yang diharamkan itu.


Penulis tidak nampak UMNO akan menentang Islam jika ada justifikasinya. UMNO tidaklah seteruk yang disangka. Banyak juga jasa-jasa UMNO kepada orang Melayu dan Islam, dengan tidak menafikan bahawa ada segelintir pemimpin UMNO yang telah menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan. Walaupun DEB tidak mencapai matlamat sepenuhnya dan berlaku korupsi di sana sini, tetapi perubahan tetap ada pada orang Melayu dan Islam. Maknanya, jasa UMNO tetap ada. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Allah SWT mengingatkan kita yang bermaksud:

Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu; dan untuk itulah Allah menciptakan mereka (Surah Hud: 118-119)

Dalam mengulas ayat ini, Dr Taha Jabir Al-Wani berkata sesungguhnya perselisihan pendapat yang berlaku sehingga hari ni adalah sebahagian dari fenomena tabii. Sekiranya tidak melampaui batas-batasnya, tetapi sentiasa mengikut adabnya, nescaya ia akan menjadi fenomena yang positif yang akan melahirkan banyak faedah. Katanya lagi, jika perselisihan itu didorong oleh hawa nafsu bertujuan untuk mencapai kepentingan peribadi atau ingin menunjuk-nunjuk kelebihan ilmu, maka perselisihan ini amat dicela.


2 comments:

  1. between black and white, there's something called grey...

    ReplyDelete
  2. Setuju dgn pendapat Dr. Apa kata Dr salurkan pendapat yg berguna ini kepada Tuan Guru Nik Aziz. Manalah tahu, klu2 hati nya berubah untuk kebaikan Islam. Yelah, Tuan guru pun manusia biasa juga..

    ReplyDelete