Saturday, October 31, 2009

HINAKAH MENJADI MUALAF?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Istilah mualaf atau orang yang memeluk Islam disebut dalam al-Quran. Ini bermakna, menjadi mualaf atau gelaran mualaf itu adalah satu kemuliaan kerana mereka ibarat kanak-kanak yang baru lahir, bersih daripada dosa dan noda. Saya tidak kisah sama ada mualaf ini hendak dipanggil saudara baru, saudara muslim, saudara kita dan lain-lain gelaran. Apa yang penting kebajikan dan nasib mualaf terbela.


Mualaf bukanlah golongan kelas kedua atau ketiga, tetapi mereka adalah golongan istimewa yang perlu diberikan perhatian. Malangnya, golongan ini selalu dilupakan walaupun diingatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. (Surah At-Taubah: 60)


Perlu diingatkan bahawa, Islam bermula dengan mualaf. Setelah Nabi Muhammad SAW diangkat oleh Allah SWT menjadi Rasul, maka seluruh umat Islam yang mengikuti perjuangan Rasulullah SAW adalah bergelar mualaf, kecuali Saidina Ali Abi Talib, kerana beliau memeluk Islam ketika masih di bawah umur. Contoh Saidina Ali ini jelas menunjukkan betapa remaja boleh berperanan lebih jauh dan menjadi aset kepada agama, bangsa dan negara, sekiranya mereka benar-benar insaf akan tanggungjawab dan memahami penciptaannya oleh Allah SWT, bukan sekadar main-main.


Peranan dan penglibatan mualaf di zaman awalan Islam memang tidak boleh dinafikan sama sekali. “Mualaf-mualaf” ini melibatkan diri secara aktif bersama-sama Rasulullah SAW. Perjuangan ini disambung oleh generasi seterusnya, sehinggalah Islam berkembang ke seluruh dunia, tidak ketinggalan turut sampai ke Alam Melayu.


Orang Melayu yang dahulunya beragama Hindu-Buddha, turut menjadi mualaf apabila mereka menerima Islam sebagai cara hidup, tidak kira dalam kategori usia apa sekalipun. Justeru, istilah mualaf janganlah dipandang hina kerana kita semua adalah generasi mualaf. Jika kita menghina mualaf, bermakna kita menghina diri kita sendiri kerana kita semua adalah generasi mualaf.


Perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Tidak mustahil, anak kita suatu hari nanti akan turut berkahwin dengan mualaf. Ketika itu baru kita tahu susah senang menjadi mualaf. Cuba kita letak diri kita pada tempat mereka. Baru tahu langit itu tinggi atau rendah.


Mualaf berhak mendapat apa-apa yang sepatutnya menjadi hak mereka, tanpa mengira usia, warna kulit, latar belakang, kaya atau miskin. Surah At-Taubah, ayat 60 seperti yang dipetik di atas, tidak menjelaskan mualaf itu kaya atau miskin, muda atau tua, yang penting mereka layak dan berhak untuk dibantu melalui wang zakat, di samping bimbingan dan tunjuk ajar. Perbuatan menghina atau memandang rendah terhadap mereka dilarang sama sekali kerana mereka mulia di sisi Allah SWT.


Jika mualaf itu kaya, tidak bermakna mereka tidak layak atau tidak perlu diberikan perhatian dan bantuan. Mereka tetap layak mendapat bantuan berasaskan asnaf zakat. Sama ada mereka mahu menerima atau tidak, itu persoalan lain. Bantuan tersebut perlu disalurkan sebagai tanda mengambil berat. Saya yakin mualaf yang berada (kaya) tidak akan menerima wang tersebut, sebaliknya akan mengembalikannya kepada yang berhak. Yang penting ialah “sikap ambil berat dan follow up”.


Inilah sikap yang sering kali terlepas pandang atau kita sengaja buat-buat tidak faham. Kita jangan hanya seronok melihat jumlah wang zakat yang terkumpul untuk dipuji oleh pihak-pihak tertentu bahawa kita pandai mengutip dan mengumpulkan wang zakat. Sedangkan cara wang zakat itu diuruskan dan dibahagikan adalah amat menyedihkan.


Sering kali kebajikan mualaf diabaikan. Mereka terpaksa berhadapan dengan kerenah birokrasi, hanya untuk mendapatkan sedikit bantuan RM50 atau RM100, apatah untuk mendapat lebih daripada itu. Sedangkan kita telah dimaklumkan bahawa kutipan zakat yang di Selangor dan Wilayah Persekutuan sahaja, hampir mencecah satu billion di setiap negeri tersebut, saban tahun. Bayangkan berapa banyakkah zakat yang terkumpul? Ini tidak termasuk negeri-negeri lain. Pendek kata, tidak akan ada seorangpun fakir miskin atau mualaf yang merempat di negara ini, jika wang zakat dibahagikan dan diuruskan dengan baik dan betul kepada asnaf yang memerlukan?


Kita tidak lagi boleh menyusun kelayakan penerima bantuan zakat mengikut turutan seperti

(1) fakir

(2) miskin

(3) amil

(4) mualaf

(5) hamba

(6) orang yang berhutang

(7) orang yang berjuang di jalan Allah, dan

(8) orang yang bermusafir kerana Allah SWT.


Pada hemat saya, ada kalangan asnaf ini sudah tidak memerlukan bantuan lagi. Tidakkah boleh kita meletakkan bantuan kepada mualaf sama tarafnya dengan fakir miskin lain yang jarang sekali kita terlepas pandang? atau salahkah kita meletakkan mualaf dalam senarai prioriti yang utama?


Kita sedia maklum bahawa golongan fakir miskin telah ditangani oleh banyak pihak atau agensi. Antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, wakil rakyat dan sebagainya. Sedangkan mualaf begitu sukar untuk mendapatkan bantuan. Kadang kala kita lihat amil-amil yang dilantik membantu mengutip zakat terdiri daripada mereka yang berada. Tidakkah lebih baik kiranya amil-amil itu dilantik daripada kalangan mualaf yang tidak bernasib baik? Sekurang-kurangnya, kita telah memberikan peluang pekerjaan kepada mereka di samping memenuhi tuntutan ajaran Islam membantu asnaf ini. Tidakkah ia lebih menepati konsep zakat yang sebenarnya?


Saya berasa teramat sedih, bila muallaf datang mengadu nasib malang mereka. Hidup merempat dan berada dalam keadaan serba kedaifan. Apatah lagi jika mualaf itu seorang wanita menjadi sebatang kara setelah memeluk Islam kerana dihalau oleh ahli keluarganya. Ke manakah haluan nak dituju? Terdapatkah rumah perlindungan untuk muallaf seperti ini? Jawapannya, setakat ini masih tidak ada lagi wang zakat yang digunakan untuk membina rumah perlindungan mualaf. Rumah perlindungan untuk orang lain, tidak terkira banyak.


Akibatnya, mualaf-mualaf terbiar ini berkeliaran meminta sedekah. Ada kalangan mereka yang dihina, dipandang rendah dan ditohmah disebabkan oleh sifat meminta-minta ini. Benar, sikap meminta-minta ini memang tidak digalakkan dalam Islam. Jika ditanya kepada sesiapapun, tidak ada yang mahu menjadi peminta sedekah kerana ia amat memalukan. Tetapi kenapa ia masih berlaku? Kerana mualaf tidak ada pilihan. Hidup terbuang setelah memeluk Islam.


Persoalannya, kenapa boleh berlaku perkara sedemikian? Ke manakah wang zakat yang dikutip saban tahun? Tidakkah wang ini perlu dibelanja untuk kepentingan muallaf dan asnaf yang lain? Adakah mualaf ini dianggap tidak penting? Bagaimana Islam boleh berkembang jika tidak ada mualaf? Adakah kita mahu menunggu mualaf-mualaf ini menuntut hak mereka di di akhirat nanti? Ingat, wang zakat bukan disimpan untuk hiasan atau diperagakan. Wang zakat adalah untuk dibelanja kepada asnaf yang memerlukan.


Berdasarkan pengalaman, sudahlah bantuan kewangan kepada mualaf diabaikan, malahan kadang kala mereka juga yang sering kali dipandang hina oleh mereka yang menguruskan bantuan kepada mualaf seperti pejabat-pejabat agama negeri. Muallaf seringkali dipersepsikan memeluk Islam, kerana mengharapkan bantuan atau tidak ikhlas. Persoalan saya lagi, apakah kita yang menentukan mereka ikhlas atau tidak? Bukankah kerja kita meraikan dan membimbing mereka? Kenapa perlu kita pertikaikan niat mereka? Kenapa kita terlampau berkira bila berhadapan dengan mualaf? Tetapi tidak berkira dalam soal pembaziran yang amat jelas kelihatan?


Besar sangatkah bantuan yang kita berikan sebanyak RM 50 atau RM 100 itu? Tidak bolehkah kita membantu muallaf ini dengan memberikan mereka tempat tinggal atau menghadiahkan mereka sebuah rumah kos rendah pada harga lebih kurang RM20,000.00? Berapalah sangat jumlah RM20,000.00 ini berbanding dengan hampir satu billion wang yang dikutip.


Pada hemat saya, jika kita bantu semua mualaf yang berjumlah lebih daripada 100,000 di negara kita ini, dengan kadar seorang sebuah rumah kos rendah, institusi zakat tidak akan menjadi miskin. Malah masa depan Islam semakin cerah di negara ini. Islam akan dipandang tinggi. Kita akan lihat peningkatan bilangan yang memeluk Islam.


Inilah juga salah satu strategi missionari Kristian. Menggunakan wang sebagai umpan untuk membeli akidah orang Islam dan bukan Islam. Ini bukanlah bermakna kita mahu mengikut jejak mereka atau membeli akidah orang lain, tetapi faktor kewangan memainkan peranan penting juga dalam dunia dakwah. Kenapa hari ini semakin ramai orang bukan Melayu memeluk agama Kristian?


Jawapannya, mudah. Orang Kristian tidak pernah pertikaikan niat mereka yang ingin memeluk Kristian. Malahan, mereka diraikan, di samping bantuan kewangan tidak pernah putus. Inilah perkara yang berlaku di kampung-kampung orang Asli. Missionari Kristian bergerak dengan kedudukan kewangan yang mantap. Hartawan-hartawan mereka berkorban untuk missionari Kristian. Bukan macam kita hari ini, ada wang sibuk mencari isteri yang glamour dari kalangan artis, membeli gelaran Tan Sri dan Datuk dan berlagak dengan kenderaan dan rumah mewah. Hidup dalam serba kemewahan dan pembaziran atau nafsi-nafsi. Sedangkan ada orang lain yang menagih simpati seperti muallaf tidak dihiraukan. Ingat, dalam harta kita, ada hak orang lain, sebab harta adalah milik Allah SWT, bukan milik kekal kita walaupun yang mengusahakannya. Dengan sebab itu, institusi zakat perlu berperanan. Adakah adil wang zakat dikutip setiap tahun, sedangkan bantuan mualaf hanya diberi sekali seumur hidup? Terbelakah nasib mualaf?


Perlu diingatkan, mualaf merupakan aset berharga kepada perkembangan syiar Islam, apatah lagi mereka yang masih muda remaja. Bayangkan, jika jejak langkah mualaf ini turut disertai oleh ahli keluarga mereka selepas itu. Bermakna, bilangan mualaf akan bertambah berganda-ganda. Adakah kita terfikir tentang perkara tersebut? Kenapa sedikit bantuan itu terlampau dikira?


Mualaf tidak boleh dibiarkan hidup merempat setelah mereka menerima Islam. Malangnya, setakat ini pusat latihan khas untuk mualaf pun masih belum ada. Bayangkan bagaimanakah muallaf belia remaja ini hendak pergi lebih jauh jika latihan dan ilmu mereka tidak bertambah setelah memeluk Islam.


Justeru, sudah sampai masanya mualaf diberikan perhatian yang amat serius. Kepemimpinan negara khasnya dan masyarakat umumnya, perlu disedarkan agar meletakkan martabat mualaf di tempat yang sewajarnya. Mualaf tidak boleh dipandang hina. Jika mereka memerlukan latihan, berikanlah latihan, jika mereka kurang ilmu, maka berikanlah ilmu. Jika mereka memerlukan apa-apa jua bantuan, berikanlah kerana di situ ada hak mereka. Wang zakat yang dikumpulkan mesti dibelanjakan untuk mereka. Jika tidak, kita akan disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti.


Saya sudah beberapa kali mencadangkan agar mualaf mesti mempunyai perwakilan dalam Dewan Negara. Mereka perlu dilantik menjadi senator. Sebenarnya, bukanlah jawatan yang dikejar mereka, tetapi suara mereka perlu didengar. Ingatlah, mualaf merupakan aset besar kepada perkembangan syiar Islam. Malangnya, tidak ramai yang dapat melihat akan hakikat ini.

Kesimpulannya, hinakah menjadi mualaf? Jawapannya tidak. Apa yang saya tahu, martabat mualaf sentiasa terangkat pada zaman Rasulullah SAW. Mereka adalah ahli syurga, perjuangan mereka ibarat singa di siang hari dan malamnya tidak pernah putus berkasih dengan Allah SWT. Begitulah mulianya mualaf zaman Nabi di sisi Allah SWT dan RasulullahNya. Hari ini kita adalah generasi mualaf, sama ada baru atau lama. Apakah ciri-ciri ’mualaf zaman Nabi’ ada pada mualaf hari ini? Tepuk dada tanya iman. Kepada para mualaf, buktikan kepada dunia bahawa kita bukan jenis manusia meminta-minta. Kalau dahulu kita meminta-minta, menjadi penerima zakat, buktikan pada hari ini kita pula menjadi pemberi zakat. Kalau dahulu belajar, kini mengajar. Kalau dahulu sebelum Islam kita miskin, kini menjadi kaya setelah memeluk Islam kerana Islam mengajar kita berdikari. Menjadi teladan kepada yang lain. Berubah menjadi lebih baik setelah memeluk Islam. Saya yakin kita akan menjadi aset kepada Islam dan Allah SWT akan memberi ganjaran yang sewajarnya.

15 comments:

  1. Assalammualaikum ustaz,

    Maafkan saya menambah, apa yang ustaz katakan semuanya benar belaka, sy memeluk agama Islam pada tahun 1985 masa tu berumur 15 tahun tapi hanya meng'official'kannya pada tahun 1991 atas nasihat penjaga saya masa itu. ibu sy pula mengucap 2 kalimah syahadah seminggu sebelum dia meninggal alhamdulillah. sy ni student yayasan sabah dahulu. sy x pernah ditimpa apa2 kesusahan apa tah lg dugaan yg berat2 sebelum ini apatah lg meminta apa2 bantuan dr agensi selama ini. skrg ni sy bankrap n tiada pekerjaan serta baru2 ini telah ditipu oleh maincon sya yg enggan membyr duit saya... sy x tau lg kemana nk dituju.. sy ke perkim kota bharu cuma utk meminta nasihat n saya dapat ialah gelaran convert class C. sy x sangka selama ini ada juga gred untuk muallaf.. anyway skrg sy cuba bertahan selama mana yg sy mahu demi agama ini... sedangkan setiap hari saya makan maki hamun dr isteri saya sehinggakan 2 kali keluar dari mulutnya memanggil sy babi. trus terang sy ckp sy memerlukan 3 ribu untuk membyr hutang sy hari ini tp sehingga skr sy x berhasil utk meminjamnya dari mana mana. semuakan bagai melanggar dinding. sudah terdetik dihati sy utk menerima tawaran ayah saya kembali ke sabah mmg sy terfikir n sampai skrg sy berusaha n berdoa utk mendapatkan duit tersebut.. sy juga dah dpt jln utk berniaga semula n boleh memulakannya tapi ketiadaan modal kecuali mencuri dari akaun mak mentua saya yg sy buat maybank2u tanpa pengetahuannya. tapi sampai manakah akhirnya...

    sy memohon kepada Allah agar dpt jalan tapi sampai skrg sy belum jumpa jalannya... sampai bila sy boleh bersabar ntah lah...


    Ahmad Nazrin Bin Abdullah @ Paul Gilbert Charles
    013 995 5196

    ReplyDelete
  2. salam ust alhamdulilah banyak sahabat rasulullah yg mualaf..terus kan usaha ust berdakwah melalui pena..kerana apa yg kita ada seringkali kita lupakan..

    ReplyDelete
  3. Salam Ustaz,

    Saya ni bukanlah bagus sangat nak menukuk tambah. Apa yang ustaz huraikan memang dah cantik sangat. Masalahnya dengan Zakat Sel/WP, lebih terdorong ke arah menambah pelaburan (investment)itu tekaan saya saja tapi mungkin andaian saya salah. Apa2 pun saya sangat menyokong dakwah ustaz kearah memantapkan iman mualaf2 di Malaysia ini. Semoga apa yang ustaz lakukan sentiasa mendpt keberkatan dan keredhaan Allah SWT

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum, ustaz.

    Saya mengenali seorang muallaf yang datangnya daripada Sabah.Rasanya cukup kalau saya kenalkan dia sebagai Nur. Nur berasal dari sebuah pulau yang jauh dari Semporna, Sabah. Nur amat gigih dalam mencari iman dan Islam itu sendiri. Walaupun sudah dibuang keluarganya, Nur tetap mahu meneruskan usaha dalam mendalami Islam terutamanya dalam membaca Al-Quran. Saya telah berusaha untuk memasukkan Nur ke KIAS, kolej Islam di Kelantan. Malangnya bagi saya, saya bukanlah seorang yang berharta...apatah lagi saya hanya baru sahaja habis belajar di universiti tempatan. Di sini, saya berharap ustaz dapat menunjukkan kepada saya mana-mana badan yang memberi bantuan kewangan secara khusus bagi muallaf seperti Nur. Segala usaha ustaz, saya ucapkan jutaan terima kasih.

    ReplyDelete
  5. Salam Ustaz, teruskan perjuangan Ustaz.Moga segala usaha Ustaz diberkati Allah. Amin!

    ReplyDelete
  6. Salam Dr
    Memang benar, mualaf memainkan peranan sangat aktif dlm sejarah perkembangan Islam dunia
    Saya sedang menjalankan kajian mengenai kebajikan mualaf di Malaysia..terlalu banyak ruang yg perlu diberi perhatian terhadap saudara kita khasnya oleh pihak berwajib..
    Syukran, pandangan ustaz sangat membantu saya n membantu saudara kita juga,amin

    ReplyDelete
  7. asalamualaikum ustaz,

    'saya nak semua umat islam di malaysia tahu tentang jab.agama islam johor yang telah memperlekehkan kebajikan umat mualaf di malaysia'

    saya peluk islam lebih 20 tahun,anak dua orang,iklas masuk islam,pernah berniaga guna duit sendiri tapi gagal,berpindah kerja dari kl ke jb,pernah kehilangan kerja 2 kali,3 tahun yang lalu,tidak pernah tak bayar zakat,lazimnya cina mualaf macam saya tak hadap sangat apa itu taraf bumiputera,bukan jenis suka minta sedekah atau bantuan,tapi bilamana saya kehilangan punca pendapatan 2 kali berturut2,sampai rumah sewa rumah pun tak mampu bayar,terpaksa pinjam along pulak,dah berdoa usahakan business tapi tiada rezeki,apa lagi isteri melayu saya yang tersayang pun manangis dan desak saya pergi jab.agama islam johor utk bertanyakan jikalau ada bantuan apa2 utk mualaf,setiba di jab.agama islam johor,saya dibagi tahu secara rasmi bahawa jab.agama islam johor memang tiada dana dan tidak langsung dapat mambantu,ini disebabkan oleh masalah birokrasi dalaman,saya komen,macamana mualaf kenalan saya di kelantan terengganu mudah berjumpa Tok Nik Aziz dan terus dibantu,sejak dari itu,saya rasa tidak perlu lagi kita orang islam bayar zakat,bagi pengemis tepi jalan pun lagi dapat besar pahala,baru saya sedar bahawa pihak kerajaan yang mentadbir selama ini memang tidak pernah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya untuk golongan mualaf seperti saya,apakah golongan mualaf atau mereka2 yang mengaku orang islam itu patut memilih kerajaan yang tidak pernah memikirkan kebajikan mualaf khususnya ? renung2kanlah dan selamat beramal!

    rungutan dari saudara mualaf yang dizalimi oleh pemerintah islam sendiri.

    ReplyDelete
  8. asalamualaikum ustaz,

    saya cuma nk bertanya kalau perempuan msuk islam mesti wajid sunat ke x....sbd saya bru bgelar sorang mualaf dan masih keliru ngan soalan nie

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum Sdri Lin,berdasarkan ilmu yg sedkit pd saya wanita tdk wajib bersunat

    ReplyDelete
  10. Assalamu 'alaikum.. .Ada mualaf baru 2bulan lebih terlilit hutang . Bukti sertifikat mualafnya ada . Ini bukan penipuan . Urgent . Hubungi 081353361140 . Trims . Wasssalam.. .

    ReplyDelete
  11. Yang seriouse bantu mualaf hari ini silahkan hubungi 081353361140

    ReplyDelete
  12. Mualaf dari hindu sekitar 2bulanan butuh bantuan,wanita hari ini . Hubungi 081353361140 . TUK YANG SERIOUSE !

    ReplyDelete
  13. tak hini cuma ada sebahagian yang masuk islam bersebab macam bekas bos saya (tan fook meng)org singapura walaupun dah masuk islam tapi masih sembah topekong..

    ReplyDelete
  14. Assalamulaikum...sy begitu sedih org islam sendiri tak mau tunjuk ajar kita ni malah dikatanya kat kita yg mualaf dan kafir...sedih sungguh

    ReplyDelete